"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MP PKR minta rakyat sabar, pentadbiran Anwar ibarat bayi belum berlari

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ahli Parlimen PKR Hassan Karim, antara penyokong blok kerajaan lantang mengkritik pentadbiran Anwar Ibrahim, meminta rakyat bersabar menunggu perdana menteri menyelesaikan pelbagai masalah negara.

Wakil rakyat Pasir Gudang itu berkata Anwar yang mula memegang tampuk pemerintahan di Putrajaya pada penghujung November lalu kini giat menyelesaikan satu persatu masalah diwarisi daripada pentadbiran dahulu.

Beliau turut mengibaratkan pentadbiran presiden PKR itu sebagai bayi berusia tujuh bulan yang belum pandai berlari.

“Kita telah menunggu lama untuk beliau menjadi perdana menteri, rakyat kena sabar sikit…kalau bayi tujuh bulan anak itu belum pandai berlari.

“Jadi masalah negara ini besar dan banyak, tetapi beliau buat (selesai) satu demi satu,” katanya berucap pada Jelajah Madani DUN Permatang malam tadi yang disiarkan di Facebook.

“Kadang-kala saya kritik juga dia, ada orang marah…tetapi tegur itu tegur sayanglah pemimpin kita.”

Jelajah itu turut dihadiri pemimpin Barisan Nasional (BN) Selangor yang bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRN bulan depan.

Hassan dalam satu temu bual dengan FMT pada April lalu mendedahkan bahawa pandangan jujurnya mengenai kerajaan Anwar meresahkan beberapa pemimpin yang menghantar mesej kepadanya, memintanya “lebih mengawal diri kerana PKR kini kerajaan”.

Tiga puisi bertajuk Ku Simpan Risalah Reformasi di Dalam Peti, Kuasa Mengubah Segala-galanya dan Satu Deklarasi dihasilkannya itu juga secara berkias mengkritik Anwar.

Puisi itu antara lain mendakwa Anwar menggadai prinsip perjuangan selain mempersoalkan perjanjian PH dengan gabungan parti membentuk kerajaan perpaduan.

Menteri komunikasi dan digital saran Muhyiddin cermin diri dulu

Samuel Chua

PUTRAJAYA: Jurucakap utama kerajaan, Fahmi Fadzil membidas Muhyiddin Yassin kerana mendakwa pentadbiran Anwar Ibrahim “tidak boleh diharap”, kerana kata-kata bekas perdana menteri itu sendiri meragukan.

Pengerusi Perikatan Nasional itu sebelum ini menyifatkan pentadbiran Anwar “tidak boleh diharap” dan mendakwa ia gagal selesaikan pelbagai isu.

“Kadang-kala, apabila saya mendengar kenyataan daripada Muhyiddin, bagi saya ianya tidak boleh diharap,” kata menteri komunikasi dan digital itu ketika ditemu bual FMT.

“Dia boleh kata kepada orang ramai yang dia dah tandatangan contohnya dokumen tentang pelupusan hutang Felda… tapi soalan asas di situ ialah kamu tandatangan atau tidak?” katanya, merujuk kepada hutang berkait Felda.

“Jawapannya ialah kamu tidak tandatangan (dokumen pelupusan), kamu tak boleh diharap.”

Pada Julai 2021, Muhyiddin selaku perdana menteri ketika itu mengumumkan kerajaan bersetuju melupuskan hutang peneroka Felda yang berjumlah RM8.3 bilion, namun tertakluk pada syarat tertentu.

Bagaimanapun, Jumaat lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyangkal dakwaan bahawa hutang telah dilupuskan sehingga lah beliau berbuat demikian baru-baru ini.

Muhyiddin mempertikaikan dakwaan Anwar, antaranya dengan memetik kenyataan Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said di Parlimen, namun perdana menteri menegaskan bahawa beliau lah yang menandatangani dokumen berkaitan.

Bagi Fahmi, isu-isu seperti dakwaan Muhyiddin tentang program pelupusan hutang Felda yang menimbulkan keraguan sama ada Ahli Parlimen Pagoh itu boleh dipercayai.

“Jadi bagi saya, sebelum Muhyiddin berkata apa-apa kepada mana-mana pihak yang lain, lihatlah dalam cermin wajah Tan Sri yang tak boleh diharap,” katanya.

Dua ibu tunggal didenda RM2,000 kerana menyundal

Faris Fuad
faris.fuad@bh.com.my

PETALING JAYA: Mahkamah Majistret hari ini mengenakan denda RM2,000 masing-masing terhadap dua ibu tunggal yang juga tukang urut kerana menawarkan khidmat seks kepada seorang anggota polis berpangkat koperal, bulan lalu.

Majistret, Zhafran Rahim Hamzah, memutuskan hukuman berkenaan selepas warga Vietnam, Tu Dong Thuy Hoa dan Thi Lan Giang, masing-masing berusia 33 tahun, mengaku bersalah atas tuduhan terbabit.

Mahkamah juga mengarahkan mereka dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didapati mencari langganan bagi tujuan persundalan dengan menawarkan perkhidmatan seks kepada anggota polis berpangkat koperal di sebuah bilik hotel di Taman Equine, Seri Kembangan, jam 6 petang, 27 Jun lalu.

Kesalahan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, peguam bela kedua-dua tertuduh, M S Jasmine Faith, memohon hukuman berbentuk denda atas alasan anak guam berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

"Dua anak guam masing-masing perlu tanggung seorang anak berusia lima serta 10 tahun, selain memohon maaf atas perbuatan itu.

"Anak guam direman selama 15 hari sejak ditangkap selepas bekerja selama dua hari sebagai tukang urut, ia menjadi pengajaran kepada mereka," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Maryam Jamilah Md Kamal, memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.