"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Guru disyaki cabul pelajar ditahan

Bernama
Kuching – Seorang guru disyaki melakukan seksual fizikal terhadap dua pelajarnya akan dihadapkan ke Mahkamah Serian pagi esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Senior Asisten Komisioner Datuk Dev Kumar, suspek yang berusia 37 tahun itu mengajar di sebuah sekolah di daerah Serian disyaki melakukan seksual fizikal terhadap dua murid lelakinya yang masing-masing berumur 10 tahun.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a), (b) dan (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Menurut Dev, mangsa pertama dicabul pada Mei 2017 di dalam pejabat Hal Ehwal Murid manakala bagi mangsa kedua, kejadian berlaku pada Ogos 2017 di dalam stor sekolah berkenaan, bagaimanapun murid itu berjaya melepaskan diri.

Katanya, keluarga kedua-dua mangsa mendakwa mereka telah mengadu kepada pihak sekolah tetapi tidak ada tindakan atau maklum balas daripada pihak sekolah dan ini telah memaksa mereka membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Serian hari ini.

Menurut Dev bertindak setelah menerima laporan berkenaan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Serian menahan suspek petang tadi ketika dia datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Serian.

Umno-PAS akan ‘bersatu’ tak lama lagi, kata Annuar Musa

Looi Sue-Chern

UMNO dan PAS akan menyaksikan “kerjasama yang semakin kuat” menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Ketua Penerangan Umno Annuar Musa.

Katanya situasi itu mungkin berlaku kerana kedua-dua parti mempunyai banyak persamaan dalam perjuangan politik mereka walaupun mereka berbeza.

“Ada persamaan yang bertembung, seperti matlamat perjuangan kami, yang lebih penting. Kerana itu, saya jangka akan ada kerjasama antara Umno dan PAS daripada semasa ke semasa.

“Tunggu beberapa minggu atau bulan lagi bila pilihan raya makin dekat.

“Saya percaya kepimpinan Umno dan PAS akan mengumumkan tentang kepentingan agama yang akan menjadikan orang Melayu dan Islam gembira,” katanya pada dialog “Perjuangan4All” Umno di Balik Pulau malam tadi.

Annuar berkata bukan bermaksud Umno akan menyertai PAS atau parti Islam itu yang sekian lama dianggap musuh tradisinya akan menyertai Umno atau Barisan Nasional.

Katanya di bawah kepimpinan semasa, PAS lebih bersedia untuk mempertimbangkan persamaan mereka dengan Umno.

“Sebelum ini, PAS mencari jalan untuk memisahkan dirinya daripada Umno, tetapi di bawah kepimpinan sekarang, nampaknya ada perubahan. Mereka kini berfikir tentang apa persamaan yang kita ada.

“Sebenarnya, Umno dan PAS ada banyak persamaan. Mari kita raikan itu,” katanya.

Annuar berkata politik di Malaysia terpisah kepada dua kumpulan yang berbeza DNA.

Umno dan parti serpihannya- PAS, PKR dan Bersatu- semua mempunyai DNA yang sama, berkongsi ideologi yang sama, matlamat dan perjuangan untuk mempertahankan bangsa, agama dan negara walaupun mereka mungkin mempunyai cara yang berbeza.

Kumpulan lain, katanya, mempunyai DNA yang sama sekali berbeza- bertentangan dengan apa yang diperjuangkan Umno.

“PAS datang daripada DNA yang sama (seperti Umno). Kerana itu saya kata kita ada titik pertembungan. PAS dan UMNO tidak akan jauh terpisah selamanya. Kita akan bertemu di satu tempat,” katanya.

PAS merupakan bekas ahli dalam gabungan pembangkang Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP. Gabungan pembangkan itu terbubar pada 2015 selepas PAS memutuskan ikatan dengan DAP kerana isu hudud. PAS juga menamatkan kerjasama politik dengan PKR pada Mei lalu.

Sejak kebelakangan ini, PAS dilihat semakin mesra dengan Umno. Parti Islam itu kini membentuk gabungan pembangkangnya sendiri, blok ketiga dikenali sebagai Gagasan Sejahtera dengan parti lain yang lebih kecil seperti Berjasa, Parti Ikatan Malaysia (Ikatan) dan Parti Cinta Malaysia.

Pada dialog yang sama, Annuar dalam ucapannya berkata musuh sebenar Umno adalah DAP yang mempunyai DNA berbeza.

Katanya, DAP adalah manifestasi Parti Tindakan Rakyat (PAP) dari Singapura, dan menuduh parti itu mencetuskan politik perkauman dengan menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat Cina di Malaysia walaupun kerajaan sekarang sentiasa memelihara hak identiti budaya, bahasa dan kebebasan beragama orang Cina sejak negara mencapai kemerdekaan lagi.

Beliau juga mengambil kesempatan dengan mengecam hubungan yang sekarang terjalin antara DAP dan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang kini mempengerusikan Pakatan Harapan sejak beralih arah kepada pembangkang.

Annuar berkara DAP hanya mahukan dominasi dan akan menggunakan Dr Mahathir yang pernah mentadbir negara pada 1981 hingga 2003 untuk memecah belahkan orang Melayu.

“Anda percaya ke DAP sokong Dr Mahathir? DAP serang dia sepanjang masa di Parlimen ketika dia berkuasa. Sekarang bila dia dah tak ada kuasa, DAP sokong dia.

“Saya tak rasa mereka percaya sesama sendiri. Mereka bekerjasama kerana DAP perlu guna Dr Mahathir untuk pecah belahkan orang Melayu.

“DAP juga tak percaya pada (Presiden PH dan PKR) Dr Wan Azizah (Wan Ismail) tetapi dia akan guna sesiapa sahaja untuk pecah belahkan orang Melayu, sama seperti dia gunakan PAS,” katanya.

Annuar dan Ahli Parlimen Balik Pulau Dr Hilmi Yahya adalah ahli panel dalam dialog yang dipengerusikan oleh Profesor Madya Junaidi Abu Bakar daripada Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia.

Dialog yang diadakan di dewan Maktab Rendah Sains Mara di Pondok Upeh, Balik Pulau itu dihadiri ramai pemimpin Umno tempatan dan ratusan ahli dan penyokong Umno dan Barisan Nasional. – 4 Oktober, 2017.

'Ada orang PAS kafirkan ibu bapa mereka'

Mahathir Mohamad
PAS kata mengundi Pakatan Harapan ialah mengundi untuk DAP. Saya tidak hendak komen terhadap pendapat dangkal ini.

Kalau sehingga kini masih percaya kepada cerita dongeng ini, tak mungkin PAS boleh celik mata dan lihat keadaan sebenar.

PAS tidak pernah menang di peringkat pusat. Ia hanya parti pengacau yang memecahbelah dan melemahkan orang Islam.

Rekod PAS tidak menunjuk apa-apa sumbangan PAS kepada orang Melayu dan agama Islam.

Tidak ada sesiapa boleh nafikan bahawa sebelum ada PAS, orang Melayu beragama Islam dari mazhab ahli sunnah wal jamaah yang berimam dengan Imam Shafie tidak berpecah dan berpuak-puak kerana tidak ada kelainan fahaman Islam antara mereka.

Hanya apabila PAS ditubuh maka orang Melayu berpecah dan bermusuh sesama sendiri. Ini adalah kerana dakwaan PAS kononnya orang Umno kafir.

Demikian kesan daripada dakwaan ini sehingga bukan sahaja orang Melayu berpecah dua tetapi ramai orang PAS begitu percaya kepada dakwaan PAS sehingga ada yang mengkafirkan ibu bapa mereka dan mendakwa perkahwinan mereka tidak sah.

Mereka seolah-olah tidak sedar bahawa dakwaan ini menjadikan mereka sendiri anak di luar nikah. Saya tidak nak sebut apakah nama yang kita beri kepada orang yang dilahir di luar nikah.

Kononnya untuk menghalalkan perkahwinan, orang yang kahwin sebelum adanya PAS, perlu kahwin sekali lagi. Dan ini memang berlaku.

Sembahyang dua imam

Kerana dakwaan orang yang bukan ahli PAS adalah kafir maka berlakulah sembahyang dua imam, pengkebumian orang PAS dikubur berasingan dari orang bukan PAS dan mendiri masjid berasingan.

image: https://i.malaysiakini.com/1095/82a52cf5d5b5048646b66c81698279ca.jpeg

Makanan sembelihan orang bukan PAS didakwa haram dan tidak boleh dimakan oleh orang PAS.

Kemudian datang Hj Hadi yang mengeluar amanat menghalalkan pembunuhan anggota pemerintah, kerana pemerintah Malaysia adalah kafir. Lebih dari itu dia juga dakwa melawan kerajaan adalah jihad dan mati mereka adalah syahid.

Dan berlakulah peristiwa Memali yang mana pengikut Ibrahim Libya membunuh empat orang anggota polis dan mencedera yang lain.

Selepas dari peristiwa ini PAS bekerjasama dengan DAP walaupun PAS mendakwa bekerjasama dengan orang kafir menjadi orang Islam kafir.

Tahaluf siyasi

Kononnya kerjasama ini tidak semacam kerjasama Umno dengan orang kafir dalam MCA dan MIC. Kononnya PAS mengadakan “Tahaluf Siyasi”.

Perkataan Arab ini bermakna “Kerjasama Politik”. Tidak ada kelainan antara “Tahaluf Siyasi” PAS dengan kerjasama politik antara Melayu Umno dengan Cina dan India, MCA dan MIC.

Tak usahlah cuba jelas Tahaluf Siyasi PAS dengan DAP adalah bersyarat. Kerjasama Melayu Umno dengan MCA dan MIC juga bersyarat.

Dakwaan bahawa orang bukan PAS tidak Islam masih dipercayai. Di Terengganu sembahyang dua imam dan sembahyang di masjid berasingan masih berlaku.

Perpecahan politik telah dijadikan perpecahan agama antara orang Melayu Islam Malaysia. Sebahagian besar orang Islam di Malaysia masih dianggap sebagai kafir oleh fanatik PAS.

Untuk mengekalkan perpecahan orang Islam di Malaysia PAS memaksa ramai ahlinya berbaiah kepada pemimpin dan parti. Perbuatan ini bertentangan dengan ajaran agama.

Islam menuntut supaya semua orang Islam bersaudara. Apabila melafaz baiah kepada sesiapa maka kesetiaan kepada pemimpin (ulama) atau parti mengatasi kesetiaan kepada Allah, rasul dan al-Quran. Kerana kesetiaan ini tindakan yang tidak diizinkan oleh Islam dilakukan. Dan memang pun PAS berbuat demikian.

Hasrat PAS menangkan Najib

Dalam PRU 14 ini sepatutnya diadakan pertandingan satu lawan satu di semua kawasan. Besar kemungkinan ini akan berlaku dalam kawasan bandar di mana PAS tidak akan bertanding.

Besar kemungkinan bahawa di sini pertandingan adalah antara DAP dan BN. Kemenangan DAP sebenarnya disokong oleh PAS yang tidak bertanding dalam kawasan bandar.

Tetapi di kawasan luar bandar di mana ramai penduduk adalah orang Islam, akan berlaku pertandingan tiga penjuru. Pakatan Harapan (P.H.) akan lawan BN dan PAS.

PAS akan mengumpan sebahagian daripada pengundi anti-kerajaan BN sehingga akan kuranglah undi kepada PH. Bahawa PAS juga akan kalah tidak mengapa. Kerana hasrat PAS ialah supaya Najib dapat kemenangan. Kenapakah PAS berbuat demikian? Apakah dedak memainkan peranan? Wallahualam.

Tak mungkin jadi kerajaan

Inilah peranan dan hasrat PAS setelah ia ditubuh. PAS tidak mungkin menang untuk mendirikan kerajaan di peringkat pusat walaupun ia bertanding seratus kali.

Sebaliknya PAS tetap mengurangkan jumlah orang Islam dalam parti pemerintah.

Kali ini, PAS secara langsung akan pecah barisan pengundi yang menentang Najib supaya Najib akan menang.

Kemenangan PAS di Kelantan hanya membawa nasib buruk kepada negeri itu. Ia juga mencemarkan imej Islam di Malaysia.

Sama ada dirancang atau tidak disedari atau tidak inilah hasil daripada pemulihan PAS.
Saya sedar kebenaran ini akan menyebabkan pelampau PAS marah amat sangat. Tetapi kebenaran masih kebenaran walaupun memedih telinga mendengar.

TUN DR MAHATHIR MOHAMAD ialah bekas perdana menteri yang kini menjadi pengerusi Pakatan Harapan serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).