"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

33 lagi maut, Gaza bermandikan darah pada Aidilfitri

Malaysiakini 

Sekurang-kurangnya 33 rakyat Palestin termasuk 13 kanak-kanak terbunuh manakala beberapa yang lain cedera dalam siri serangan udara Israel sejak awal pagi Ahad, lapor Anadolu Ajansi.

Saksi dan petugas perubatan memaklumkan bahawa serangan udara Israel menyasarkan kediaman penduduk, khemah perlindungan, serta kenderaan awam di Gaza City, Jabalia di utara, dan Khan Younis di selatan.

Menurut sumber perubatan, serangan ke atas beberapa kawasan termasuk sebuah rumah di Bani Suheila, timur Khan Younis, serta khemah yang menempatkan keluarga pelarian di Qizan Raswan meragut 17 nyawa, termasuk lapan kanak-kanak.

Pada masa yang sama, kereta kebal dan artileri Israel turut membedil kawasan timur Abasan al-Kabira, timur Khan Younis.

Di Gaza City, seorang rakyat Palestin terbunuh dan beberapa yang lain cedera selepas jet pejuang Israel menyasarkan tiga kenderaan awam di kawasan Tuffah.

Sementara itu, di utara Gaza, dua kanak-kanak perempuan terbunuh dan beberapa lagi cedera selepas rumah keluarga Maqbel di kawasan Jurn, Jabalia, dibom oleh pesawat tempur Israel.

Dalam satu lagi serangan di kawasan timur Gaza City, lima rakyat Palestin terbunuh dan beberapa yang lain cedera apabila sebuah rumah di Jalan Mushtaha, kejiranan Shejaiya, menjadi sasaran.

Serangan berterusan turut menyaksikan dua kanak-kanak maut akibat tembakan kereta kebal Israel mengenai rumah mereka di timur Jabalia, manakala dua lagi rakyat Palestin terbunuh dalam serangan ke atas khemah pelarian di timur kem Nuseirat, Gaza.

Di Deir al-Balah, Israel menyerang sebuah khemah berhampiran Hospital Al-Aqsa Martyrs, membunuh dua lagi rakyat Palestin dan mencederakan beberapa yang lain.

Sumber perubatan juga melaporkan seorang pemuda dan seorang kanak-kanak maut akibat kecederaan yang dialami susulan pengeboman di kem Khan Younis dan kawasan al-Mawasi, selatan Gaza.

Dalam keadaan Gaza terus dibedil tanpa henti, ratusan ribu rakyat Palestin menunaikan solat Aidilfitri di atas runtuhan masjid yang musnah, di pusat perlindungan pelarian, serta di sebelah puing-puing kediaman mereka.

Sejak serangan besar-besaran Israel ke atas Gaza bermula pada Oktober 2023, lebih 50,250 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, telah terbunuh, manakala lebih 114,000 cedera dalam kempen ketenteraan yang semakin ganas.

- Bernama-Anadolu

Polis tahan suami wanita jatuh tingkat 4 pangsapuri ketika bertengkar

Meor Riduwan Meor Ahmad

MELAKA: Polis menahan seorang lelaki yang juga suami kepada wanita yang parah terjatuh dari balkoni rumah di tingkat empat sebuah pangsapuri di Cheng pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kelindan lori berusia 33 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, jam 4.30 petang semalam.

"Suspek kini direman enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi semalam, suri rumah berusia 35 tahun jatuh dari dari balkoni rumah selepas bertengkar dengan suami mengenai tunggakan sewa rumah serta bil elektrik dan air yang gagal dijelaskan.

Kejadian disedari jiran mangsa yang terdengar dentuman sebelum wanita itu ditemui dalam keadaan terlentang di bawah pangsapuri berkenaan, lantas menghubungi polis.

Christopher berkata, mangsa dirawat di Wad Mawar Unit Rawatan Rapi kerana mengalami pendarahan pada kepala, patah tulang belakang, tangan kanan dan rusuk kiri serta cedera organ dalaman (perut).

"Maklumat terkini mangsa masih ditidurkan, namun keadaan stabil," katanya.

4 remaja ditahan disyaki merusuh, rosakkan kenderaan

Mary Victoria Dass
am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Empat remaja berusia 15 hingga 18 tahun ditahan, disyaki terbabit dalam rusuhan dan merosakkan kenderaan di sekitar bandar raya ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan kejadian daripada lelaki tempatan berusia 21 tahun yang mendakwa diserang pada 6.30 petang kelmarin di hadapan sebuah pangsapuri.

"Mangsa yang menaiki Perodua Alza bersama abang dan kakaknya ditahan oleh sekumpulan lelaki.

"Apabila mangsa keluar dari kenderaan, dia dipukul termasuk dengan menggunakan topi keledar, selain seorang daripada suspek menghempas kerusi ke arah kenderaan milik kakak mangsa," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bertindak atas maklumat, katanya, polis berjaya menangkap empat suspek pada Sabtu dan hari ini di sekitar Tampoi di sini, malah semakan rekod jenayah mendapati dua daripada mereka memiliki rekod jenayah lampau, manakala dua lagi tiada.

"Kesemua suspek warga tempatan itu dibawa ke Mahkamah Johor Bahru hari ini untuk perintah reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata.

"Mereka juga disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat," katanya.

Orang ramai dinasihat tidak bertindak di luar batas undang-undang dan menyerahkan sebarang perbalahan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Sebelum itu, tular video berdurasi tiga minit 21 saat memaparkan pergaduhan tersebut yang berlaku di sebuah pangsapuri di bandar raya ini.