"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Misteri tugu didakwa berkait fahaman Freemason di Lenggeng

Ahmad Hasbi
Penguat kuasa Majlis Bandaraya Seremban (MBS) meletakkan notis merobohkan struktur didakwa tugu dikaitkan dengan Freemason. Foto Facebook
Penguat kuasa Majlis Bandaraya Seremban (MBS) meletakkan notis merobohkan struktur didakwa tugu dikaitkan dengan Freemason. Foto Facebook
NILAI: Penduduk di kawasan perumahan di Bandar Tasik Senangin, Lenggeng, di sini, meluahkan rasa tidak selesa dengan kewujudan sebuah tugu yang didakwa dikaitkan dengan pertubuhan Freemason.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin berkata, beliau menerima aduan berhubung kewujudan batu tugu di sebidang tanah semalam.

“Penduduk meluahkan kebimbangan mengenai kewujudan batu tugu itu kerana ia didirikan di kawasan penduduk yang majoritinya berbangsa Melayu dan beragama Islam.

“Strukturnya walaupun bersaiz sederhana tetapi tidak sesuai dibina di situ. Timbul juga persoalan lokasi ini dipilih sedangkan banyak lagi kawasan lain yang boleh dibina,” katanya.

Beliau berkata, susulan aduan yang diterima, pihaknya sudah memaklumkan perkara berkenaan kepada Majlis Bandaraya Seremban (MBS) untuk tindakan lanjut dan difahamkan notis merobohkan struktur berkenaan juga sudah dikeluarkan.

Beliau berkata, sehingga kini pihaknya masih belum mendapat jawapan punca dan alasan tugu itu dibina di kawasan yang 95 peratus penduduknya berbangsa Melayu.

“Saya akan mendapatkan maklum balas lanjut daripada MBS mengenai status tanah ini,” katanya.

Beliau berharap penduduk setempat dapat bertenang dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Kalau macam tu betul la Sanusi, MB Kedah fitnah Anwar

Sanusi tarik balik kenyataan fitnah, Anwar setuju tarik balik saman

SITI NUR ZAWANI

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor menarik balik kenyataan-kenyataan fitnah yang dibuatnya terhadap Perdana Menteri kira-kira dua tahun lalu ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 yang lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Sanusi secara terbuka, suci hati dan tanpa syarat menarik balik kenyataan beliau.

Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga bersetuju untuk menamatkan pertikaian ini secara muktamad memandangkan terdapat lebih banyak isu yang lebih besar yang perlu diberikan perhatian demi kepentingan negara. 

“Setelah mempertimbangkan kesan daripada tindakan saman fitnah serta kos perundangan yang bakal ditanggung oleh kedua-dua pihak, pihak-pihak telah bersetuju untuk menamatkan pertikaian ini secara muktamad.

“YAB Datuk Seri Anwar dan YAB Datuk Seri Muhammad Sanusi telah mengambil keputusan untuk menghentikan pertikaian peribadi mereka dalam prosiding di Mahkamah Tinggi Malaya di Alor Setar.

“Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan daripada prosiding ini, pihak-pihak dengan itu mengambil langkah penarikan balik ini sebagai usaha untuk menjernihkan keadaan dan mengekalkan hubungan yang baik dan berhemah antara kedua-dua pihak,” kata kenyataan itu.

Terdahulu saman difailkan Anwar berhubung ucapan Sanusi ketika kempen PRU15 di Tambun yang mendakwa Anwar seorang penipu, tidak boleh dipercayai dan tidak beretika serta telah mengkhianati mandat rakyat.

Sanusi juga mendakwa pengampunan penuh yang diberikan kepada Anwar oleh Yang di-Pertuan Agong tidak diperoleh mengikut protokol dan prosedur yang ditetapkan, selain menuduh Anwar sebagai seorang penjenayah yang telah melakukan kesalahan yang masih kekal dalam rekod.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Anwar bersetuju untuk menarik semula Guaman Sivil terhadap Sanusi tanpa perintah mengenai kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula. 

Sanusi juga beriltizam untuk tidak mengulangi mana-mana perkataan yang menjadi asas tindakan guaman ini selepas daripada ini.

Sah Pasport menantu Muhyiddin ni sudah dibatalkan tapi macam mana dia boleh bergerak di luar negara

Bernama

Menteri KDN berkata, pihaknya akan semak bagaimana Adlan Berhan boleh bergerak di luar negara sedangkan pasportnya telah dibatalkan.
Adlan Berhan
Menantu bekas PM Muhyiddin Yassin, Adlan Berhan, meninggalkan negara ini menuju ke New Zealand pada 17 Mei 2023, tidak lama selepas bapa mentuanya didakwa atas beberapa tuduhan rasuah. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan pasport milik menantu Muhyiddin Yassin, Adlan Berhan telah dibatalkan.

Saifuddin berkata, ia susulan permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membatalkan pasport individu yang dikehendaki itu.

“Saya difahamkan oleh Jabatan Imigresen bahawa SPRM pernah mengangkat permohonan untuk membatalkan pasport individu tersebut dan hal itu telah pun dilaksanakan. Itu saya boleh sahkan,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini.

Beliau berkata, polis serta Jabatan Imigresen akan membantu membawa pulang Adlan, yang kini dipercayai berada di luar negara, bagi tujuan siasatan SPRM.

“Individu tersebut sememangnya dikehendaki untuk tujuan siasatan oleh SPRM. Jadi, bagaimana dua agensi di bawah KDN iaitu Jabatan Imigresen dan polis boleh membantu untuk membawa pulang (individu tersebut), itu keutamaan kami,” katanya.

Saifuddin berkata, pihaknya juga akan menyemak bagaimana Adlan boleh bergerak di luar negara sedangkan pasportnya telah dibatalkan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan menantu bekas perdana menteri itu berada di sebuah negara Asia Barat seperti yang dilaporkan media hari ini.

Adlan meninggalkan negara ini menuju ke New Zealand pada 17 Mei 2023, tidak lama selepas bapa mentuanya didakwa atas beberapa tuduhan rasuah.