"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Ahli PAS kini gelisah dengan k'jaan campuran bersama Umno'

Senator Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata ahli-ahli PAS kini mulai resah dan gelisah dengan timbulnya cadangan untuk membentuk kerajaan campuran dengan Umno.

Kamarul berkata keadaan itu berlaku tidak sampai seminggu selepas kedua-dua parti itu menandatangani piagam bersama di Himpunan Penyatuan Ummah di (PWTC minggu lalu.

Malah beliau turut mendakwa Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah mempertikaikan hasrat Presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk membawa masuk Umno ke dalam kerajaan negeri Terengganu dan Kelantan.

"Nik Amar, naib Presiden PAS menyatakan terlalu awal untuk kerajaan campuran didirikan.

"Kalau ahli PAS di bawah diminta wala' kepada pemimpin, kenapa naib presiden menyanggah kenyataan Tuan Guru Presiden?" soalnya dalam kenyataan.

Pada 14 Sept lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengakui parti itu ada merancang untuk membawa Umno menyertai pentadbiran Kelantan dan Terengganu.

Bagaimanapun Abdul Hadi semalam dilapor berkata masih terlalu awal untuk PAS dan Umno menubuhkan kerajaan campuran kerana kedua-dua parti menjalinkan taawun siyasi yang bermaksud kerjasama, bukan tahaluf siyasi yang bermaksud gabungan dua parti.

Pada hari yang sama Mohd Amar mengulangi kenyataan Abdul Hadi bahawa tiada keperluan ke arah pelaksanaan kerajaan campuran buat masa ini walaupun kedua-dua pihak telah memeterai kerjasama minggu lalu.

"Kalau pun tiada kerajaan campuran tapi hubungan PAS dan Umno masih sama.

"Dalam sidang Dun, mereka masih lagi pembangkang yang mesra kerajaan," kata Mohd Amar.

Bagaimanapun, Kamarul mempertikaikan penafian berkenaan seminggu selepas Abdul Hadi mengemukakan cadangan pembentukan kerajaan campuran.

"Selepas seminggu berfikir, adakah kenyataan tersebut kerana akar umno PAS sudah resah gelisah maka sesuatu kenyataan penafian mesti dibuat?" soal timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu.

Malah katanya, pimpinan utama PAS juga dilihat mulai bimbang Umno akan "mengambil" alih kerajaan negeri dari PAS selepas Piagam Muafakat Nasional ditandatangani.

"Nampaknya piagam tersebut adalah percubaan separuh masak terdesak PAS dan Umno untuk menyelamatkan parti masing-masing.

"Sekali lagi penyokong bawahan PAS dipermainkan oleh pimpinan mereka yang menggadai prinsip perjuangan untuk bergabung dengan Umno untuk cuba merebut kuasa dengan cara yang terdesak," katanya.

Ahli parlimen Tanjung Piai meninggal dunia

Ahli Parlimen Tanjung Piai Mohamed Farid Md Rafik, 43, meninggal dunia awal pagi ini.

Allahyarham yang juga merupakan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri meninggal dunia sekitar 6.00 pagi tadi di Hospital Pontian, Johor.

Wakil rakyat Bersatu itu mengalahkan calon MCA Wee Jee Seng dengan majoriti tipis 524 undi pada pilihan raya umum tahun lepas.

Mohamed Farid meraih 21,255 undi, sementara Wee mendapat 20,731 Wee.

Calon lain yang bertanding di kerusi itu ialah Nordin Othman dari PAS yang mendapat 2,962 undi.

Tanjung Piai, yang terletak di barat daya Johor, dianggap sebagai kerusi tipis PH.

Berita Harian melaporkan Menteri Besar Johor Sahruddin Jamal sebagai berkata bahawa Farid dipercayai mengalami serangan jantung.

Presiden Pas, jangan nyalakan api sentimen perkauman, tarik sokongan di Sarawak

NASUHA RAHMAN
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ditegur jangan menyalakan api sentimen perkauman untuk menarik sokongan di Sarawak.

Pengarah Hal Ehwal Syariah Amanah Nasional, Zolkharnain Abidin berkata, Presiden Pas tidak wajar mengeluarkan ucapan yang mengandungi unsur-unsur yang berpotensi untuk menyalakan api sentimen perkauman di negara ini.

Beliau berkata, rakyat Sabah dan Sarawak hidup aman damai dalam pelbagai kaum dan agama semenjak sekian lama.

Beliau berkata demikian merujuk kepada laporan di portal Malaysiakini di mana Presiden Pas berkata ” biar Melayu yang menguasai Sarawak ini… kita tidak (mahu) halau orang Cina, tidak! Tapi jangan (kita biarkan) orang Cina (DAP) menguasai Sarawak ini”.

Ucapan itu dipetik daripada laporan portal rasmi Pas, Harakahdaily.

Tegasnya, hubungan antara pelbagai kaum dan etnik di kedua-dua negeri itu berlangsung dengan harmoni misalnya, Gereja The Good Shepherd di Lutong Sarawak hanya berjarak sekitar 100 meter sahaja dengan Masjid al-Naim.

Bukan itu sahaja katanya, pada hari Jumaat, pengurusan gereja membuka kawasan parkir untuk orang Islam dan pada hari Ahad pula, pengurusan masjid membuka kawasan parkir untuk penganut Kristian.

“Mereka berbeza agama, tetapi berkongsi kemudahan untuk keharmonian.

“Rakyat Sabah dan Sarawak walaupun berlainan agama berkongsi pasar, rumah panjang dan perigi. YADIM sendiri dengan kerjasama pelbagai NGO ada membina sebuah perigi yang dikongsi oleh penganut Islam dan Kristian di sebuah penempatan rumah panjang di Sarawak,” katanya yang juga Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, Perdana Menteri pertama Malaysia, katanya telah memperkenalkan konsep “Muhibah” dalam memupuk keharmonian hidup antara rakyat pelbagai kaum dan agama.

Konsep ini, menurutnya dihayati oleh masyarakat di kedua-dua negeri itu sehingga kini.

“Justeru, Presiden Pas tidak wajar bermain dengan api sentimen perkauman khususnya untuk masyarakat Sabah dan Sarawak. Permainan sentimen itu sangat bahaya. Jika ia menyala, tiada sesiapa pun yang untung. Semuanya hangus terbakar.

“Ambillah iktibar daripada pelbagai negara yang musnah angkara peperangan saudara yang berlaku. Negara itu hancur. Rakyatnya menderita sangat panjang, generasi demi generasi,” katanya.

Zolkharnain turut mengingatkan tiada mana-mana pihak yang menang kerana semua pihak terpaksa menanggung derita kekalahan akibat kemusnahan.

Ini kerana katanya, membangunkan kembali kemusnahan itu mengambil masa yang sangat lama dan jumlah dana yang sangat banyak.

“Bahkan tidak salah untuk dikata, membangunkan kembali negara yang musnah kerana persengketaan sesama rakyat adalah sesuatu yang mustahil kecuali bersama keajaiban.

“Kepada Presiden Pas, saya sarankan, berpolitiklah dengan rasional. Jangan kerana kepentingan politik kuasa Pas, negara ini berdepan dengan ketegangan kaum yang membawa kehancuran,” tegas beliau.