"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hassan Karim: ‘Amat bahaya’ jika pemimpin PN tadbir negara, kata veteran PKR

FMT Reporters

Hassan Karim sifatkan tindakan kerajaan PN ketika wabak Covid-19 ‘bunuh demokrasi’.
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berpendapat, tiada seorang pun pemimpin semasa Bersatu dan PAS layak memimpin negara.
PETALING JAYA: Seorang veteran PKR memberi amaran ‘amat bahaya’ sekiranya pemimpin semasa Perikatan Nasional (PN) dibenarkan mentadbir negara semula, susulan tindakan mereka yang menurutnya ‘membunuh demokrasi’ ketika wabak Covid-19.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim menyifatkan tindakan mengisytiharkan darurat di seluruh negara dan menggantung Parlimen sebagai ‘pengkhianatan terhadap rakyat yang sukar dimaafkan’.

Katanya, tiada seorang pun pemimpin semasa Bersatu dan PAS layak memimpin negara, berikutan kenyataan baru-baru ini yang mencadangkan pemimpin kedua-dua parti itu sebagai calon berpotensi untuk menjadi perdana menteri.

“Pertimbangan saya terhadap keupayaan dan sikap bertanggungjawab pemimpin Bersatu dan PAS dalam menguruskan negara mungkin berubah jika (mereka) berupaya mengemukakan barisan pemimpin baharu yang lebih rasional, amanah dan bertanggungjawab,” katanya dalam hantaran di media sosial.

Mengenai pemimpin PN semasa, Hassan berkata: “Kesalahan mereka yang saya sukar maafkan hingga sekarang adalah PN mengisytiharkan darurat seluruh negara dan menggantung Parlimen selama enam bulan (ketika wabak).”

“Selagi Bersatu dan PAS dipimpin oleh generasi lama yang bertanggungjawab membunuh demokrasi dengan menggantung Parlimen dan menutup jalan ke sana dan mengisytiharkan darurat di seluruh negara, maka selagi itu amat bahaya memberi kuasa kepada mereka yang ada rekod menghancurkan demokrasi di Malaysia ini.”

Awal minggu ini, empat pemimpin PN disebut-sebut sebagai calon berpotensi menjadi perdana menteri.

Ahli Parlimen Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menamakan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin; Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar; dan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ulama PAS Mokhtar Senik kemudian turut mencadangkan presiden parti itu, Hadi Awang sebagai seorang lagi calon berpotensi.

Ketika wabak Covid-19 melanda negara, kerajaan PN pimpinan Muhyiddin mencetuskan darurat di seluruh negara dari Januari hingga Ogos 2021. Keadaan darurat itu memberi kerajaan kuasa yang luas untuk menggubal undang-undang dan dasar tanpa kelulusan Parlimen.

Kerajaan Muhyiddin, dan kerajaan berikutnya pimpinan Ismail Sabri Yaakob mengisytiharkan sekatan pergerakan orang ramai di seluruh negara bagi mengekang penularan wabak.

60 maut lori tangki meletup

Reuters

Maiduguri, Nigeria: Sekurang-kurangnya 60 terbunuh, manakala yang lain cedera apabila sebuah lori tangki petrol terbalik dan meletup di utara Nigeria pada Sabtu, kata Kor Keselamatan Jalan Raya Persekutuan (FRSC).

Kemalangan yang berlaku di Niger itu sama seperti kejadian sama di Jigawa pada Oktober lalu yang mengorbankan 147 orang, salah satu tragedi terburuk di negara paling ramai penduduk di Afrika itu.

Komander sektor FRSC Niger, Kumar Tsukwam, berkata kebanyakan mangsa adalah penduduk tempatan yang miskin yang bergegas mengambil petrol yang tumpah selepas trak itu terbalik.

"Lori tangki itu terbakar, memusnahkan sebuah lagi kapal tangki.

"Setakat ini 60 mayat (sudah) ditemui dari tempat kejadian," kata Tsukwam dalam satu kenyataan.
-hmetro 

Mayat terdampar di Pantai Desaru

Izz Laily Hussein
am@hmetro.com.my
LOKASI penemuan mayat lelaki terdampar di Pantai Desaru, hari ini. FOTO Ihsan Polis.
LOKASI penemuan mayat lelaki terdampar di Pantai Desaru, hari ini. FOTO Ihsan Polis.
Kota Tinggi : Mayat seorang lelaki yang dipercayai mati lemas ditemukan terdampar di Pantai Desaru di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu kira-kira 7.30 pagi tadi.

"Sebaik mendapat maklumat anggota digerakkan untuk menjalankan siasatan di tempat kejadian.

"Mangsa dipercayai seorang lelaki dalam lingkungan usia 30 hingga 40 tahun, berkulit cerah dan dipercayai warga tempatan berbangsa Cina," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat ditemui tanpa sebarang dokumen pengenalan diri dan hanya berseluar pendek warna putih.

Katanya, pemeriksaan yang dijalankan oleh pegawai kesihatan dari Klinik Kesihatan Felda Sening di lokasi kejadian mengesahkan lelaki itu sudah meninggal dunia.

"Mayat yang ditemui itu kemudian dibawa ke Bahagian Forensik, Hospital Kota Tinggi untuk tindakan prosedur siasatan dan hasil bedah siasat yang dijalankan mengesahkan kematiannya adalah disebabkan lemas.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Pada masa sama, Yusof meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai waris lelaki berkenaan atau mempunyai ahli keluarga yang hilang, boleh segera menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Asnalisz Zainal di talian 016-4446871.