Abdul Rahemang Taiming
TAWAU: Seorang remaja lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan kes hantar gambar dan mesej berunsur lucah kepada pelajar perempuan melalui aplikasi TikTok.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, remaja berusia 15 tahun itu ditahan di tepi Jalan Melati Off Jalan Kuhara, hasil operasi Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, kira-kira jam 1.10 tengah hari tadi.
Beliau berkata, tangkapan dibuat susulan laporan mangsa berusia 13 tahun yang mendakwa menerima mesej serta gambar tidak senonoh daripada suspek melalui akaun TikTok.
“Kejadian berlaku kira-kira jam 7 malam, 29 April lalu ketika mangsa berada di restoran makanan segera di Jalan Apas, sebelum dihubungi suspek.
“Suspek menghantar mesej berunsur lucah dan turut mengirim gambar
lucah sehingga menimbulkan ketakutan terhadap keselamatan mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pihaknya turut merampas telefon bimbit dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 15(e) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Polis tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk jenayah seksual termasuk yang dilakukan melalui platform media sosial dan tindakan tegas akan diambil terhadap pelaku,” ujarnya.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar sentiasa memantau penggunaan media sosial anak bagi mengelakkan mereka terdedah kepada jenayah seksual dalam talian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan