"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hantar mesej lucah, pengawal keselamatan didenda RM30,000

Kumaran Rajamoney
Syed Danian Syed Mustapha Basri didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan menghantar mesej lucah kepada seorang wanita, dua tahun lalu.
Syed Danian Syed Mustapha Basri didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan menghantar mesej lucah kepada seorang wanita, dua tahun lalu.
IPOH: Seorang bekas pengawal keselamatan didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan menghantar mesej lucah kepada seorang wanita, dua tahun lalu.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad menjatuhkan hukuman denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan terhadap tertuduh, Syed Danian Syed Mustapha Basri, 42, selain memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara lima bulan bagi setiap kesalahan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh secara sedar telah memulakan penghantaran mesej teks yang bersifat lucah dengan niat untuk mengganggu mangsa melalui aplikasi Messages antara 13 dan 14 Disember 2024.

Perbuatan itu dilakukan di sekitar Kawasan Perindustrian Bemban dan Taman Bemban Permai, Batu Gajah, Perak.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman denda minimum atas alasan perlu menanggung tiga orang anak termasuk seorang anak berstatus Orang Kurang Upaya (OKU).

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Fadhli Ab Wahab dan Nadzirah Idris memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran (deterrent) memandangkan kandungan mesej yang dihantar sangat keterlaluan sehingga menjejaskan maruah dan emosi mangsa.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah turut memerintahkan barang eksibit iaitu sebuah telefon bimbit milik tertuduh dilucuthak kepada MCMC untuk tujuan pelupusan.

Tiada ulasan: