Farhana Yaacob
ALOR GAJAH: Seorang wanita berusia 38 tahun menemui tunangnya dalam keadaan tidak bernyawa di rumah lelaki itu di Simpang Ampat, di sini, kira-kira 11 pagi hari ini selepas gagal menghubunginya sejak malam tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, wanita terbabit ke kediaman lelaki itu untuk mencarinya selepas gagal dihubungi.
“Sebaik tiba, wanita itu yang masuk (rumah) melalui tingkap, menemukan lelaki terbabit di dalam unit sebelum menghubungi ambulans.
“Pemeriksaan lanjut kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Mangsa yang bekerja di sebuah kilang dipercayai tinggal seorang diri di kediaman itu.
Dalam kejadian berasingan kira-kira 30 minit sebelum itu, seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun turut ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di sebuah rumah kedai terbiar di Cherana Putih, Taboh Naning.
Menurut Ahmad, mangsa yang berasal dari Simpang Ampat ditemukan orang awam yang melakukan rondaan di kawasan itu kira-kira jam 11.30 pagi.
“Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia sejak dua hari lalu. Pasukan forensik dan ambulans yang tiba kemudian mengesahkan kematian mangsa,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan awal terhadap kedua-dua mangsa tidak menemukan unsur jenayah, manakala tiada tanda pecah masuk dikesan di lokasi kejadian kedua.
“Kedua-dua kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan