"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Aktif berpolitik: Jakim arah j'kuasa tatatertib bertindak segera

Malaysiakini

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengarahkan jawatankuasa tatatertibnya menyiasat segera dakwaan ada pegawai agensi itu terlibat dalam kegiatan politik secara aktif.

Ketua pengarahnya, Hakimah Mohd Yusoff, berkata tindakan diambil selepas jabatan terbabit dimaklumkan - dan memandang serius - isu yang tular sejak beberapa hari lalu.

Kata Hakimah, tindakan dibuat berpandukan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Jabatan ini tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan tatatertib terhadap pegawai yang didapati melanggar sebarang peraturan ini," katanya.

Baru-baru ini tular tangkap layar hantaran seorang pegawai Jakim di media sosial yang dilihat memihak kepada parti politik tertentu sehingga menimbulkan kemarahan sesetengah pihak.

Ia turut menimbulkan kebimbangan apabila individu terbabit turut memuat naik hantaran yang boleh dianggap berunsur keganasan pada media sosialnya.

Hakimah berkata semua kakitangan Jakim perlu sentiasa mematuhi peraturan yang berkuat kuasa, selain tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan integriti dan imej perkhidmatan awam.

"Jabatan ini (Jakim) tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan tatatertib terhadap pegawai yang didapati melanggar sebarang peraturan," katanya.

Tiada ulasan: