FMT Reporters
PETALING JAYA: Seramai 17 pemimpin Bersatu dipecat parti itu setakat ini, terdiri daripada empat Ahli Parlimen, termasuk Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, dua Adun, dan 10 ketua bahagian.
Tiga lagi ahli Parlimen yang dipecat ialah Ahli Parlimen Gerik Fathul Huzir Ayob, Ahli Parlimen Padang Rengas Azahari Hasan dan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang digantung keahlian parti sejak Oktober.
Dua lagi MPT yang dipecat ialah Zainol Fadzi Paharudin, yang juga Adun Sungai Manik selama empat penggal, dan Ketua Pembangkang Melaka, Dr Yadzil Yaakub.
Zainol berkata parti itu turut menamatkan keahlian beberapa ketua bahagian Bersatu.
Ketua bahagian itu adalah: Zulkifli Bujang (Johor Bahru), Yunus Nurdin (Libaran), Yunus Yusop (Tapah), Kamaruddin Majid (Teluk Intan), Hassuandi Hamzah (Larut), Ahmad Ishak (Gopeng), Abdul Aziz Ismail (Dungun), Ahmad Nasir Mid (Selayang), Shafiq Halim (Hulu Langat) dan Ramlan Meon (Tangga Batu).
Turut dipecat, Ketua Srikandi Muda Bersatu Sabah, Nabila Norsahar.
Difahamkan semua pemimpin itu dipecat kerana melanggar satu peruntukan dalam perlembagaan Bersatu yang memperuntukkan ahli mesti mematuhi perlembagaan parti, kod etika dan tatakelakuan.
Bagaimanapun, mereka yang dipecat itu diberi tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan.
Sejak beberapa bulan lalu, Bersatu dilanda kemelut dalaman di tengah-tengah krisis kepimpinan antara Muhyiddin dan Hamzah.
Dua lagi Ahli Parlimen, Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor) dan Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), dipecat daripada Bersatu pada Oktober dan Januari lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan