"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isteri hamil maut dibunuh suami

Izz Laily Hussein

KOTA TINGGI: Seorang lelaki dipercayai mempunyai masalah mental disyaki membunuh isterinya selepas mendakwa wanita sedang hamil itu mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

Malah, suspek dikatakan mendakwa anak dalam kandungan mangsa bukan anaknya.

Dalam kejadian di rumah sewa mereka dekat Kampung Makam di sini, wanita berusia 34 tahun itu ditemui meninggal dunia dalam keadaan berlumuran darah oleh pemilik rumah kira-kira jam 7 pagi.

Pemilik rumah berkenaan, Atikah Sulaiman, 44, berkata suspek lelaki berusia 35 tahun itu datang ke rumahnya pada waktu subuh dalam keadaan tenang sambil memimpin tangan anak sulung mereka yang berusia empat tahun.

“Dia datang macam biasa saja, baju bersih, tak ada kesan darah. Siap minum air kotak lagi dengan anaknya.

“Dia beritahu suami nak buat laporan sebab isterinya ada lelaki lain dan dakwanya bayi dalam kandungan tujuh bulan isteri dia itu bukan anak dia.

“Suami tanya dia, mana isteri dia, dia cakap ‘isteri ada dalam bilik, saya sudah matikan dia’. Kami ingat dia bergurau, kemudian suami pergi ke rumah mereka dan mendapati isterinya sudah berlumuran darah dan tidak bernyawa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Beliau berkata, pasangan itu sudah lima tahun menyewa di rumah berkenaan dan mempunyai seorang anak perempuan.

Atikah berkata, mangsa dan suspek baharu kira-kira dua bulan pulang ke rumah sewa itu selepas ke Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan susulan penyakit lelaki itu.

“Dulu suami mangsa kerja potong rambut, tetapi lepas balik sini dia tak bekerja. Mangsa ada beritahu suaminya itu ada masalah kesihatan mental sebab itu mereka pergi membuat rawatan di Kuala Lumpur.

“Sepanjang duduk di sini suaminya tidak pernah pula membuat hal, isteri juga baik, mereka tidak pernah tidak bayar sewa rumah.

“Jiran juga tidak mendengar sebarang bunyi mereka bergaduh ataupun bunyi bising ketika kejadian berlaku pagi tadi,” katanya.

Atikah berkata, suaminya terus melaporkan kejadian itu kepada pihak polis dan suspek pula menyerah diri ketika polis tiba.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa etnik Rohingya itu ditemui tidak bernyawa di dalam rumah sewanya dengan kesan hentakan di kepala.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 7 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi.

“Siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala akibat dihentak dengan objek tumpul yang dipercayai lesung batu.

“Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan seorang lelaki Rohingya berusia 35 tahun di sekitar lokasi kejadian kira-kira jam 7.30 pagi.

“Polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti motif sebenar kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Tiada ulasan: