Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

10 individu warga Indonesia ditahan bersama seorang tekong darat ketika cuba pulang ke negara asal menggunakan laluan tidak diwartakan. Foto ihsan PDRM
SEPANG: Cubaan seorang tekong darat menyeludup keluar 10 migran warga Indonesia di Jalan Besar, di sini, berjaya dipatahkan pihak polis kelmarin.
Pegawai Pemerintah Batalion 4, Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Amanjit Singh berkata, pergerakan suspek lelaki berusia 23 tahun yang juga warga Indonesia itu dikesan sepasukan anggota polis yang sedang membuat rondaan.
"Hasil rondaan pihak polis menahan 11 migran warga Indonesia berusia lingkungan 23 hingga 55 tahun selepas mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
"Kesemua migran terbabit disyaki ingin pulang ke negara asal mereka melalui laluan laut yang tidak diwartakan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan lanjut mendedahkan salah seorang lelaki Indonesia berusia 23 tahun disyaki berperanan sebagai tekong darat.
Katanya, pihak polis merampas kenderaan jenis Honda CRV digunakan suspek dan sebuah telefon bimbit jenis Samsung serta wang tunai RM120,350.
Amanjit berkata, semua suspek dan migran ditahan bagi membantu siasatan serta tindakan lanjut di bawah Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan