Syafiq Akhir
am@hmetro.com.my

MOHD Alwi menunjukkan 13 warga asing yang menyamar sebagai polis Jepun dalam serbuan yang dilakukan di tiga unit Condominium Timur Perdana, pada Khamis lalu. FOTO Syafiq Akhir
Kampar: Taktik 13 warga asing menyamar sebagai polis Jepun bagi memperdaya mangsa di negara matahari terbit itu terbongkar selepas polis menyerbu sebuah kondominium di sini yang dijadikan pusat panggilan sindiket penipuan, Khamis lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, serbuan jam 9 pagi itu dilakukan ke atas tiga unit kediaman di Condominium Timur Perdana, di sini.
Beliau berkata, suspek yang ditahan berusia antara 20 hingga 57 tahun terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita warga Jepun, berserta empat lelaki warga China.
"Siasatan awal mendapati sindiket ini mula beroperasi sejak Ogos lalu. Modus operandi mereka adalah menyasarkan mangsa di Jepun dengan menyamar sebagai pegawai polis.
"Suspek dipercayai menerima bayaran dalam bentuk komisen berdasarkan penipuan yang berjaya dilakukan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar di sini, hari ini.
Mohd Alwi berkata, hasil siasatan turut mendapati sebahagian daripada suspek pernah bekerja dan berpangkalan di Kemboja menjalankan kegiatan sama, sebelum masuk ke Malaysia menggunakan pas lawatan.
Menurutnya, susulan serbuan di ketiga-tiga premis berkenaan, polis merampas pelbagai barangan dan kelengkapan operasi dianggarkan bernilai RM20,000.
"Antara yang dirampas adalah tiga lencana polis Jepun, tiga set pemegang kad berlogo polis Jepun, tiga set pakaian berserta jaket serta satu set skrip penipuan berbahasa Jepun.
"Turut dirampas, dua komputer riba, 18 telefon bimbit, dua tablet dan sebuah mesin router internet," katanya.
Beliau berkata, suspek direman empat hari bermula Jumaat lalu hingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 120B dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Katanya, polis kini bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi meneliti status kemasukan serta pas lawatan semua suspek yang ditahan.
"Siasatan lanjut diteruskan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket, kaedah operasi, aliran kewangan serta individu lain yang mungkin terbabit," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan