"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ku Li: Berhenti atau dipecat

Balqis Jazimah Zahari

IPOH: Anggota Kabinet yang tidak hadir ketika sesi pengundian usul kerajaan bagi melanjutkan tempoh penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Parlimen pada 23 Mac lalu, perlu bertanggungjawab.

Malah, Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah berkata, menteri dan timbalan menteri yang tidak hadir ketika sesi Dewan Rakyat itu juga wajar berhenti atau dipecat kerana menyebabkan usul penting seperti SOSMA gagal diluluskan.

"SOSMA satu usul yang penting dan soal keselamatan negara macam mana boleh ditolak dan menteri-menteri tidak hadir.

"Ia 'collective responsibility' (tanggungjawab kolektif)...apabila usul seumpama itu nak jaga keselamatan negara tak diendah, tak dipeduli serta ditolak oleh Dewan rakyat bererti Menteri itu tidak bertanggungjawab.

"Jadi, simpan buat apa (wajar berhenti). Bagi saya mengikut 'practice parliment of democracy' boleh dipecat dan patut dipecat...kecuali kalau Perdana Menteri pecat, dia sendiri terpecat juga," katanya sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan Ke-9 Gagasan Melayu Perak di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas isu ketidakhadiran anggota Kabinet ketika sesi pengundian terbabit di Dewan Rakyat pada 23 Mac lalu, menyebabkan keputusan undian belah bahagi dengan hanya 85 Ahli Parlimen menyokong, 86 lagi menolak dan 50 lagi tidak hadir.

Ditanya sama ada ketidakhadiran dalam kalangan Ahli Parlimen blok kerajaan mempunyai unsur sabotaj oleh pihak tertentu, beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata ia terserah kepada kerajaan untuk menentukannya.

"Itu saya tak tahu, serah kepada pihak kerajaan untuk memeriksa 85 orang pihak kerajaan. Itu saja jumlah yang hadir, yang lain tak hadir termasuk menteri dan timbalan menteri.

"Tak pernah berlaku di mana mana pun, bawa usul dalam Parlimen dan tahu bilangan (wakil kerajaan) tidak ramai yang hadir....ini cuai," katanya.

Usul melanjutkan tempoh penguatkuasaan Subseksyen 4(5) SOSMA dikemukakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dibahaskan 19 Ahli Parlimen yang mengambil bahagian.

Kegagalan meluluskan usul itu menyebabkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak dapat melanjutkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) bermula 31 Julai depan, untuk membolehkan polis terus menggunakan kuasa khas melanjutkan tempoh penahanan individu ditangkap dan ditahan di bawah SOSMA sehingga 28 hari, tanpa perlu dihadapkan di hadapan majistret.

Tiada ulasan: