"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bersatu mahu jatuhkan Ismail Sabri dalam masa terdekat?

Apakah tindakan menarik sokongan akan berlaku dalam waktu terdekat?

SHAHBUDIN HUSIN

Setelah kalah dalam dua PRN iaitu Melaka dan Johor, Mahiaddin Md Yasin nampaknya mula menyesal melepaskan jawatan Perdana Menteri yang sempat dipegangnya selama 18 bulan sebelum ini.

Kini baru beliau sedar, sebab utama PN kalah dalam dua PRN tersebut ialah kerana tindakannya meletakkan jawatan Perdana Menteri yang mana jawatan itu kini diambil alih oleh Umno melalui Naib Presidennya, Ismail Sabri Yaakob.

Politik negara kita secara umumnya masih terkepung dengan politik naungan dan parti yang memiliki kuasa sebagai Perdana Menteri lebih berpotensi menjadi pilihan pengundi kerana rakyat masih mengharapkan bantuan serta pertolongan dalam kehidupan mereka.

Jika Mahiaddin masih memegang jawatan Perdana Menteri, bukan saja agak mustahil untuk BN menang dengan majoriti dua pertiga di Melaka dan Johor, malah keputusannya mungkin mengulangi seperti kejayaan dalam PRN Sabah yang lalu.

Tetapi, segala-galanya kini sudah berlalu dan apa yang Mahiaddin nampak sekarang tanpa jawatan Perdana Menteri dalam tangannya, PN juga bakal menerima nasib buruk dalam PRU15 akan datang.

Menyedari hal itu dan tidak mahu melihat Bersatu dan PN menerima nasib buruk dalam PRU15 akan datang, Mahiaddin kini dilaporkan mula berusaha untuk kembali jadi Perdana Menteri semula.

Meskipun dalam beberapa kenyataannya sebelum ini, Mahiaddin beberapa kali membayangkan tidak mustahil PN mampu berkuasa semula, namun umum lebih memahami difahami hasrat tersebut ingin dicapainya melalui PRU15 nanti.

Rupa-rupanya, hasrat untuk kembali sebagai Perdana Menteri itu tidak saja ingin dicapainya melalui kemenangan PN dalam PRU15 akan datang, malah beliau kini difahamkan sudah mula bergerak untuk kembali sebagai ketua kerajaan sebelum Parlimen dibubarkan.

Dalam langkah yang dianggap mengejutkan, Mahiaddin difahamkan telah mengadakan pertemuan dengan Tun Mahathir Mohamad bagi tujuan tersebut, baru-baru ini.

Dalam pertemuan itu difahamkan Mahiaddin telah berterus-terang bahawa beliau ingin kembali sebagai Perdana Menteri dan meminta Tun Mahathir menyokongnya bagi sama-sama memastikan Umno dan BN tidak berjaya memenangi PRU15.

Tun Mahathir dikatakan agak terkejut dan hairan dengan hasrat Mahiaddin itu kerana beliau menyangka permintaan untuk bertemu dengannya sekadar untuk menziarahinya berikutan baru pulih daripada rawatan jantung di IJN atau untuk membincangkan bagaimana parti-parti blok pembangkang boleh bersatu padu melawan BN.

Langsung tak terfikir oleh Tun Mahathir, kedatangan Mahiaddin itu adalah untuk menyampaikan hasrat hatinya kembali jadi Perdana Menteri.

Agaknya kerana terkejut dan kehairanan dengan hasrat Mahiaddin itu, Tun Mahathir diberitakan hanya mendengar saja Ahli Parlimen Pagoh itu bercakap tanpa memberi sebarang komen atau respon, apa lagi ungkapan yang memperlihatkan sokongan atau komitmen.

Iyalah…siapa tak terkejut dan hairan kerana Mahiaddin sebelum ini bukan saja mengenepikan Tun Mahathir, malah memecatnya daripada Bersatu, tapi kini seperti seseorang yang tidak pernah berdosa, datang menyuakan mukanya dan meminta sokongan daripada Pengerusi Pejuang itu untuk jadi Perdana Menteri buat kali kedua.

Agaknya Mahiaddin terlupa dengan siapa beliau meminta sokongan itu kerana Tun Mahathir juga, kalau peluang terbuka serta kesihatannya masih ada, pasti ingin jadi Perdana Menteri lagi untuk kali yang ketiga.

Kepada beberapa sahabat dan kenalan yang mengunjunginya baru-baru ini, Tun Mahathir tidak menyembunyikan mengenai tujuan kedatangan Mahiaddin bertemu dengannya itu.

Cuma, sebagaimana kita hairan dengan hasrat Mahiaddin itu kerana beliau adalah Perdana Menteri yang gagal dan bagaimana boleh ada perasaan mahu kembali semula, Tun Mahathir tentu saja lebih berasa hairan lagi.

Yang pasti, dengan hasrat Mahiaddin yang mula diluahkannya itu, malah sudah bercakap dengan Tun Mahathir mengenainya, adalah jelas beliau kini mahu merampas semula jawatan Perdana Menteri daripada Ismail Sabri Yaakob yang diberi laluan olehnya sendiri sebelum ini.

Dengan siapakah lagi Mahiaddin turut bercakap, meluahkan hasrat hati dan berbincang mengenai keinginannya itu?

Apakah beliau turut telah bertemu pemimpin-pemimpin PH dan Anwar Ibrahim?

Dengan perkembangan ini, adakah ia bermakna tindakan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri oleh Mahiaddin dan PN akan berlaku dalam waktu terdekat ini?

Tiada ulasan: