"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes Sosilawati: Taksub kepada majikan punca pembunuhan

KUALA LUMPUR 17 Sept: Ketaksuban enam pekerja Ladang Gadong, Tanjung Sepat terhadap majikan dikatakan mendorong mereka untuk memukul sehingga mati jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.

Mereka kemudiannya membakar mayat mangsa sebelum abunya dibuang ke dalam sungai bagi menghapuskan bukti.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, kes itu melibatkan lapan suspek, bukan 17 orang seperti dilaporkan akhbar sebelum ini.

"Kita percaya enam suspek yang merupakan pekerja dua peguam itu begitu taksub dengan majikannya kerana rata-rata mereka sudah bekerja selama 15 tahun dengan mereka.

"Hasil pengakuan suspek, Sosilawati dan tiga rakannya diikat, dipukul dan ditikam sehingga mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai.

"Mereka bukan ahli kumpulan samseng tetapi suspek pekerja terbabit terlalu taksub dengan arahan yang diberikan," katanya pada sidang akhbar khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.

Mohd. Bakri ditanya mengenai perkembangan siasatan kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain di Banting.

Sementara itu, mengenai aset suspek utama yang dikatakan mencecah ratusan juta ringgit, Mohd. Bakri memberitahu, kesemua harta suspek sama ada di dalam atau luar negara telah dibekukan.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nilai aset yang telah disita oleh pihak polis.

Mohd. Bakri berkata, suspek turut disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dalam tujuh kes penipuan di Selangor sejak dua tahun lalu.

Beliau memberitahu, suspek juga dikaitkan dengan empat lagi kes jenayah iaitu satu pembunuhan dan tiga kes culik.

Kes pembunuhan itu membabitkan seorang wanita berusia 35 tahun yang dibunuh di hadapan rumahnya di Banting, manakala tiga kes culik membabitkan tiga lelaki iaitu seorang ahli perniagaan dari India dan dua rakyat tempatan.

"Mereka juga berkemungkinan telah dibunuh," katanya.
-UM-

Memperingati penyembelihan di Sabra, Shatila

Haluan Palestin
Peristiwa pembunuhan dan penyembelihan beramai-ramai rakyat Palestin di kem pelarian Sabra dan Shatila dari 16 hingga 18 September 1982 tidak mungkin terpadam daripada sejarah kemanusiaan, walaupun media arus perdana seakan-akan tidak pernah tahu tentang hakikat peristiwa tragis itu.
\
Serangan dan pembunuhan di Sabra dan Shatila itu merupakan salah satu daripada rentetan sikap keji yang dilakukan oleh rejim pengganas Zionis Israel atas arahan secara langsung oleh Menteri Pertahanan ketika itu, Ariel Sharon. Sharon menggunakan taktik jahat dan hina dengan mengambil kesempatan daripada krisis militia Palangist Kristian di Lubnan bagi menghancurkan rakyat Palestin yang terpaksa menumpang hidup di kem-kem pelarian berkenaan.

Batalion Palangist ini menyerang, menyiksa dan membunuh secara kejam wanita, anak-anak dan warga tua sementara tentera Zionis yang mengawal perimiter kem-kem tersebut membiarkan sahaja keganasan itu berlaku dan menghalang pihak luar daripada memasuki kawasan.


Serangan brutal dan tragis selama 3 hari itu telah mengorbankan seramai 3,500 pelarian Palestin. Ramai lagi dilaporkan hilang dan terkubur di bawah runtuhan bangunan. Ratusan mangsa serangan yang masih hidup telah dibawa menaiki trak menuju ke tempat misteri, yang sehingga ke hari ini tidak diketahui nasib mereka.

Bukan sahaja tentera Zionis tidak mengambil sebarang tindakan untuk menghalang serangan dan pembunuhan, malahan mereka membantu puak militia Palangist dengan tembakan-tembakan cahaya ke udara supaya pembunuhan dapat diteruskan pada waktu malam.

Siasatan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Kahan di bawah arahan pemerintah rejim Zionis pada bulan Februari 1983 memutuskan bahawa Sharon telah bersalah secara langsung kerana membenarkan puak Palangist masuk ke kem-kem tersebut dan seterusnya gagal menghalang pembunuhan ribuan orang awam. Tentera Sharon juga membekalkan senjata dan peralatan kepada Palangist dan menyediakan pengangkutan untuk membawa masuk militia.

Walaupun sikap keji Zionis ini mendapat kutukan dunia, termasuk negara-negara Barat sendiri, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan juga Majlis Keselamatan PBB terus menunjukkan sikap dingin terhadap desakan supaya menghukum mereka yang ternyata bersalah.

PBB mengutuk tindakan zalim Zionis ini melalui Resolusi 521 (19 September 1982,) namun tidak pernah ada sebarang hukuman dikenakan terhadap Sharon, pemerintah mahupun tentera Zionis. Malahan ramai daripada keluarga mangsa-mangsa pembunuhan itu terpaksa membuat dakwaan secara sendirian ke atas Sharon.

Pada bulan Februari 2003, Mahkamah Tinggi Belgium memutuskan untuk membicara kes jenayah perang ke atas Sharon, tetapi Israel menuduh tindakan tersebut sebagai berbau politik. Pada bulan September 2003, memandangkan tidak seorangpun daripada mereka yang membuat dakwaan ke atas Sharon berbangsa Belgium, Mahkamah Tinggi Belgium terpaksa menggugurkan kes ini.

Mereka yang bersalah terus bebas dan merencana kezaliman demi kezaliman ke atas kemanusiaan, khususnya ke atas rakyat Palestin. (mn/Maan)

Sokongan rakyat Kelantan pada PAS makin kukuh

Mohd Nor Yahya
KOTA BHARU, 18 Sept: Kejayaan PAS mentadbir Kelantan diraikan oleh setiap lapisan masyarakat yang kini menyambut tahun ke-20 dengan sokongan rakyat yang semakin kukuh.

Ini dibuktikan kehadiran rakyat ke majlis Sambutan Aidilfitri PAS Kelantan yang mencecah 15,000 orang pada tahun ini, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Ketika ditemui di majlis tersebut, beliau berkata, sambutan yang menggalakkan daripada rakyat Kelantan terhadap pimpinan ulama di bawah Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat boleh dijadikan kayu pengukur.

(Gambar: Tun Guru Nik bdul Aziz dan Salahuddin bersama ketua kaum Sikh.)
Justeru, katanya dakwaan Umno bahawa sokongan terhadap PAS semakin berkurangan amat tidak berasas.

“Pelbagai program yang dianjurkan oleh kerajaan dan parti di Kelantan kini, kita boleh lihat sambutannya yang begitu memberangsangkan dan dakwaan Umno yang mengatakan rakyat Kelantan sudah bosan dengan PAS tersasar sama sekali,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ahmad Baihaki Atiqullah pula memberitahu golongan muda yang berada di luar Kelantan juga semakin memahami dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS negeri berkata, ini dapat dibuktikan apabila kerajaan negeri dengan kerjasama Persatuan Anak Kelantan di Perantauan (Perakan) yang setiap tahun mengadakan majlis ramah mesra bersama pimpinan kerajaan negeri juga mendapati kehadiran anak muda untuk bersama Menteri Besar semakin meningkat.

“PAS akan sentiasa bekerja keras bagi mempertahankan Kelantan pada PRU ke-13 nanti dan golongan muda akan menjadi tumpuan utama,” kata beliau lagi.

Majlis Rumah Terbuka PAS negeri yang diadakan setiap tahun, hari ini menyaksikan kehadiran 40 sami dari seluruh negeri yang makan bersama Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mereka telah menerima sumbangan duit raya dalam bentuk dirham yang disampaikan sendiri oleh Tuan Guru pada majlis yang diadakan di Dataran Stadium Sultan Mohamad ke IV.