"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Covid-19: Penjara terbesar di AS jadi ancaman umpama bom jangka

AFP

Pagar kawat berduri mengelilingi penjara Rikers Island di New York pada 2011. (Gambar AP)
WASHINGTON: Satu gelombang besar jangkitan Covid-19 meletus melalui populasi penjara terbesar di Amerika Syarikat (AS) walaupun negara itu mula membuka semula ekonominya, mengatakan penyakit itu mendatar.

Sebuah penjara di Marion, Ohio menjadi institusi yang paling banyak dijangkiti di seluruh negara itu, dengan lebih 80% daripada 2,500 banduan dan 175 kakitangan, diuji positif Covid-19.

Kematian akibat Covid-19 meningkat di penjara di seluruh negara itu, dengan pegawai mempunyai sedikit pilihan – mereka tidak dapat melaksanakan penjarakkan yang diperlukan dalam sel yang sesak dan kekurangan kakitangan perubatan dan peralatan perlindungan peribadi di mana-mana sahaja.

Ancaman terhadap populasi penjara AS yang berjumlah 2.3 juta orang itu dilihat minggu lalu berikutan kematian Andrea Circle Bear, seorang wanita asli Amerika berusia 30 tahun dari South Dakota.

Bear yang hamil ketika ditempatkan di penjara persekutuan di Texas pada Mac atas tuduhan dadah, jatuh sakit akibat dijangkiti virus itu dan dirawat menggunakan ventilator dan melahirkan bayinya melalui pembedahan.

Dia kekal menggunakan ventilator dan meninggal dunia beberapa minggu selepas itu.

Bom masa

Rusuhan berikutan perlindungan yang tidak mencukupi dan tindak balas perlahan pihak berkuasa penjara berlaku di penjara di Washington dan Kansas.

Penularan Covid-19 dalam kalangan pegawai penjara menjadikan institusi itu lebih sukar diuruskan.

Di penjara negeri Lansing yang kekurangan tenaga kerja dan bekalan di Kansas pada Khamis, pengawal penjara selama 15 tahun, David Carter meletakkan jawatan dengan berkata lebih baik tiada gaji daripada membahayakan kesihatan dan keluarganya.

“Saya tidak boleh lagi dikaitkan dengan penjara yang merupakan bom waktu,” katanya dalam surat peletakan jawatan.

Tutup penjara

Jumlah banduan yang dibebaskan minggu lalu membuktikan masalah itu serius.

Biro penjara persekutuan, yang memiliki 152,000 banduan dan 36,000 kakitangan, merekodkan penularan di lebih separuh 122 kemudahannya.

Kurang 3,000 ujian dilaksanakan, 1,842 banduan dan 343 kakitangan diuji positif, dan 36 kematian banduan.

Pada Khamis saja biro terbabit melaporkan 3 kematian di penjara Terminal Island berhampiran Los Angeles, di mana 60% daripada 1,050 banduan disahkan positif.

Pengarah biro penjara, Michael Carvajal merungut mengenai kekurangan bekalan ujian dan berkata kuarantin sukar dilaksanakan.

“Kami tidak mempunyai pilihan untuk menutup pintu kami, atau memilih siapa atau bila seseorang dihantar ke penjara kami,” katanya pada Rabu.

Covid-19: 1435 lagi mati dalam 24 jam di AS

AFP
WASHINGTON:
Amerika Syarikat mencatatkan 1,435 kematian Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu, menurut statistik Universiti Johns Hopkins pada Sabtu, menjadikan keseluruhan angka korban melebihi 66,000 kes setakat ini.

Universiti berpangkalan di Baltimore itu mencatatkan lebih 1.1 juta kes di negara itu setakat 8.30 malam Sabtu dengan 66,224 kematian, meningkat 2% berbanding sehari sebelumnya.

Setakat ini, jumlah kematian Covid-19 di AS adalah yang tertinggi di seluruh dunia.

Rohingya baham ‘kita’, kaum lain ‘gitu’ juga - Rais Yatim

FMT Reporters

Tangkap layar catatan Pengerusi PPBM Negeri Sembilan, Rais Yatim di Twitter tentang Rohingya dan kaum lain.
PETALING JAYA: Pengerusi PPBM Negeri Sembilan, Rais Yatim mendakwa “kita” dibaham komuniti Rohingya apabila bilangan mereka mencapai ratus ribu di negara ini, di sebalik serangan xenofobia terhadap golongan pelarian itu muktahir ini.

Mengulas artikel di yang dikongsi di Twitter tentang 3 lelaki Rohingya terlibat pecah rumah ditahan polis, bekas menteri penerangan, komunikasi dan kebudayaan itu semalam berkata “Rohingya ini masa bilangannya kecil memang lunak perangai – pijak semut pun tak mati…”

“…tapi bila jumlah mereka dah beratus ribu dibahamnya kita. Kaum lain yang datang ke mari zaman Inggeris 20-an ‘gitu’ juga akhirnya.

“Kita sama-samalah belajar dari sejarah yang takat ini banyak menyebelahi orang luar.”

Rais belum menjawab panggilan atau mesej wartawan FMT untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Komen xenofobia mensasarkan Rohingya meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan ini, gelombang yang antaranya disebabkan berita palsu mendakwa mereka menuntut kerakyatan.

Ramai pemimpin agama dan aktivis hak asasi merayu semua pihak bertenang, hinggakan Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob hairan kenapa sekarang kedatangan pelarian Rohingya menjadi isu.

Di Twitter, catatan Rais itu mengundang reaksi negatif daripada warganet.

Seorang pengguna, @ibnzakuan tidak sangka Rais pernah jadi presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia “yang pelbagai kaum dan etnik”.

“Agak mengecewakan untuk seseorang yang pernah belajar tentang keadilan menghukum satu bangsa, padahal penjenayah itu boleh dilakukan oleh mana-mana bangsa atau warna kulit,” kata @khairullllll___ pula.

Dianggarkan kira-kira 200,000 pelarian Rohingya di Malaysia. Kerajaan menerima mereka atas dasar kemanusiaan, tetapi enggan mengiktiraf mereka sebagai pelarian, memaksa kebanyakan mereka bekerja secara haram dan mengemis.