"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ajaran sesat: Tulang babi halal dimakan

SIASAT...pegawai Jais menyoal siasat pengikut IJ.
SIASAT...pegawai Jais menyoal siasat pengikut IJ.
RAMPAS...pegawai penguat kausa Jais merampas dokumen di surau tanpa tauliah di Sungai Tangkas, dekat Kajang, semalam.
RAMPAS...pegawai penguat kausa Jais merampas dokumen di surau tanpa tauliah di Sungai Tangkas, dekat Kajang, semalam.
PUTRAJAYA: Kegiatan ajaran sesat Islam Jamaah (IJ) yang antaranya menghalalkan tulang babi dimakan dikesan bergerak semula di negara ini selepas penahanan 21 pengikutnya selepas mereka melakukan solat Jumaat di surau tanpa tauliah di Sungai Tangkas, dekat Kajang, semalam.

Kegiatan ajaran sesat yang dipercayai didalangi lelaki warga Indonesia itu menjadikan surau berkenaan sebagai markas sejak beberapa bulan lalu sebelum diserbu sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), kira-kira jam 1.40 tengah hari.

Sebelum serbuan, beberapa penguat kuasa Jais menyelinap ke dalam kumpulan terbabit yang taksub mendengar khutbah dalam bahasa Arab yang disampaikan lelaki itu.

Selepas mereka selesai bersolat, penguat kuasa Jais mengepung surau itu dan menahan 21 pengikut kumpulan itu yang turut membabitkan beberapa wanita.

Mereka yang berusia antara 20-an hingga 50-an, sebahagiannya ditahan di dalam sebuah rumah berhampiran surau itu dan kebanyakan mereka warga Indonesia.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohamed Khusrin Munawi, berkata ajaran sesat IJ sudah diwartakan haram sejak 1980-an selepas ia didapati bertentangan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diamalkan di negara ini.

Menurutnya, ajaran itu dibawa dari Indonesia dan disebarkan di kalangan penduduk tempatan yang terpedaya kerana ingin menggunakan jalan singkat bagi mendekatkan diri dengan Allah.

“Antara kepercayaan pengikut kumpulan itu ialah tulang babi halal dimakan, yang haram daging babi saja. Jelas pegangan ini bertentangan dengan ajaran Islam sebenar,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, serbuan semalam dilakukan pihaknya selepas siasatan dan pemantauan Jais mendapati kumpulan ajaran sesat itu cuba mengembangkan ajaran mereka bukan saja di kalangan pendatang Indonesia, tetapi juga kepada penduduk tempatan.

Menurutnya, tindakan pengikut ajaran itu yang mengadakan solat Jumaat dengan jumlah makmum hanya 20 orang satu lagi bukti kesesatan mereka.

Selain itu, kata Khusrin, satu lagi kesalahan mereka yang jelas ialah melakukan solat Jumaat di surau yang tidak pernah diberikan tauliah oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan menjadikan surau itu sebagai markas menyebarkan ajaran sesat terbabit.

“Jais serius untuk memastikan ajaran sesat terbabit tidak terus berkembang. Sebab itu kami menempatkan ‘orang kita’ dalam kumpulan itu ketika mereka melakukan solat Jumaat tadi (semalam).

“Dengan tindakan itu, Jais berharap dapat memiliki bukti kukuh, malah selepas ditahan semua mereka dibawa ke Mahkamah Syariah Kajang untuk didakwa atas kesalahan menjadi pengikut ajaran yang difatwakan sesat,” katanya.

Sementara itu, portal e-Fatwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjelaskan antara penyelewengan pengikut IJ ialah mendakwa kumpulan mereka saja mengamalkan cara Islam sebenar manakala bukan ahli dianggap kafir.

Pengikutnya juga dibenarkan melakukan solat Jumaat di rumah, menganggap lelaki dan perempuan ajnabi tidak batal wuduk jika bersentuhan, selain mengeluarkan hukum binatang yang mati di perkampungan orang Islam tidak perlu disembelih dan halal dimakan.

Amah Indonesia diperkosa sampai hilang ingatan

GAMBAR yang disiarkan akhbar Jawa Pos menunjukkan Nina (kanan) yang hilang ingatan akibat diperkosa dua majikannya di Jeddah, Arab Saudi.
KANDARA, Arab Saudi: Seorang pembantu rumah Indonesia hilang ingatan selepas dia berulang kali diseksa dan dirogol dua majikannya di Arab Saudi, lapor sebuah akhbar semalam. Menurut akhbar Jawa Pos, dia ditemui oleh beberapa amah Indonesia lain dalam keadaan menyedihkan di sebuah jambatan di sini, Jeddah.

Nasib malang yang menimpa pembantu rumah itu dikenali sebagai Nina berumur dalam lingkungan 20-an dan berasal dari Karawang, Jawa Barat, diceritakan oleh sekumpulan amah Indonesia yang tinggal di bawah jambatan Kandara kepada seorang wartawan akhbar Jawa Pos.
Jambatan tersebut menjadi tempat tinggal amah-amah Indonesia yang senasib dengan Nina.
Menurut seorang amah di jambatan itu, Hani Marsiana, Nina ditemui dua minggu lalu dalam keadaan tidak bermaya dengan tubuhnya mempunyai kesan dipukul.
Hani berkata, Nina ditemui oleh beberapa amah Indonesia yang tinggal di bawah jambatan dan mereka merawatnya sehingga dia kembali waras tapi masih trauma dengan kejadian menimpanya.
Menurutnya, selepas badannya mula bergerak dan mampu duduk, amah-amah Indonesia lain mula bertanya mengenai kisah hidupnya.
Dia berkata, Nina menceritakan pada mulanya dia diperkosa oleh seorang majikan Arab menyebabkannya meninggalkan majikannya itu.
Nani kemudiannya diperkosa oleh seorang oleh warga Mesir selepas terpedaya dengan jaminannya untuk membantunya.
Hani berkata, Nani kemudiannya dibuang oleh warga mesir itu di kawasan Kandara.
“Nina ini diturunkan dari mobil (kereta) Camry oleh orang Mesir itu,” katanya.
“Kasihan sekali amah-amah di sini. Mereka tidak (diberi) gaji selama berbulan-bulan, bahkan ada yang diseksa, diperkosa dan dibuang ke jambatan Kandara,” ujar seorang lagi pembantu rumah Indonesia, Rokib. 
–Agensi-

Warga emas sebak ditinggalkan anak di masjid

CHUKAI: Seorang bapa warga emas terduduk kerana tidak mampu menahan sebak apabila anak tunggal dan menantunya tergamak meninggalkannya sendirian dalam keadaan sakit di Masjid Geliga sedangkan pada awalnya kedua-dua berjanji membawa warga emas itu berubat bagi merawat penyakit kencing manisnya di Hospital Mersing, Johor. 

Akibat ditinggalkan keseorangan di Masjid Geliga kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin, warga emas yang dikenali sebagai Zulkifli Mustapa, 60, menerusi kad kerja yang berada didalam dompetnya terpaksa bermalam dalam kesejukan di masjid itu sebelum diselamatkan anggota polis peronda yang menemuinya dalam keadaan lemah di Stesen Bas Geliga bersebelahan masjid itu pada pagi semalam. 

Lebih menyayat hati apabila kaki Zulkifli turut dihurungi semut halus ketika ditemui, malah dia juga ditinggalkan sehelai sepinggang dengan hanya berkain pelikat dan berbaju T lengan panjang serta hanya mempunyai wang RM30 di dalam dompet iaitu yang disedekahkan sepupunya sebelum mereka bertolak. 

Zulkifli ketika ditemui Sinar Harian di Balai Polis Chukai berkata, dia menyedari anak dan menantunya sudah tiada di masjid berkenaan selepas menunaikan solat Isyak kerana mereka mengambil keputusan untuk berhenti menunaikan solat di masjid itu sebelum meneruskan perjalanan ke rumah menantunya di Mersing selepas bertolak pada jam 10 malam dari rumah arwah ibunya di Pulau Musang, Kuala Terengganu. 

“Selepas solat Isyak saya sedar anak dan menantu saya sudah tidak ada, mereka tinggalkan saya. Sebelum ini mereka kata mahu bawa saya berubat kaki yang luka di Hospital Mersing,” katanya sebak. 

Kata Zulkifli yang juga baru sahaja keluar wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat penyakit kencing manisnya itu, sebelum ini anak perempuannya yang berusia 20 tahun bersama menantunya yang berumur 30 tahun dan bekerja menjual ikan di Larkin, Johor beria-ia mahu membawanya mendapatkan rawatan di Mersing. 

“Sudah hampir empat tahun saya tinggal dengan anak perempuan dan menantu saya di Mersing tetapi selepas saya mengalami kemala-ngan ketika pulang ke kampung pada lapan bulan lalu, saya ditahan di wad HSNZ sebelum dibenarkan keluar dan saya tinggal berseorangan di rumah pusaka arwah ibu di Pulau Musang. 

“Anak tunggal saya tinggal bersama suaminya, namun saya bersyukur saudara mara selalu datang menjenguk saya. 

“Tetapi sejak akhir-akhir ini berikutan kemalangan tempoh hari ditambah dengan penyakit kencing manis yang saya hidapi menyebabkan lutut saya bengkak dan luka di bahagian kaki semakin besar sebab itulah anak menantu datang dan berjanji mahu membantu mengubati saya, malah saya juga baru sahaja keluar wad baru-baru ini dan masih belum mampu berjalan dengan baik,” katanya. 

Pada masa sama Zulkifli turut mengakui ketika tinggal bersama anaknya, anak tidak begitu mengambil berat mengenainya sehingga dia terpaksa bekerja sebagai pengawal keselamatan bagi mencari duit poket untuk menampung kehidupannya seharian. 

Sementara itu, akibat keadaan kesihatan Zulkifli yang tidak mengizinkan, pegawai Pejabat Kebajikan Daerah Kemaman yang tiba di balai polis kemudian menghantar warga emas itu mendapatkan rawatan di Hospital Kemaman.