Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my

JAMEYAH dan Khyar menunjukkan gambar Arwah Fiya yang ditemukan mati dalam dewan sekolah disyaki dibunuh. FOTO Alias Abd Rani
Batu Pahat: "Rakan jumpa Fiya dalam dewan sekolah, keadaannya sangat lemah. Waktu itu Fiya sempat pandang muka saya seketika dan angkat tangan sebelum terkulai," ujar Jameyah Rabani, 65, nenek kepada pelajar Tingkatan Empat, Airene Sofiya Mohd Khairol Faisal, 16, yang ditemukan mati dipercayai dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, di sini, petang semalam.
Airene Sofiya yang dikenali dengan panggilan Fiya ditemukan dalam keadaan menyedihkan dengan kesan kecederaan parah di badan selepas dipercayai dibunuh menggunakan objek keras.
Menurut Jameyah, sebelum penemuan Fiya, dua rakannya datang ke rumah untuk bertanya sama ada cucunya sudah pulang atau sebaliknya.
"Ini berikutan mereka menemui motosikal milik Fiya di dalam kawasan sekolah.
"Pada hari kejadian semalam, Fiya menghadiri kelas tambahan bermula pada jam 2 petang dan berakhir sekitar jam 5 petang.
"Rakannya datang bertanya sama ada Fiya dah pulang atau belum? Saya jawab belum lagi.
"Hati saya mula gelisah lalu mengajak anak saya (Siti Nur Faeza Khyar, 45) serta rakan Fiya mencarinya di kawasan sekolah. Puas kami mencari namun tidak menjumpainya sehinggalah rakan Fiya menjerit ke arah saya memberitahu terjumpa Fiya dalam keadaan berdarah," katanya tadi.
Menurutnya, rakan cucunya itu menjerit sambil meminta dia segera masuk ke dalam dewan kerana banyak darah pada Fiya.
"Saya berlari dan melihat keadaannya yang amat menyayat hati. Fiya ketika itu sudah tidak boleh bercakap, tapi dia sempat menunjukkan tindak balas dengan mengangkat tangan dan menoleh muka ke arah saya.
"Saya peluk Fiya sambil mengajarnya mengucap kalimah syahadah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Selamat, Yong Peng, hari ini.
Katanya, hatinya terdetik Fiya sudah `tiada' kerana cucunya tidak menunjukkan tindak balas walaupun beberapa kali namanya dipanggil.
Jameyah menambah, pada pagi semalam, dia mempelawa Fiya menghadiri kenduri kahwin namun cucunya menolak berikutan perlu menghadiri kelas tambahan dalam talian pada jam 11 pagi dan kelas tambahan di sekolah pada jam 2 petang.
"Saya reda tetapi amat sedih. Kami kehilangannya. Saya dan suami menjaganya ketika usia sembilan tahun selepas ibu meninggal dunia akibat kanser," katanya.
Sementara itu, datuk Fiya, Khyar Abas, 69, berkata dia tidak menyangka perbualan bersama cucunya ketika bersarapan pada pagi sebelum kejadian menjadi pertemuan terakhir mereka.
Menurutnya, dia bersama ibu saudaranya yang datang dari Kluang menunggu Fiya untuk keluar makan namun cucunya tidak pulang dari sekolah.
"Kami memang tinggal bertiga bersama Fiya. Dia seorang yang tidak pernah menyusahkan hati serta rajin belajar," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan