"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tuduhan ke atas pimpinan Pas satu dosa?

Adam Abu Bakar 
PETALING JAYA: Pas tidak menyekat sebarang kritikan atau komentar kepada pimpinan parti, namun ia perlu mengikut saluran dan disiplin parti.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ahli yang beristiqamah tidak akan mengeluarkan kenyataan sehingga menjejaskan imej parti.

“Kenyataan berupa tuduhan hanya akan mengundang pelbagai persepsi yang tidak tepat akan membawa kesan dan dosa yang berpanjangan.

“Lebih bahaya bila mana ia akan mengundang pelbagai tulisan yang hanya menyambung benih fitnah tersebut. Bukan itu sahaja, masa untuk parti bergerak ke depan juga terbazir,” katanya.

Kenyataan Tuan Ibrahim itu dikatakan mempunyai kaitan dengan dakwaan bekas Naib Presiden Pas Datuk Husam Musa yang menuduh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah merancang untuk bekerjasama dengan UMNO bagi menubuhkan kerajaan perpaduan di Selangor.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata ahli dan seluruh jentera perlu fokus kepada usaha untuk memperkuatkan parti bagi mengekalkan reputasi parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Masa, tenaga dan kewangan lebih elok dilabur di tugas-tugas membantu parti kerana itulah erti pengorbanan dalam tarbiyyah,” ujarnya.
-fmt-

Isteri Husam terima ugutan bunuh

Ketika ketegangan Datuk Husam Musa dan PAS, anggota keluarga bekas naib presiden PAS itu didakwa menerima ugutan bunuh.

Bekas rakan seperjuangannya dalam PAS sebelum ini, Salahuddin Ayub berkata beliau dimaklumkan oleh Husam bahawa kejadian berlaku dua hari lalu.

Salahuddin, yang kini berada di Kelantan, berkata ugutan itu dibuat melalui SMS dan laporan polis sudah dibuat pada hari yang sama.

Beliau bagaimanapun enggan membuat sebarang spekulasi berhubung sebab ugutan itu dibuat selain enggan menuduh mana-mana pihak.

“Dalam keadaan tegang sebegini (antara PAS dan AMANAH) saya tidak boleh membuat sebarang kenyataan,” kata bekas naib presiden PAS itu yang kini pemimpin nombor dua Parti Amanah Negara (AMANAH).

Malaysiakini sedang mendapatkan reaksi Husam berhubung perkara itu.

Sementara itu keganasan nampaknya tidak terhad kepada keluarga Husam saja kerana Salahuddin sendiri mengalami 'cabaran' yang dipercayai ada kaitan dengan gerakan AMANAH di Kelantan.

Pagi tadi, kata Salahuddin, salah satu tayar kenderaan pacuan empat rodanya ditoreh dipercayai dengan benda tajam.

Menurut bekas Naib Presiden PAS itu, beliau bersama rakan pada awalnya tidak menyedari sabotaj tersebut sehinggalah kenderaan yang mereka naikinya hilang kawalan dan hampir merempuh sebuah motosikal.

Bagaimanapun, Salahuddin berkata, beliau tidak membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan menyifatkan ia cuma “kerja budak-budak nakal”.

Katanya, tayar ditoreh itu adalah yang berada di bahagian kiri depan kenderaannya.
-malaysiakini-

Yapeim didakwa bayar pemimpin Wanita Umno Kelantan tiga beranak RM81,700 sebulan

NOW dakwa keluarga pemimpin Wanita Umno Kelantan raih pendapatan RM80,000 sebulan
Pengarah NOW, Akmal Nasir mendakwa, seorang pemimpin Wanita Umno Kelantan serta keluarganya mempunyai 14 jawatan berbeza dalam yayasan itu, memperoleh pendapatan hampir RM81,700 sebulan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 11 November, 2015.
Pengarah NOW, Akmal Nasir mendakwa, seorang pemimpin Wanita Umno Kelantan serta keluarganya mempunyai 14 jawatan berbeza dalam yayasan itu, memperoleh pendapatan hampir RM81,700 sebulan.

Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) hari ini sekali lagi mendedahkan kepincangan sebuah yayasan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Pengarah NOW, Akmal Nasir mendakwa, seorang pemimpin Wanita Umno Kelantan serta keluarganya mempunyai 14 jawatan berbeza dalam yayasan itu, memperoleh pendapatan hampir RM81,700 sebulan.

Wanita Umno yang berada di kedudukan kedua tertinggi di yayasan tersebut menerima gaji dan elaun RM45,500 sebulan dengan memegang 7 jawatan, manakala anak lelakinya turut memegang jawatan sebagai pengarah, dan menerima gaji dan elaun bulanan RM31,200.

Bukan itu sahaja, suami wanita berkenaan turut dilantik menjadi fellow yayasan itu dengan dibayar elaun RM5,000 sebulan.

"(Maklumat) ini pun merupakan pendapatan tahun lepas. Tahun ini mungkin ada kenaikan.

"Perkara itu disahkan melalui surat elaun bulanan," kata Akmal pada satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Pada sidang media itu, Akmal turut mendedahkan beberapa bukti dalam bentuk surat pengesahan elaun bulanan, carta organisasi yayasan dan surat tawaran lantikan jawatan.

NGO itu turut mendedahkan seorang lagi individu yang memegang 12 jawatan, termasuk berstatus presiden dan pengerusi, memperoleh pendapatan RM73,000 sebulan.

Justeru, NOW menggesa perkara tersebut diperjelaskan, memandangkan tugas mereka sepatutnya memantau pengurusan dan memastikan sumbangan derma orang ramai tidak disalah gunakan dan sampai kepada mereka yang layak menerima.

"Sebaliknya, mereka menjadi penerima sumbangan dan manfaat terbesar. Bagaimanakah perkara seperti ini boleh berlaku?" soal Akmal.

Yayasan itu berada di bawah pengawasan menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau setakat ini tidak memberi sebarang respons kepada panggilan dan mesej dari The Malaysian Insider bagi menjawab dakwaan dibuat NOW itu.

NOW akhir-akhir ini sering membongkar kegiatan rasuah oleh yayasan berkaitan kerajaan tersebut yang menerima sumbangan dari orang ramai dan juga geran kerajaan.

Awal minggu ini, NOW mendedahkan penglibatan yayasan itu dalam menyalurkan RM223,000, kononnya bagi program kemasyarakatan ketika pilihan raya kecil Rompin pada Mei tahun ini, tetapi sebaliknya ia disalurkan kepada seorang pemimpin Wanita Umno Kelantan.

Pemimpin Wanita Umno itu juga disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana menyalahgunakan dana bantuan banjir yang diamanahkan kepada yayasan itu untuk mangsa banjir di Kelantan.
-malaysianinsider-