"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tiga beranak menyamar pekerja kebajikan, minta barang kemas warga emas

LUQMAN RIDHWAN MOHAMED NOR
Barang kemas milik mangsa yang berjaya diperoleh kembali susulan penahanan tiga suspek di Semenyih, Selangor kelmarin. - Foto IHSAN PDRM
TELUK INTAN – Polis berjaya menahan tiga suspek iaitu seorang wanita dan dua anaknya yang terlibat sindiket penipuan menawarkan bantuan kebajikan masyarakat di sebuah pangsapuri di Semenyih, Selangor kelmarin.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, pada 29 Jun lalu, tangkapan itu susulan laporan oleh seorang warga emas yang menjadi mangsa sindiket tersebut.

Beliau berkata, pada 29 Jun lalu, mangsa yang berumur 67 tahun semasa sedang menunggu untuk membuat pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital di sini didatangi oleh seorang perempuan iaitu suspek dengan memperkenalkan diri sebagai pekerja kebajikan termasuk menawarkan bantuan sebanyak RM2,000 sebulan.

“Pada ketika itu, suspek meminta barang kemas yang dipakai oleh mangsa untuk proses mendapatkan bantuan kebajikan tersebut. Tanpa menyedari dirinya ditipu, mangsa telah menyerahkan barang kemas yang dipakainya iaitu seutas rantai leher emas, sepasang subang emas berserta rantai pendek dan tiga cincin emas,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Alwi berkata, mangsa menyedari bahawa dirinya telah ditipu apabila suspek tidak datang kembali untuk menemuinya dan terpaksa menanggung kerugian dianggarkan bernilai RM3,000.

“Hasil daripada maklumat siasatan, pada 3 Julai 2026 pukul 4.10 petang, sepasukan polis dari Bahagian Siasalan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak telah berjaya menjejaki suspek di sebuah pangsapuri di Semenyih. Seramai tiga orang suspek iaitu dua orang perempuan dan seorang lelaki berusia antara 22 tahun hingga 50 tahun berjaya ditangkap.

“Selain merampas pakaian yang digunakan oleh suspek ketika memperdayakan mangsa, pihak polis juga berjaya merampas kembali barang kemas milik mangsa yang sempat dijual oleh anak suspek di sebuah kedai pajak gadal di Teluk Intan. Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari mulai semalam hingga Selasa ini dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Kelantan: 15 minit penumpang SUV terbabas meraung minta tolong

ROHANA MOHD. NAWI
Ahmad Sidiki menunjukkan lokasi sebuah SUV jenis Honda CR-V yang terbabas sebelum merempuh surau SK Bukit Jawa 2, Pasir Puteh hari ini. FOTO ROHANA MOHD. NAWI
PASIR PUTEH – Seorang pengawal keselamatan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jawa 2 di sini hanya mampu mendengar jeritan meminta pertolongan daripada beberapa mangsa yang tersepit selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang mereka naiki terbabas merempuh surau sekolah tersebut hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 pagi itu, wanita warga Indonesia berusia 67 tahun dan anak perempuannya berusia 44 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian manakala empat lagi ahli keluarga mereka cedera.

Ahmad Sidiki Abdul Rahman, 50, berkata, ketika dan rakan setugasnya yang ketika itu berada di pos pengawal sekolah melihat sebuah SUV jenis Honda CR-V terbabas merempuh surau, mereka bergegas ke lokasi untuk mengeluarkan mangsa tersepit, namun gagal berbuat demikian.

“Saya hanya mampu mendengar jeritan beberapa mangsa meraung kesakitan selama 15 minit kerana tidak dapat dikeluarkan dari kenderaan itu sebelum pasukan bomba tiba. Saya lihat enam mangsa berada di dalam SUV itu dan dua daripada mereka sudah meninggal dunia. Pemandu kenderaan itu merupakan seorang wanita warga Indonesia,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan, dua wanita warga Indonesia lingkungan umur 30-an dan 50-an maut selepas kenderaan SUV yang mereka naiki terbabas sebelum merempuh surau sekolah

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Saari Mamat ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan 1987. – KOSMO! ONLINE

Umno: Parti atau persona ‘Bossku’?

Fauzi Abdullah

Adakah rakyat mengundi sebuah parti politik atau sekadar mengesahkan pengaruh seorang tokoh?

Kenyataan Mohd Nazifuddin Najib kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada PRN Johor akan menjadi isyarat rakyat terus menyokong bapanya Najib Razak, serta harapan terhadap pengampunan diraja, kembali menghidupkan persoalan lama yang belum benar-benar reda: sejauh mana Umno masih boleh dipisahkan daripada fenomena ‘Bossku’?

Lebih daripada itu, kenyataan tersebut membuka satu perdebatan yang lebih mendasar. Apabila pengundi memilih BN, adakah mereka sebenarnya sedang memberi mandat kepada sebuah kerajaan negeri, atau keputusan itu akan terus dibaca sebagai isyarat terhadap nasib seorang individu?

Reaksi daripada ‘lawan yang juga kawan’ pantas menyusul. Timbalan Setiausaha Agung PKR, G Sivamalar, menyifatkan kenyataan itu sebagai penghinaan terhadap kebijaksanaan rakyat Johor dan prinsip demokrasi, manakala seorang lagi timbalan setiausaha agung parti itu, Aidi Amin Yazid, menegaskan PRN Johor tidak wajar dijadikan alat mengubah keputusan undang-undang atau memberi tekanan terhadap kes individu tertentu.

Kritikan itu mungkin lahir daripada persaingan politik yang biasa, namun isu lebih besar bukan pada respons PKR, sebaliknya mesej tersirat dibawa Nazifuddin sendiri — anak kedua Najib dan ketua Umno Langkawi.

Fenomena ini bukan sesuatu yang baharu.

Sejak kekalahan BN pada PRU 2018, ketika ramai menjangkakan pengaruh Najib akan pudar, muncul gelombang ‘Bossku’ yang memberi nafas baharu kepada naratif politiknya. Melalui pendekatan santai, siri jelajah akar umbi dan penggunaan media sosial, bekas Ahli Parlimen Pekan itu terus mengekalkan pengaruh dalam kalangan penyokongnya walaupun tidak lagi berada dalam kerajaan.

Ketika Umno berdepan krisis keyakinan selepas kekalahan paling besar dalam sejarahnya, naratif ‘Bossku’ menjadi antara elemen yang membantu menyatukan semula sebahagian penyokong dan mengembalikan sedikit keyakinan terhadap parti.

Namun begitu, apa yang berkesan pada suatu ketika tidak semestinya kekal relevan selamanya.

Apabila kemenangan pilihan raya mula ditafsir sebagai isyarat sokongan terhadap pengampunan diraja, garis pemisah antara sokongan kepada parti dan sokongan kepada individu menjadi semakin kabur.

Di sinilah timbul dilema yang sukar dijawab Umno sendiri: adakah ia bertanding sebagai institusi politik berasaskan dasar dan pentadbiran, atau masih bergantung kepada pengaruh bekas presidennya?

Umno sememangnya menghargai pemimpin yang pernah membawa kemenangan. Seperti mana-mana parti politik, jasa dan sejarah sukar dipadam daripada ingatan kolektif. Namun, politik hari ini tidak lagi bergerak atas nostalgia semata-mata.

Sebahagian besar pengundi, khususnya generasi muda, kini lebih menumpukan kepada isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, kestabilan ekonomi dan kecekapan pentadbiran berbanding sentimen lama.

Dalam keadaan itu, usaha mengaitkan kemenangan BN dengan sokongan terhadap Najib membawa risiko yang tersendiri. Ia bukan sahaja boleh mengaburkan mesej parti, tetapi juga mengalihkan fokus perbincangan daripada dasar dan pentadbiran kepada isu yang bersifat peribadi.

Pada asasnya, pilihan raya adalah medan rakyat memilih kerajaan untuk mentadbir. Sementara urusan seperti pengampunan diraja pula berjalan mengikut proses dan pertimbangan perlembagaan. Mencampurkan kedua-duanya hanya akan mengelirukan makna sebenar mandat rakyat.

Maka, di sinilah terletaknya dilema Umno.

Jika naratif ‘Bossku’ terus menjadi sebahagian daripada bahasa politiknya, parti itu mungkin masih mampu mengekalkan sokongan dalam kalangan penyokong tradisional. Namun, pada masa sama, ia berisiko mengukuhkan persepsi bahawa kekuatan Umno masih bergantung kepada seorang individu, bukannya keupayaan parti menawarkan kepimpinan dan dasar yang meyakinkan.

Ironinya, ‘Bossku’ pernah menjadi penyelamat ketika Umno berada di titik paling rendah selepas 2018. Tetapi pada 2026, persoalan yang lebih penting bukan lagi sama ada pengaruh itu masih wujud, sebaliknya sama ada Umno mampu membuktikan ia tidak lagi bergantung kepadanya.

Selagi persoalan itu belum terjawab, setiap kemenangan BN akan terus mengundang tafsiran yang sama: adakah rakyat mengundi sebuah parti politik, atau sekadar mengesahkan pengaruh seorang tokoh?

Antara parti dan persona. Itulah dilema yang masih menghantui Umno.