"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi tak gentar kemungkinan diserbu SPRM

Elill Easwaran

AMPANG: Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli mendakwa beliau dimaklumkan kediamannya akan diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia berkait laporan mengaitkannya dengan perjanjian kerajaan bersama syarikat semikonduktor berpangkalan di United Kingdom, ARM Holdings.

Bagaimanapun, Rafizi berkata beliau tidak gentar dengan apa yang disifatkannya sebagai ‘taktik intimidasi’.

“Saya sudah biasa ditangkap dan dipenjarakan. Taktik seperti ini pernah digunakan oleh rejim terdahulu dan ia tidak pernah berjaya,” katanya pada sidang media.

Beliau turut berseloroh dengan berkata telah meminta isterinya mengemas rumah sebagai persediaan menghadapi serbuan yang dikatakan akan berlaku tidak lama lagi.

Malam tadi, Rafizi turut menepis laporan yang dibuat terhadapnya berkaitan perjanjian ARM Holdings, sambil menegaskan SPRM bebas menjalankan siasatan.

“Kononnya ARM menyogok saya. Mereka boleh siasat sejauh mana mereka mahu.

“Saya tidak pun dapat makan tengah hari atau cenderamata daripada ARM, apatah lagi sogokan. Saya masih miskin seperti dahulu. Saya tidak ada jutaan ringgit dalam bentuk saham,” tulisnya di platform X.

Semalam, tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan mendakwa seorang bekas menteri telah menyalahgunakan kuasa berkaitan penganugerahan kontrak kerajaan bernilai hampir RM1.1 bilion kepada sebuah syarikat asing.

Menurut mereka, laporan itu turut membabitkan seorang bekas pegawai yang pernah berkhidmat dengan syarikat berkenaan.

Malaysia telah memperuntukkan komitmen bernilai USD225 juta (RM930.52 juta) bagi menjalin kerjasama selama empat tahun dengan ARM, sebuah syarikat reka bentuk semikonduktor dan perisian, bagi mengurangkan halangan kepada syarikat tempatan untuk mengakses harta intelek serta teknologi miliknya.

Perjanjian itu turut merangkumi usaha membangunkan cip kecerdasan buatan (AI) berjenama “Buatan Malaysia” dengan memanfaatkan teknologi ARM.

Pada November 2022, SPRM menyerbu Invoke Solutions Sdn Bhd, syarikat data yang diasaskan Rafizi, susulan satu laporan NGO berkaitan pengisytiharan harta beliau.

Rafizi sebelum ini pernah dijatuhi hukuman penjara atas dua pertuduhan memiliki satu halaman laporan audit 1MDB serta mendedahkan kandungan laporan tersebut dalam satu sidang media di bangunan Parlimen.

Tiada ulasan: