"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki Bangladesh didakwa 5 pertuduhan cabul di stesen MRT, LRT

FMT Reporters

Suspek 41 tahun ditahan 27 April lalu di pekarangan Stesen MRT Maluri.
cabul lrt mrt
Lelaki Bangladesh dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur hari ini kerana mencabul wanita.
PETALING JAYA: Seorang lelaki Bangladesh didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur hari ini atas lima pertuduhan mencabul kehormatan wanita di beberapa stesen pengangkutan awam sekitar ibu negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata suspek berusia 41 tahun ditahan pada 27 April lalu kira-kira 11.45 pagi di pekarangan Stesen MRT Maluri.

Katanya, siasatan mendapati suspek dipercayai terlibat dalam lima kejadian cabul membabitkan mangsa wanita berusia antara 21 hingga 28 tahun.

“Semua kejadian dilaporkan berlaku di beberapa lokasi iaitu Stesen LRT Chan Sow Lin, Stesen MRT Maluri dan Stesen MRT Taman Midah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, suspek berdepan lima pertuduhan bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan mangsa yang berbeza.

“Jika sabit kesalahan, lelaki itu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun, atau denda, atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut,” katanya.

Fadil berkata, pertuduhan terhadap suspek dibuat hari ini di Mahkamah Kuala Lumpur selepas kertas siasatan dilengkapkan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai sentiasa berwaspada ketika menggunakan pengangkutan awam dan segera melaporkan kejadian mencurigakan kepada pihak berkuasa.

“Polis akan terus mempertingkat rondaan dan pemantauan di lokasi tumpuan awam bagi menjamin keselamatan pengguna,” katanya.

Tiada ulasan: