Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my

PEKERJA pembersihan menunjukkan tin minuman keras ketika membersihkan kawasan kubur di Batu 5 berhampiran Jalan Kuching. FOTO ihsan Datuk Gulam Muszaffar Ghulam Mustakim
Kuala Lumpur: Tanah perkuburan di Batu 5 berhampiran Jalan Kuching di ibu negara dikesan dijadikan 'laluan tikus' oleh individu tidak bertanggungjawab untuk membawa barangan curi di kawasan berdekatan.
Lebih malang, ia turut dijadikan 'lokasi santai' warga asing untuk minum arak tanpa menghormati sensitiviti umat Islam.
Mendedahkan perkara itu, aktivis masyarakat, Datuk Gulam Muszaffar Ghulam Mustakim berkata, hasil aduan mendapati perkara itu sudah berlarutan sejak tiga tahun lalu sehingga mengundang kebimbangan penduduk setempat.
Katanya, aktiviti itu turut berlaku ketika umat Islam berpuasa dan ia sekali gus mencemarkan kesucian Ramadan.
"Saya menerima aduan daripada penduduk terutama mereka yang tinggal di Kampung Bakong mengenai kawasan perkuburan ini yang dijadikan jalan pintas untuk pelbagai kegiatan haram serta tidak bermoral.
"Penduduk mendakwa, kawasan perkuburan itu menjadi laluan pencuri untuk membawa barangan yang disamun untuk ke seberang jalan.
"Ini kerana pagar yang sedia ada sudah rosak dan memudahkan mereka untuk lolos ke sebelah sana bagi melarikan diri.
"Saya kesal kerana ia berlaku ketika umat Islam menyambut bulan suci Ramadan. Kawasan perkuburan yang sepatutnya diziarahi kini dijauhi kerana penduduk sekitar bimbang dengan kehadiran warga asing yang minum arak dan mabuk di situ," katanya.
Gulam Muszaffar berkata, beliau sudah merujuk perkara itu kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk tindakan lanjut.
Katanya, antara cadangan yang dikemukakan termasuklah membina pagar tinggi anti kecurian bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.
Menurutnya, tanah perkuburan berkenaan dipercayai berusia lebih 80 tahun dan ia sewajarnya dijaga dengan baik demi kemudahan bersama.
"Ada catatan batu nisan di sini menunjukkan tahun 1941 lagi. Bermakna sudah 85 tahun. Sepatutnya pihak berwajib boleh membantu untuk kerja-kerja baik pulih kemudahan di sini.
"Secara tak langsung, ia akan memberi manfaat kepada waris atau penduduk setempat untuk menziarahi kaum keluarga yang disemadikan di sini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan