"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Maruah PAS yang kian terserlah

Raja Bahrin Shah

ULASAN | Saya hadir banyak kenduri kahwin di Terengganu semalam. Di sana saya mendengar perbualan hangat dan ditanya bertubi-tubi berkenaan berita hangat penarikan balik saman PAS ke atas Sarawak Report.

Ramai yang bertanya itu terdiri daripada anggota dan penyokong setia PAS yang menanti ketibaan April 2019. Mereka telah pun dimaklumkan oleh pimpinan mereka bahawa Sarawak Report akan didakwa kerana memfitnah PAS. Sebelum PRU ke14 pula penyokong PAS telah diberitahu mereka telah menang kes tersebut walaupun ia belum lagi bermula.

Pekara yang menggemparkan orang ramai ialah penyelesaian luar mahkamah yang dibuat adalah tanpa Sarawak Report perlu menarik balik tuduhan tersebut dan memohon maaf kepada PAS.

Lebih menggemparkan lagi adalah Editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown dengan megah menyatakan beliau berpuas hati dengan penyelesaian yang dicapai dan Sarawak Report tidak perlu menarik balik atau memadamkan artikel tersebut - yang menuduh PAS menerima RM90 juta daripada Umno - di lamannya. Artikel tersebut masih tersiar di laman untuk bacaan umum seluruh dunia.

Tambah menakjubkan lagi ini bermakna kandungan artikel tersebut bukanlah fitnah dan adalah benar. Di mana letaknya maruah PAS dalam isu ini?

Ramai bertanya di mana maruah PAS yang menarik balik kes ini dan membenarkan artikel tersebut terus disiarkan. Anggota dan penyokong PAS pula bertanya di mana RM3 juta yang dikutip daripada mereka, kononnya untuk kes saman malu itu?

Saman pun tidak, malu masih ditanggung apabila tuduhan PAS menerima RM90 juta dari Umno terus disiarkan.

Baru saja minta sumbangan

Di waktu rakyat mengalami masalah tekanan kos sara hidup, pengorbanan besar telah di lakukan oleh mereka yang memberi sumbangan sehingga mengumpul jumlah RM3 juta.

Hanya beberapa minggu lalu seorang naib presiden PAS telah merayu daripada ahlinya untuk RM400,000 lagi bagi membiayai kes saman tersebut. Ketika itu musim permulaan sekolah dan pengorbanan besar telah mereka lakukan untuk mencukupkan permintaan sumbangan.

Sekarang mereka rasa diperdaya dan ingin penjelasan daripada pemimpin mereka. Mengapa minta sumbangan RM3 juta kalau saman itu tidak akan diteruskan?

Soalan yang berlegar adalah sama ada PAS memulakan saman ke atas Sarawak Report sebelum PRU ke-14 dahulu kerana cuba menutup cerita sebenar untuk membantu PAS dan Umno menghadapi PRU.

Adakah rayuan terbaru RM400,000 sebelum PRU Camerons Highlands juga untuk meraih simpati terhadap PAS dan rakannya dari Umno BN yang kononnya di fitnah oleh pihak asing dan kafir ?

Bukankah isu utama yang ditimbulkan PAS dan Umno di Cameron Highlands adalah isu Islam-Melayu bertembung dengan kafir-bukan Melayu?

Sekarang dengan menjelangnya tarikh 1 April 2019 - tarikh sepatutnya perbicaraan kes - yang terlalu dekat, ini mungkin peluang terakhir PAS menarik balek 'gertak' saman mereka.

Kalau kes diteruskan, segala rahsia dan tembelang wang dan hubungan PAS-Umno akan terbongkar. Adakah dengan menyelesaikannya di luar mahkamah, PAS cuba menutup isu sulit tersebut daripada didedah ke seluruh dunia di mahkamah luar negara?

Bagi Sarawak Report dan Clare Rewcastle Brown pula, mereka masih boleh terus menyiarkan cerita mereka di laman tanpa perlu memohon maaf apa-apa pun. Pada masa sama mereka tidak perlu belanja besar lagi untuk membayar peguam.

Yang untung dan rugi

Mereka untung dan menang besar apabila boleh mengekalkan tuduhan tanpa perlu memohon maaf.

PAS pula rugi dan tercalar maruahnya kerana apa yang mereka tuduh sebagai fitnah masih tersiar untuk dibaca seluruh dunia.

Tetapi yang paling rugi dan rasa diperdaya adalah anggota dan penyokong PAS yang berkorban harta membiayai RM3 juta kos guaman untuk kes yang mungkin sudah dirancang untuk ditarik balik, kerana risiko terbongkarnya kewangan PAS dan Umno terlalu tinggi.

Dengan rakaman suara didakwa berkaitan Anggota Parlimen Pasir Mas Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang mengakui PAS menerima wang Umno diakui tulen, peluang untuk parti itu menang sangat tipis.

Umno pula menjadi pihak paling gembira dan untung kerana telah berjaya memerangkap PAS dalam isu itu. Mereka juga untung kerana PAS telah membantu BN untuk menang di PRK Cameron Highlands baru-baru ini.

Anggota dan penyokong PAS pula terus rugi diperkudakan Umno. Mereka mengorbankan harta dan tenaga di Cameron Highlands dan nampaknya sekali lagi di Semenyih.

Adakah tindakan PAS memfailkan saman ke atas Sarawak Report dulu benar-benar kerana maruah, atau strategi sebelum PRU ke-14?

Kenapa PAS tidak benarkan isu itu ditentukan melalui perbicaraan di mahkamah?

RAJA BAHRIN SHAH ialah anggota Dewan Negara, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta pengerusi PH Terenganu.

“Ya, ana ambil duit amnuuuu”

IZMIL AMRI
Kenapa isu tarik balik saman Sarawak Report itu sangat penting? Sebab dakwaan berat SR terhadap Pas ialah parti Haji Hadi itu telah menerima dana dari Umno.

Persoalan dana dari Umno ini juga sangat penting, kerana ia menjadi punca bagaimana Pas terbelah dua. Maksudnya orang yang menerima duit UMNO telah menjalankan tugasnya untuk memecahkan PAS dan mengeluarkan PAS dari gabungan Pakatan Rakyat.

Kita semua tahu PAS adalah komponen paling kuat dalam Pakatan Rakyat ketika itu. Dan kerana itu UMNO mencari point lembik tengkuk PAS, dan setelah dibelai, ia termakan umpan perpaduan yang membuka jalan mudah menuju kuasa.

Maka UMNO beli jiwa beberapa pimpinan PAS. Mereka timbulkan perbalahan, dan PAS pun berpecah, dengan harapan ia akan dapat menyertai kerajaan bersama UMNO setelah PRU14. Perbahasan halal haram makan duit UMNO ini ambil masa yang cukup lama juga. Kita semua tahu akan hal itu.

Usai PRU14, UMNO melingkup dan duitnya putus. Berjuta ringgit dana yang disimpan di pejabat dan rumah pemimpinnya kerana begitu yakin akan menang besar, telah disita. PAS kiranya putus duit juga, selain putus harapan untuk naik tahkta di Putrajaya.

Jadi gini saja lah. Memandangkan hukum undi BN pun sudah jadi wajib, dan tidak ada segan silu lagi tentang kerjasama politik kedua-duanya, saya minta tanzim PAS berlaku jujur dengan akar umbi.

Mengaku sahaja enta orang dulu sudah ambil duit UMNO untuk kempen menghalau para jebon dan Anwarinas, dan dengan tindakan tersebut menjahanamkan jemaah sehingga hancur berkecai.

Mengaku bahawa ya, enta makan duit UMNO supaya Pakatan Rakyat melingkup. Mengaku supaya akar umbi tahu pengkhianatan enta dan berapa sebenarnya harga untuk membeli sebuah tanzim jemaah Islam.

Apa nak malu? Benda pun sudah berlalu. Saman pun dah tarik balik, laporan Sarawak Report tetap kekal begitu. Segeralah mengaku. Katakan dengan lidah yang fasih, “Ya, ana ambil duit amnuuuu”.

Jangan malu-malu. Enta tahu. Ana pun tahu.

'Ramalanku benar belaka'

Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin berkata beliau sudah menjangkakan Presiden PAS Abdul Hadi Awang akan menarik balik saman fitnah terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

Hanipa yang juga merupakan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata demikian sebagai mengulas keputusan Abdul Hadi menyelesaikan kes saman yang difailkan pada 2017 itu di luar mahkamah.

"Dari awal saya dah ramal beliau akan tarik balik saman itu.

"Nampaknya betul ramalan saya kali ini. Kenapa saya ramal begitu, maaf tak boleh cakap di sini," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Tambah Hanipa, kes berkenaan yang ditarik balik tanpa perintah membayar kos bererti segala bayaran yang dibayar kepada peguam Abdul Hadi tidak akan dipulangkan.

Selain itu, kata Hanipa, dengan perkembangan terbaru berhubung perkara itu, laporan yang disiarkan Sarawak Report tidak boleh dikatakan fitnah.

"Bila kes tak jalan dan ditarik balik maknanya itu bukan dikira menang. Bila tak menang maknanya tak boleh kata apa yang disiarkan oleh Sarawak Report adalah sebagai fitnah.

"Apatah lagi dalam terma penyelesaian yang saya baca, tiada pun sebaris ayat Sarawak Report tarik balik tuduhan atau minta maaf yang mungkin boleh ditafsir sebagai satu concession atau pengakuan apa yang disiarkan oleh Sarawak Report adalah fitnah.

"Bila tarik balik kes dalam keadaan sebelum ini dilapor media audio "ana tahu" tidak dibantah jadi keterangan ia menimbulkan spekulasi bahawa isi audio itu mungkin sahaja tiada yang lain kecuali benar belaka," katanya merujuk rakaman suara yang didakwa sebagai 'bukti' penyaluran wang oleh Umno kepada parti itu.

Terdahulu, Setiausaha Politik kepada presiden PAS, Syahir Sulaiman yang memaklumkan perkembangan saman fitnah itu berkata, antara penyelesaian luar mahkamah yang dibuat adalah Abdul Hadi Awang menarik balik tuntutan terhadap Clare.

Sementara Clare sebagai defendan menarik balik tuntutan balas terhadap Abdul Hadi.

Ketika dihubungi Malaysiakini awal hari ini, Clare berkata, dengan penyelesaian luar mahkamah itu, rencana yang menjadi pertikaian dalam kes saman itu tidak akan ditarik balik.

Rencana yang disiarkan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 itu merupakan subjek pertikaian dalam kes saman yang difailkan Abdul Hadi pada 21 Apr 2017.

Rencana itu mendakwa pemimpin PAS menerima dana RM90 juta sebagai usaha menarik sokongan parti itu menyokong BN dan Umno.

PAS bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan dan menyaman Sarawak Report.

Perkembangan terbaru ini hadir meski awal bulan lalu, Naib Presiden PAS Idris Ahmad membuat rayuan kepada anggota dan penyokong parti itu supaya menghulur derma bagi membantu menyelesaikan kos guaman saman Abdul Hadi itu.

Mengulas lanjut, Hanipa berkata, dengan penyelesaian luar mahkamah itu, ahli PAS yang mahu kes itu terus dibicarakan akan kecewa.

"Saya rasa ahli PAS yang mahukan kes itu dibicarakan tapi nampak kini harapan hanya tinggal harapan. Tak apa derma untuk perjuangan Islam atas ruh wala' akan dikira satu amalan baik," katanya.