"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi-Saifuddin, Jangan merajuk andai kalah pemilihan

Jangan merajuk andai kalah pemilihan, kata penganalisis berkait pertembungan Rafizi-Saifuddin

Zeanaaima Mohd Yusof 

PETALING JAYA: Calon jawatan Timbalan Presiden PKR, sama ada Rafizi Ramli atau Saifuddin Nasuition dinasihatkan agar tidak merajuk dan membawa diri, jika kalah dalam pemilihan parti, Mei depan.

Penganalisis, Awang Azman Awang Pawi berkata hakikatnya Rafizi dan Saifuddin adalah ahli parti yang terbukti setia, justeru mereka perlu terus berjuang memenangkan PKR dan Pakatan Harapan (PH) dalam mana-mana pilihan raya, walaupun tewas dalam pemilihan kelak.

“Pertembungan antara Rafizi dan Saifuddin akan memakmurkan demokrasi (dan) ia akan dapat dijalankan dengan subur. Jangan ada yang (bila) kalah, merajuk dan jangan ada (bila) kalah, bawa keluar kumpulannya untuk tidak menyertai pasukan PKR yang besar (utama).

“Rafizi dan Saifuddin…mereka tetap ahli PKR yang setia. Mereka tetap ada misi yang sama untuk memenangkan PKR dan PH,” katanya kepada FMT.

Selepas PKR menampilkan prestasi hambar dalam dua pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor, Rafizi mengumumkan akan kembali aktif dalam politik sekaligus mengintai jawatan nombor dua dalam parti.

Menyusul, Saifuddin yang juga setiausaha agung PKR mengumumkan hasratnya mencabar Rafizi. Saifuddin dilihat banyak pihak sebagai orang kuat kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

“Presiden (Anwar) pasti mempunyai orang yang selesa untuk dia bekerjasama. Tetapi pada masa sama ia perlu menseimbangkan di antara pilihan akar umbi dengan citarasa dan kemahuan dia.

“Cuma kena pastikan persaingan itu dapat dilakukan dengan adil dan saksama,” kata Awang Azman yang merupakan Pensyarah Sosiobudaya di Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya.

Awang Azman berpendapat, Saifuddin sebagai setiausaha agung parti mempunyai sokongan akar umbi yang tidak boleh diremehkan. Namun Rafizi juga tidak boleh diperlekehkan.

“Ketika ahli PKR dan ahli PH dalam keadaan tercabar, dalam keadaan sedih selepas menerima kekalahan, bila Rafizi mengumumkan dia mahu kembali aktif, seolah-olah ia beri sinar baru kepada PKR, khususnya, PH, umumnya.

“Rafizi tahu bila waktu yang sesuai untuk dia umumkan kemunculan semulanya. Dia seolah-olah tahu macam mana nak selesaikan semua permasalahan bukan sahaja PKR, tapi PH,” katanya.

Kerusi Timbalan Presiden PKR kosong selepas penyandangnya Azmin Ali dipecat dari PKR selepas dikatakan menggerakkan Langkah Sheraton hingga tumbangnya kerajaan PH pada 2020.

Tiada ulasan: