Geng Shafik tumpas, warga Bangladesh bayar hingga RM15,000 seludup masuk Malaysia
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my

Sembilan migran dipercayai baru diseludup masuk dan dua ahli Geng Shafiq ditahan dalam serbuan ke atas sebuah premis dijadikan rumah transit di sekitar Petaling Jaya semalam. FOTO Ihsan JIM Putrajaya
Petaling Jaya: Sindiket didalangi warga Bangladesh dikenali 'Geng Shafik' yang mengaut untung jutaan ringgit menyeludup migran secara haram berjaya dipatahkan dalam serbuan di sebuah premis di sini, semalam.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Zakaria Shaaban berkata, dua lelaki disyaki ahli sindiket dan sembilan migran dipercayai baru diseludup masuk kesemuanya warga Bangladesh ditahan dalam serbuan itu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket itu aktif sejak Februari lalu dianggarkan sudah mengaut untung mencecah RM 1.6 juta melakukan kegiatan haram itu
"Premis digunakan sebagai tempat persembunyian dan transit migran haram digempur oleh pasukan operasi dari Bahagian Penguatkuasaan JIM Putrajaya pada 2 petang.
"Pemeriksaan terhadap premis tersebut berjaya menahan sembilan lelaki warga Bangladesh disyaki diseludup masuk ke Malaysia. Berdasarkan mereka masuk ke negara jiran sekitar dua hari lepas sebelum diseludup ke Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, dua ahli sindiket ditahan disyaki berperanan sebagai penyelaras atau "fasilitator" dan penjaga rumah transit berkenaan.
"Mereka menyediakan perkhidmatan membawa masuk warga asing ke dalam negara menggunakan laluan negara ketiga dan masuk secara haram melalui Kelantan.
"Migran yang masuk akan dibawa terus ke Lembah Klang sebelum dihantar ke destinasi tertentu. Sindiket mengenakan bayaran bermula RM12,000 hingga RM15,000 dan
dianggarkan mengaut keuntungan sebanyak RM1.6 juta sejak beroperasi," katanya.
Zakaria berkata, kesemua imigran berusia lingkungan 20 hingga 49 tahun ditahan di
Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan dibawah Akta Antipemerdagangan Orang
dan Antipenyeludupan Migran 2007(ATIPSOM).
Katanya, siasatan turut dijalankan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966,
dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan