"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Adik mengaku tak salah tikam abang guna tulang ekor pari

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas pertuduhan menikam abangnya menggunakan tulang ekor pari di Kampung Pauh Jabit Beris Kubur Besar, Bachok.

Harian Metro melaporkan Mohd Izwan Sukarnor, 36, mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Zulkifli Abllah.

Tertuduh didakwa sengaja menyebabkan kecederaan parah dengan menikam Mohd Fakhran, 40, menggunakan tulang ekor pari di sebuah rumah di Kampung Pauh Jabit Beris Kubur Besar, Bachok pada 9.30 pagi 1 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan, serta dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara dua kali ganda dari tempoh maksimum, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan sebutan semula kes pada 16 Jun ini.

PAS Terengganu berserah sedia disiasat

‘Apa lagi kami boleh kata’, PAS Terengganu sedia disiasat
Faiz Zainudin

Penolong Setiausaha PAS Terengganu Hanafiah Mat ulas desakan pihak yang mahu tindakan tegas dikenakan susulan kontroversi Jalur Gemilang silap.

PAS sudah membuat permohonan maaf dan mengeluarkan versi baharu logo himpunan Teguh Memimpin Terengganu 2025.
PETALING JAYA: PAS Terengganu terbuka jika pihak berkuasa ingin meneruskan siasatan berhubung kesilapan memaparkan imej Jalur Gemilang.

Penolong Setiausaha, Hanafiah Mat, berkata pihaknya juga tidak boleh menghalang pihak masih tidak berpuas hati yang berterusan mendesak siasatan dijalankan walaupun permohonan maaf sudah dibuat.

“Kami sudah mengaku kesilapan, pihak urus setia program juga sudah minta maaf dan segera membetulkan kesilapan itu. Apa lagi kami boleh katakan…itu sahaja kami boleh jelaskan,” katanya kepada FMT.

Kelmarin, PAS Terengganu dilaporkan membuat permohonan maaf secara terbuka susulan kontroversi logo himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT) 2025 yang memaparkan bintang Jalur Gemilang tanpa jumlah bucu lengkap.

Sekretariat program memaklumkan, pihaknya menarik semula penggunaan logo itu dan mengeluarkan versi baharu.

Semalam, pemimpin parti kerajaan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap PAS Terengganu susulan kontroversi itu.

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong, berkata walaupun permohonan maaf dibuat, ia tidak seharusnya menjadi penyelesaian setiap kali simbol negara dihina mahupun disalah guna.

Neow mengingatkan tentang respons PAS terhadap kontroversi berkait penerbitan Jalur Gemilang silap sebelum ini dan menegaskan tindakan harus diambil ‘tanpa pilih kasih’.

Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, pula meminta Ahli Parlimen menggubal undang-undang mengenai perkara itu supaya tindakan lebih keras boleh digunakan.

Sementara itu, Hanafiah yang juga Adun Cukai berkata beliau akan membawa isu tersebut dalam mesyuarat mingguan PAS Terengganu termasuk membincangkan setiap pandangan dibangkitkan pelbagai pihak susulan kontroversi berkenaan.

Sebelum ini, selain Kementerian Pendidikan dan Sin Chew Daily, akhbar Kwong Wah Yit Poh dan vendor pameran dari Singapura turut dilaporkan memaparkan imej Jalur Gemilang silap, mendorong pelbagai pihak termasuk PAS menuntut tindakan tegas diambil.

‘Kantoi’ dua penceramah jemputan kuliah di masjid rupanya pemimpin Pas Perak

Harapandaily

Dua penceramah jemputan bagi pengajian kuliah bulanan di sebuah masjid di Kuala Kangsar rupa-rupanya merupakan pemimpin Pas Perak.

Perkara itu didedahkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim hari ini.
Beliau berkata, semakan daripada aduan seorang jemaah masjid tersebut mendapati kedua-dua pemimpin Pas berkenaan tiada tauliah mengajar Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

“Kedua-dua penceramah tersebut memegang jawatan utama dalam Badan Perhubungan Pas Perak.

“Saya telah hantar aduan kepada beberapa pegawai kanan kerajaan untuk diambil tindakan sewajarnya,” kata Hasnul.

Semakan mendapati dua penceramah terbabit adalah Fairuz Hafizh Othman dan Ibrahim Zakaria masing-masing merupakan Setiausaha dan Ketua Dewan Ulama Pas Perak sesi 2023 hingga 2025.

Mengulas lanjut, Hasnul berpendapat pihak berkuasa agama negeri sukar mengawal masalah penceramah jemputan tanpa tauliah mengajar jika sebahagian besar ahli jawatankuasa masjid dikuasai ahli-ahli Pas.

“Mereka ini akan mengawal pengurusan masjid terutamanya Biro Pengajian dengan menjemput ustaz-ustaz Pas yang tiada tauliah Jabatan Mufti.

“Hal ini jelas melanggari arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa dan mengingkari titah Tuanku Sultan,” tegas Hasnul lagi.