"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Aktif berpolitik: Jakim arah j'kuasa tatatertib bertindak segera

Malaysiakini

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengarahkan jawatankuasa tatatertibnya menyiasat segera dakwaan ada pegawai agensi itu terlibat dalam kegiatan politik secara aktif.

Ketua pengarahnya, Hakimah Mohd Yusoff, berkata tindakan diambil selepas jabatan terbabit dimaklumkan - dan memandang serius - isu yang tular sejak beberapa hari lalu.

Kata Hakimah, tindakan dibuat berpandukan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Jabatan ini tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan tatatertib terhadap pegawai yang didapati melanggar sebarang peraturan ini," katanya.

Baru-baru ini tular tangkap layar hantaran seorang pegawai Jakim di media sosial yang dilihat memihak kepada parti politik tertentu sehingga menimbulkan kemarahan sesetengah pihak.

Ia turut menimbulkan kebimbangan apabila individu terbabit turut memuat naik hantaran yang boleh dianggap berunsur keganasan pada media sosialnya.

Hakimah berkata semua kakitangan Jakim perlu sentiasa mematuhi peraturan yang berkuat kuasa, selain tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan integriti dan imej perkhidmatan awam.

"Jabatan ini (Jakim) tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan tatatertib terhadap pegawai yang didapati melanggar sebarang peraturan," katanya.

Buat tuntutan lebih RM200,000, SPRM tahan penjawat awam

FMT Reporters

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan menahan seorang penjawat awam wanita disyaki menggunakan jawatannya mendapat wang tuntutan lebih RM200,000 selama tiga tahun.

Menurut sumber, suspek yang berusia 30an ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Sembilan kira-kira 1 petang, hari ini.

“Suspek disyaki menyalahgunakan jawatannya pada tahun 2020 hingga 2023 dalam mengadili kes tuntutan kewangan di mana wang tuntutan tersebut diterima sebagai suapan bagi dirinya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009,” katanya.

Katanya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban untuk reman esok.

Terus terang atau hancur sebelum PRU16, amaran Isham buat Umno

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Isham Jalil menyokong perhimpunan khas anjuran Pemuda Umno esok untuk merungkai permasalahan “senyap”, membawa kekalahan teruk parti itu pada PRN Sabtu lalu.

Beliau berkata Umno perlu berterus terang atau berdepan kehancuran sebelum PRU16.

“Saya sokong Pemuda Umno buat perhimpunan khas.

“Kita perlu berterus terang pada diri sendiri dan berani membuat perubahan di saat getir ini, jika tidak parti kita akan hancur sebelum PRU16,” katanya di Facebook.

Sehari selepas PRN yang menyaksikan Umno hanya menang 19 daripada 108 kerusi ditandingi, bekas ketua penerangan Umno itu mendesak kepimpinan tertinggi membuat pertimbangan drastik khususnya kerjasama dengan DAP.

Isham berkata, kerjasama dengan DAP menyebabkan akar umbi Umno yang sensitif terhadap parti itu kecewa dan marah, sehingga wujudnya kelompok enggan keluar mengundi dan menyokong Perikatan Nasional (PN) sebagai undi protes.

Semalam, Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh berkata perhimpunan khas di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) di Kuala Lumpur, dijangka dihadiri lebih 1,000 pemimpin sayap berkenaan dari seluruh negara.

Beliau berkata, tujuan utama perhimpunan itu adalah untuk merungkai permasalahan “senyap” yang masih berlaku dalam Umno dan menyebabkan prestasi buruk pada PRN.

Umno menang 14 kerusi di Negeri Sembilan, masing-masing dua kerusi di Pulau Pinang dan Selangor; dan satu kerusi di Kelantan.

Bagaimanapun, parti itu gagal meraih sebarang kerusi di Kedah dan Terengganu.