"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Penyelewengan dalam agensi pentadbiran negeri Kelantan bukan sengaja diada-adakan’

MOHD SAYUTI OMAR

Cerita mengenai kelemahan dan penyelewengan yang berlaku dalam agensi pentadbiran negeri Kelantan bukan sesuatu yang sengaja diada-adakan untuk memburuk-burukkan kerajaan diperintah oleh parti agama itu. Ia sesuatu yang benar dan terbukti.

Sebelum ini, timbul pelbagai cerita tentang penyelewengan di beberapa agensi kerajaan Kelantan yang menyebabkan berlaku kecaman rakyat kerana telah menyusahkan mereka.

Disebabkan kepincangan itu, kerajaan negeri Serambi Makkah itu dipersoal dan diragui integritinya.

Bukan sahaja dalam masalah pentadbiran daerah (BPT), dalam syarikat mengendalikan air Kelantan (AKSB), tetapi banyak lagi. Paling ketara menjadi sungutan ialah apa yang terjadi di pejabat Tanah dan Galian Kelantan (PTG).

Seorang rakyat Kelantan mencurahkan kekesalan dan marahnya dengan apa yang berlaku kepadanya. Kisah ini ada kena mengenai dengan pejabat Tanah dan Galian (PTG).

Ceritanya begini, beberapa tahun lepas kawan itu, telah membeli tanah seluas lapan ekar di Jajahan Kuala Krai daripada seorang pemilik. Tanah itu berstatuskan pertanian atau kebun getah dan sudah pun mempunyai geran. Atas geran tanah itu tercatat status dan jenis tanah berkenaan.

Hingga suatu hari, beliau berhajat untuk mengusahakan tanah berkenaan untuk tujaun itu beliau perlu berurusan dengan pejabat Tanah dan Jajahan di Kuala Krai bagi mendapat penjelasan lanjut. Apa mengejutkan beliau diberi tahu tanah miliknya 8 ekar itu sudah bertukar status daripada tanah bebas kepada tanah hutan simpan (HSK).

Beliau cuba mendapat penjelasan lanjut daripada pihak berkenaan kenapa hal itu boleh berlaku kerana beliau tidak pernah dimaklum oleh pihak pejabat tanah berhubung perubahan syarat tanah itu. Tetapi gagal, pihak berkenaan (PTG) dan pejabat Jajahan saling menolak dan menafikan ia membabitkan mereka.

Apa yang menghairankan kenapa dalam geran berkenaan tanah itu masih berstatus asal, tetapi bila disemak di pejabat Tanah dan Galian dalam sistem dan data telah bertukar menjadi tanah hutan simpan. Keadaan ini membingungkannya.

Apakah kejadian ini satu penyelewengan atau taktik untuk mengabui mata rakyat? Kita tahu masalah tanah hutan simpan kekal (HSK) di Kelantan kini dicerobohi dengan pembukaan ladang pertanian dan juga pelombongan, pembalakan dan sebagainya.

Pihak kerajaan pula galak membuat kenyataan yang kawasan hutan simpan kekal di negeri itu masih kekal keluasannya dan malahan bertambah.

Pihak kerajaan berbangga dengan keadaan itu seolah-olah pentadbir mereka menjaga khazanah negeri. Rakyat yang buta dan bodoh akan mempercayai apa yang kerajaan laungkan.

Baru-baru ini, Menteri Besar Ahmad Yaakob memberi tahu jumlah hutan simpan kekal di Kelantan sebanyak 629,000 hekar bersamaan 42 peratus keluasan Kelantan.

Apakah pertambahan kawasan HSK itu disebabkan kerana ada permainan “sim silabim” seperti yang berlaku ke atas tanah 8 ekar yang dimiliki oleh seorang pemilik tadi? Kerana untuk mengekalkan keluasan HSK maka tanah-tanah milik persendirian yang bebas dijual juga dikategorikan (digezetkan) sebagai HSK?

Bukankah cara ini satu penipuan dan penyelewengan. Sebenarnya apa yang berlaku bukan kepada individu itu sahaja, tetapi ia juga dialami oleh pemilik lain, yang mana tanah mereka secara senyap-senyap sudah dikategorikan sebagai hutan simpan kekal.

Pemilik tanah lapan ekar berkenaan menuntut ia diselesaikan dengan baik, jika gagal beliau tidak ada pilihan lain melainkan terpaksa mengheret pejabat tanah dan PTG ke mahkamah.

Kita berharap pihak berwajib lebih telus, lebih bertanggungjawab dan janganlah menipu rakyat dengan sesuatu yang terang-terang dibohongi. Berdosa tau!

*Simsilabim = silap mata.

Tiada ulasan: