B Nantha Kumar
Ketegangan politik di Negeri Sembilan memasuki fasa baru apabila Umno dipercayai akan membawa usul undi percaya terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang, meskipun parti itu kekal komited terhadap Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri.
Sumber dalaman yang mempunyai pengetahuan mendalam mengenai mesyuarat antara Umno dan PH semalam mendedahkan kepada Malaysiakini bahawa pendirian tegas Umno adalah untuk tidak menarik diri daripada kerajaan negeri, namun tekanan untuk menukar kepimpinan MB tetap diteruskan.
"Umno katakan mereka kekal sokong kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan. Tapi keputusan tarik balik sokongan kepada Aminuddin sebagai Menteri Besar akan kekal.
"Ini isyarat jelas bahawa Umno masih mahu tukar MB sedia ada," kata sumber itu.
Lebih membimbangkan, kata sumber itu, kemungkinan Adun Umno akan membawa usul undi tidak percaya terhadap Aminuddin di DUN.
"Ada kemungkinan Adun Umno akan bawa usul undi percaya terhadap Aminuddin. Ini akan jadi detik penentu," tambah sumber itu, merujuk kepada ketegangan politik yang sudah lama wujud antara Umno dan PH di peringkat negeri.
Pada 27 April lalu, 14 Adun Umno secara kolektif menarik sokongan terhadap Aminuddin. Langkah itu diikuti dengan kenyataan lima Adun PN yang menyatakan kesediaan bekerjasama dengan BN untuk membentuk kerajaan baharu.
Dengan jumlah 19 kerusi, gabungan BN dan PN secara matematiknya mencukupi untuk membentuk kerajaan baru dengan majoriti mudah di DUN Negeri Sembilan yang memiliki 36 kerusi.
Bagaimanapun, Aminuddin memaklumkan dia telah menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, dan dititahkan untuk terus menjalankan tugas seperti biasa sehingga ada "kejelasan muktamad".
Terdahulu, pimpinan PH dan Umno mengeluarkan kenyataan bersama mengatakan kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk mengekalkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan.
Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan antara kedua-dua gabungan yang dipengerusikan bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Turut hadir Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, Ketua Penerangan Umno Azalina Othman Said dan Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki.
"Majlis Perundingan Pimpinan Umno-Pakatan Harapan mencapai kata sepakat untuk mengekalkan kerjasama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan demi kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat.
"Majlis Perundingan Pimpinan Umno-Pakatan Harapan juga bersetuju untuk memastikan apa jua keputusan Kerajaan Negeri Sembilan yang boleh mencetuskan sebarang bentuk sensitiviti dan membuka ruang perselisihan mesti segera dirujuk kepada Majlis Perundingan Pimpinan Umno-Pakatan Harapan," kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki.
Namun, sumber dalaman menegaskan bahawa kenyataan bersama itu tidak menamatkan secara langsung krisis kepimpinan di peringkat negeri.
"Di peringkat pusat mungkin sepakat, tapi di negeri, tekanan terhadap Aminuddin masih berterusan. Usul undi percaya adalah senjata terakhir," katanya.
Pada PRN Negeri Sembilan lalu, PH memegang 20 kerusi (DAP 11, PKR 5, Amanah 4) manakala BN-Umno mempunyai 14 kerusi. Gabungan 34 kerusi itu memberikan majoriti selesa, namun hubungan antara kedua-dua blok sering diuji, terutamanya dalam isu pelantikan menteri besar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan