"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi: Pengarah Eksekutif Sapura terima RM983 juta ketika Najib jadi PM

FMT Reporters

PETALING JAYA: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata Pengarah Eksekutif Sapura Energy Bhd menerima kira-kira RM983 juta dalam pelbagai bentuk bayaran daripada 2009 hingga 2018, ketika Najib Razak menjadi Perdana Menteri.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, beberapa rekod kewangan syarikat petroleum itu sejak sedekad lalu banyak mengundang kontroversi termasuk bayaran kepada pengarah-pengarah eksekutifnya yang juga pemegang saham terbesar Sapura.

Katanya, sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu, Najib seharusnya memikul amanah dengan memberi hala tuju selain memastikan institusi dana rakyat seperti Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mendapat nilai yang terbaik dari pelaburan mereka.

“Malangnya, 90% (atau RM983 juta) dari bayaran RM1,096,717,000 (dalam bentuk gaji, upah, sewa dan yuran harta intelek) kepada pengarah eksekutif yang secara jelas tidak adil kepada PNB dan KWAP berlaku dalam tempoh Najib menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan iaitu 2009 hingga 2018.

“Semasa dia ada kuasa dan pengaruh untuk memastikan ribuan kakitangan Sapura tidak terjejas periuk nasi mereka, untuk memastikan syarikat kecil yang menjadi vendor Sapura mendapat bayaran dan pelaburan rakyat mendapat pulangan yang sewajarnya, di mana suara Najib ketika itu?,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Najib menggesa kerajaan melindungi Sapura daripada muflis dengan memberi pinjaman atau mengarahkan Petronas atau Khazanah Nasional mengambil alih pemilikan daripada PNB.

Katanya, membenarkan Petronas mengambil alih pemilikan dan memberi pinjaman mudah kepada Sapura akan membolehkan firma perkhidmatan petroleum itu meneruskan kontraknya manakala bank mempunyai keyakinan untuk menyambung semula kemudahan kewangan kepada syarikat terbabit.

Mengulas saranan itu, Rafizi menegaskan sebarang permasalahan kewangan mana-mana syarikat korporat tidak boleh melibatkan wang rakyat kerana ia bakal mewujudkan budaya urus tadbir yang lemah.

“Sekiranya syarikat swasta ada talian hayat (diselamatkan oleh wang rakyat) setiap kali mereka berdepan dengan masalah kewangan, tidak ada insentif dan pertanggungjawaban untuk syarikat-syarikat swasta menguruskan perniagaan mereka dengan cermat, bijak dan berdaya saing,” katanya.

Tiada ulasan: