"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas polis lapor polis terhadap bekas ketua polis negara

Kow Gah Chie

Bekas pegawai polis, Md Ali Amir Batcha membuat laporan polis terhadap bekas ketua polis negara, Abdul Rahim Noor atas dakwaan salah guna kuasa dan menahannya tanpa bicara secara tidak sah di bawah Ordinan Darurat (EO) selama tiga tahun pada 1990-an.

Dia turut menamakan empat bekas pegawai tinggi polis, termasuk ketua polis Johor ketika itu dalam laporannya.

"Saya buat repot polis bersabit jenayah konspirasi terancang pada lima bekas polis yang gunakan undang-undang draconian /darurat atas saya sehingga saya dipenjara tanpa bicara tiga tahun di Simpang Renggam (pada 1997).

"Saya nak polis ambil tindakan atas jenayah konspirasi supaya tidak lagi berlaku salah laku sebegini dalam jabatan. Kita tak mahu budaya ini berterusan yang mana mereka menggunakan budaya implicate atau khabar angin.

"Dalam laporan saya namakan bekas ketua polis negara yang telah arahkan D7 (Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap) tangkap saya bawah undang-undang pada 1997, bekas CPO Johor yang terlibat memberi laporan ke Bukit Aman, yang katakan saya terlibat (dalam jenayah),” katanya.

Ali berkata namanya telah dibersihkan oleh sebuah tribunal khas, yang ditubuhkan untuk membuka semula siasatan berhubung dakwaan dia ditahan secara tidak sah susulan beberapa siri rompakan pada 1990-an.

Bekas pegawai polis berusia 68 tahun itu juga berkata dia telah menghantar keputusan tribunal untuk direkodkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam minggu lepas.

Dengan keputusan tribunal itu, Ali berharap polis akan membuka kertas siasatan berhubung dakwaan konspirasi yang dia ditahan tanpa bicara.

Dilaporkan bahawa Ali sebelum ini telah membuat tiga laporan polis, tetapi gagal.

Ali dilaporkan mendakwa dia adalah mangsa konspirasi di mana dia dituduh secara salah selepas dia berjaya melumpuhkan kegiatan samseng di Johor sejak 1995.

Ali menuntut lebih RM316,000 sebagai bayaran pampasan bagi penahanan secara salah dan ditamatkan perkhidmatan secara tidak sah daripada pasukan polis serta faedah bersara.

Dia dalam pada itu turut menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bagi memastikan semak dan imbang dalam pasukan polis.

Ali ditahan tanpa bicara di bawah Ordinan Darurat di pusat tahanan Simpang Renggam dari 1997 hingga 2000. Dia kemudiannya ditamatkan perkhidmatan daripada pasukan polis.

Ali juga merupakan pengasas kepada Persatuan Kebajikan Prihatin Wira Malaysia, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan untuk memperjuangkan kebajikan dan hak pegawai serta kakitangan beruniform.

Malaysiakini telah menghubungi Abdul Rahim untuk mendapatkan komen.

Tiada ulasan: