"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tian Chua mesti buktikan tiada lagi kaitan dengan Azmin

Nicholas Chung

PETALING JAYA: Tian Chua masih mempunyai masa depan dalam PKR selagi boleh membuktikan kepada kepimpinan dan ahli parti yang beliau telah memutuskan hubungan dengan bekas timbalan presiden, Azmin Ali, kata penganalisis.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia (PKR) berkata barisan parti harus bersedia menerimanya semula sekiranya beliau menunjukkan rasa penyesalan yang cukup dan tanggungjawab adalah pada Tian Chua.

Minggu lalu, Tian Chua mengumumkan beliau tidak akan bertanding semula sebagai naib presiden parti. Beliau telah dilihat sebagai sekutu rapat Azmin, yang mengetuai sekumpulan ahli PKR keluar dari parti dan akhirnya menyertai Bersatu.

Fauzi berkata sekiranya Tian Chua kekal bersama parti itu, beliau akhirnya akan “diabadikan” sebagai salah seorang perintis parti itu, setelah menjadi salah seorang naib presiden dan ahli aktifnya sejak penubuhannya pada 1999.

“Walaupun pernah dikaitkan dengan mereka (puak Azmin), dia boleh pertikai bahawa hakikatnya beliau kekal dalam parti, tidak seperti Azmin and Co. dan ia adalah bukti kesetiaannya kepada perjuangan besar ‘Reformasi’.

“Kita mempunyai persamaan di sini, apabila Abdullah Ahmad Badawi yang memihak kepada Pasukan B Tengku Razaleigh Hamzah dalam pemilihan Umno 1987, tetapi tidak pernah menyeberang ke Semangat 46.

“Abdullah berada di belantara politik selama empat tahun sebelum diterima kembali oleh arus perdana Umno dan menjadi menteri luar. Kemudian pada 2003, beliau menjadi perdana menteri kelima,” katanya kepada FMT.

Tian Chua berkata beliau tidak akan mempertahankan jawatan naib presiden untuk “menurunkan suhu” dalam parti susulan perebutan jawatan dalam pemilihan parti pada Mei.

Bagaimanapun, beliau akan mempertahankan Ketua Bahagian PKR Batu dan “kemungkinan besar” akan bertanding kerusi Parlimen Batu yang dimenanginya pada pilihan raya umum (PRU) 2008 dan 2013.

Namun penganalisis dari Universiti Malaya (UM) Awang Azman Pawi percaya Tian Chua memilih untuk tidak bertanding semula jawatan naib presiden kerana sudah ada dua “pasukan” yang akan bertembung dalam pemilihan parti.

Beliau berkata Tian Chua bukan dalam kedua-dua kumpulan ini.

“Tanpa Azmin, agak sukar untuk Tian Chua menang dalam PKR. Sudah tentu, PKR masih akan bersikap kritis terhadap Tian Chua, melainkan beliau boleh melakukan sesuatu seperti lebih lantang dalam mempertahankan kepimpinan parti daripada kritikan luar. Ini boleh menyebabkan penyokong PKR menerimanya semula,” katanya kepada FMT.

Tiada ulasan: