"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hamzah dipecat: Lembaga Disiplin salah guna kuasa, dipengaruhi Muhyiddin, dakwa Kiandee

Anne Muhammad

PETALING JAYA: Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee mendakwa keputusan Lembaga Disiplin Bersatu memecat Hamzah Zainudin adalah satu bentuk salah guna kuasa yang dipengaruhi oleh kepimpinan tertinggi parti.

Beliau berkata Lembaga Disiplin digunakan sebagai alat untuk menutup kelemahan Presiden Muhyiddin Yassin bagi memastikan kelangsungan pengaruh kepimpinan sedia ada.

“Salah guna kuasa oleh Lembaga Disiplin Lembaga Disiplin dipengaruhi oleh presiden. Itu yang saya kata presiden gunakan saki baki kuasa untuk kekal releven.

“Lembaga Disiplin diperalatkan untuk menutup kelemahan presiden,” katanya kepada FMT mengulas pemecatan Hamzah daripada parti itu.

Pemecatan ketua pembangkang itu daripada Bersatu itu berlaku ditengah-tengah kemelut kepimpinan antara Hamzah dan Muhyiddin.

Menurut surat yang dilihat FMT, Lembaga Disiplin Bersatu mendapati Hamzah melanggar Fasal 9.1.4 perlembagaan parti.

Bekas ahli majlis pimpinan tertinggi (MPT) Bersatu Wan Saiful Wan Jan pula berkata Muhyiddin kini hanya disokong oleh ahli yang dilantiknya ke barisan pimpinan.

“Dalam parti, sokongan kepada Muhyiddin sudah minima. Hanya mereka yang dia lantik saja yang menyokong dia. Itupun kerana sayangkan jawatan lantikan.

“Akar umbi kekal bersama Hamzah. Dan kumpulan yang lebih besar adalah bersama Hamzah,” kata Wan Saiful yang turut dipecat.

Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula berkata keputusan itu menunjukkan ketidaktentuan arah kepimpinan Muhyiddin yang didakwanya semakin hilang sokongan.

“Sebenarnya Muhyidin sedang menggali kubur sendiri dalam politiknya kerana beliau mendengar cakap orang-orang yang korup, tidak ada moral dalam berdepan dengan kesatuan Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Wan Fayhsal sebelum ini digantung keahlian selama satu penggal.

Tiada ulasan: