"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hadi janji PAS tak sokong Umno di Semenyih - Tun Mahathir

Annabelle Lee
Beberapa jam selepas pemimpin kanan PAS hadir memberi sokongan kepada Umno dan BN di Semenyih, maklumat baru didedahkan Dr Mahathir Mohamad agak mengejutkan.

Menurut perdana menteri, dalam pertemuan beliau dengan Presiden PAS semalam Abdul Hadi Awang memberi perakuan untuk tidak menyokong Umno.

Ditemui di Petaling Jaya hari ini Mahathir mendakwa pada asasnya beliau dan Abdul Hadi berbincang mengenai politik semalam.

Ditanya mengenai butiran lanjut, Mahathir berkata PAS tidak akan menyokong Umno lagi.

"Tak akan menyokong Umno, ada juga pengakuan secara tertulis dan ditandatangani," katanya.

Malaysiakini sedang menghubungi PAS, termasuk Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, dan Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang turut menghadiri pertemuan semalam, bagi mendapatkan pengesahan.

Semalam Abdul Hadi hadir di pejabat Mahathir di Yayasan al-Bukhari di Kuala Lumpur untuk mengadakan kali kedua dengan pengerusi PH itu.

Ia berlaku sehari sebelum penamaan calon bagi PRK Semenyih di Kajang.

Semenyih tak sama Cameron

Tidak banyak maklumat didedahkan mengenai pertemuan tersebut. Namun ketika ditemui media di Alor Limbat, Terengganu semalam Abdul Hadi menyatakan pertemuan tersebut untuk membincangkan hal-hal pentadbiran.

"Lebih bincang penyelarasan antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

"Isu Majlis Tindakan Ekonomi Negara, projek-projek ada di bawah kerajaan pusat dan kerajaan negeri supaya tiada percanggahan," katanya.

Abdul Hadi juga mengesahkan kerajaan persekutuan sudah membayar royalti minyak kepada kerajaan Terengganu.

Pertemuan semalam diadakan ekoran permohonan daripada Abdul Hadi.

Semasa ditanya di Alor Limbat sama ada Abdul Hadi membincangkan isu PRK Semenyih, anggota parlimen Marang itu berkata: "Semenyih, nama calon pun tak ada lagi. Secara umumnya seperti yang kita tahu, Semenyih tak sama dengan Cameron (Highlands).

"Cameron ni, PAS lawan DAP. Semenyih ni kita lawan bukan perkauman, (tapi) Melayu dengan Melayu dan kita serah kepada kebijaksanaan pengundi di situ, dan keperluan melihat kepentingan Melayu dan Islam."

Abdul Hadi juga menambah PAS akan melihat keadaan sama ada akan membantu BN selepas mendapat maklumat terperinci daripada PAS Selangor.

"Apa yang penting, kita mahu kedudukan orang Melayu dan Islam kuat," katanya.

Ditanya mengenai isu calon pembangkang, Abdul Hadi menjawab: "Soal calon kita tak ada hak sebab kita dah tarik diri dengan tidak bertanding."

Resmi DUN Semenyih akan ditandingi empat calon

Secara rasmi kerusi DUN Semenyih akan ditandingi empat calon.

Pertembungan empat penjuru itu membabitkan Zakaria Hanafi dari BN, Muhammad Aiman Zinali (PH), Nik Aziz Afiq Abdul (PSM) dan Kuan Chee Heng (bebas).

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mohd Sayuthi Bakar berkata semua borang pencalonan diterima.

Polis mengesahkan seorang lelaki meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri semasa mengiringi calon hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata setakat ini belum banyak maklumat diperolehi, selain lelaki terbabit berusia 50-an.

"Dipercayai dia mengalami kesukaran bernafas namun polis belum mendapat pengesahan," katanya.

Menurut Ahmad Dzaffir polis menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 9.30 pagi tadi dan mayat lelaki berkenaan dihantar ke Hospital Kajang.

Sementara itu beliau berkata seramai 733 anggota dan pegawai polis ditugaskan untuk memastikan proses penamaan calon hari ini berlangsung dengan lancar.

SPRM akan jumpa hakim dedah afidavit menggemparkan

V Anbalagan
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menemui hakim Mahkamah Rayuan yang mengesahkan afidavit didakwa mendedahkan insiden campur tangan kehakiman, kata Timbalan Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Azam Baki.

Beliau berkata, pegawainya akan menemui Datuk Hamid Sultan Abu Backer minggu depan pada masa dan tempat yang sesuai dengan hakim itu.

“Kami mahu mendapatkan lebih banyak maklumat daripada hakim itu mengenai dokumen itu kerana kami hanya bergantung kepada laporan media.

“Kami belum buka sebarang kertas siasatan mengenai afidavit itu,” katanya kepada FMT

Semalam, Hamid mengesahkan afidavit setebal 65 muka yang menyokong saman pemula difailkan peguam, Sangeet Kaur Deo terhadap dakwaan kegagalan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum melengkapkan siasatan terhadap 2 kes didakwa membabitkan campur tangan kehakiman.

Satu daripada kes itu adalah kes hasutan terhadap bapa Sangeet, mendiang Karpal Singh, sementara satu lagi kes membabitkan Hamid, yang mendakwa beliau ditegur seorang hakim atasan kerana membuat penghakiman berbeza dalam kes penukaran agama 3 anak M Indira Gandhi.

Sangeet memohon perintah deklarasi terhadap ketua hakim negara gagal menjalankan tugasnya untuk melindungi dan mempertahankan integriti kehakiman.

Dalam satu kenyataan November lalu, Malanjum dilaporkan berkata, pihak kehakiman terpaksa menggantung siasatan dalam kes Karpal disebabkan siasatan polis sedang berjalan dan menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Katanya, siasatan ke atas kes Karpal juga tidak dapat dijalankan kerana 3 hakim Mahkamah Rayuan masih berkhidmat.

Mengenai kes ke-2, Malanjum berkata, siasatan terhadap dakwaan salah laku tidak dapat dijalankan kerana hakim terbabit sudah bersara.

Gesa tubuh RCI

Peguam, Ramkarpal Singh berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu menyahut gesaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dengan segera, memandangkan imej dan integriti badan kehakiman dipertaruhkan.

“Hakim bukan tuhan. Mereka pegawai mahkamah yang terikat kepada kod etika paling ketat dan perlu faham mereka boleeh dikenakan tindakan disiplin teruk atas sebarang pelanggaran,” kata ahli Parlimen Bukit Gelugor itu.

Katanya, kebenaran kandungan afidavit itu tidak boleh diabaikan dan mesti disiasat.

“Saya pasti tidak mudah bagi Hamid melakukan apa dibuatnya. Beliau perlu dipuji atas keberaniannya berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, peguam, A Srimurugan berkata, kandungan afidavit Hamid sekadar tuduhan dan Malanjum perlu diberi peluang menjelaskannya.

“Seseorang tidak boleh anggap kandungan itu benar. Ia adalah penghinaan,” katanya sambil menambah tidak diketahui siapa bertanggungjawab terhadap penyebaran kandungan itu.

Srimurugan berkata, kandungan itu kekurangan fakta dan tuduhan samar itu juga tiada kaitan tindakan difailkan Sangeet.

Katanya, afidavit itu mempunyai kesan mengejutkan terhadap badan kehakiman. Peguam negara sebagai penjaga kepentingan awam, perlu memulakan prosiding penghinaan.