"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Allahurabbi kasihan, moga dimurahkan segala urusan

Kanak-kanak parah tertusuk besi pada dada, leher

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
PASUKAN bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan besi yang menusuk dada dan leher mangsa. FOTO Ihsan Bomba
PASUKAN bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan besi yang menusuk dada dan leher mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Kota Marudu: Seorang kanak-kanak lelaki mengalami saat ngeri apabila besi menusuk dada dan lehernya selepas terjatuh berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Tandek di Kampung Tandek, di sini, hari ini.

Mangsa berusia lima tahun itu dipercayai terjatuh ketika berjalan bersama ibunya menuju ke sebuah kedai runcit berhampiran SK Tandek.

Ibu mangsa kemudian bergegas menghantar mangsa ke Hospital Kota Marudu untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, pihak hospital terpaksa mendapatkan bantuan pasukan bomba selepas difahamkan sukar untuk mengeluarkan besi berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Hasbi Hajat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.31 petang.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera digerakkan ke hospital.

"Pasukan bomba berjaya memotong besi berkenaan dengan menggunakan peralatan khas. Keadaan mangsa tidak dapat dipastikan kerana ketika operasi mengeluarkan besi itu, mangsa ditidurkan.

"Bagaimanapun sebaik besi itu berjaya dikeluarkan, mangsa diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, operasi ditamatkan pada 7.09 malam.

Pekerja ladang rogol remaja beramai-ramai dipenjara 5 tahun, 3 sebatan

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my

Muar: Pekerja ladang warga Indonesia mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja secara beramai-ramai di sebuah rumah di Segamat, dua tahun lalu.

Haerul Rahman, 26, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Dia bersama tujuh warga tempatan lain, termasuk tiga daripadanya juvana, merogol remaja berusia 15 tahun di sebuah rumah dalam tanah rancangan di Segamat, jam 1.30 pagi, 12 September 2022.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan, jika didapati bersalah.

Menurut fakta kes, tertuduh bersama rakan lain memanggil mangsa datang ke rumah. Sebaik tiba, mereka mengajak mangsa masuk ke dalam bilik dan merogolnya.
Haerul mengaku merogol remaja beramai-ramai di Segamat, dua tahun lalu. FOTO Alias Abd Rani
Haerul mengaku merogol remaja beramai-ramai di Segamat, dua tahun lalu. FOTO Alias Abd Rani
Berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Tenang, Segamat dan kawad cam dilakukan mengenalpasti semua pelaku dalam kejadian ini.


Tiga daripada tertuduh juvana sudah dituduh di Mahkamah Majistret Segamat manakala empat lagi di Mahkamah Sesyen Muar.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Semua hukuman berjalan pada tarikh tertuduh ditahan 25 September 2022.

SPRM siasat hartawan Singapura, bekas bos GLC berkaitan kes Daim

Malaysiakini 

Siasatan SPRM ke atas Daim Zainuddin kini menjadikan dua individu korporat terkenal sasaran suruhanjaya antirasuah itu.

CNA Singapura melaporkan bahawa salah seorang yang disiasat ialah Akbar Khan, seorang hartawan dalam bidang hartanah mewah tempatan yang berasal dari Singapura.

Seperti Daim, ahli perniagaan Akbar Khan yang berusia 83 tahun diarahkan oleh SPRM untuk mengisytiharkan asetnya dan pegangan kewangan keluarganya.

Akbar ialah pemegang saham majoriti dan pengerusi BRDB Developments Sdn Bhd, yang merupakan pemaju hartanah mewah yang turut mempunyai projek di Australia, London dan Pakistan.

FMT memetik pengarah bahagian antipengubahan wang haram SPRM Zamri Zainul Abidin sebagai mengesahkan bahawa seorang ahli perniagaan Singapura sedang disiasat dan diarah mengisytiharkan hartanya.

Akbar, melalui jurucakapnya, enggan mengulas ketika dihubungi CNA.

“Memandangkan ini adalah perkara yang sedang berjalan, kami mengelak daripada mengulas butiran khusus. Fokus utama kami kekal pada memastikan siasatan yang adil,” kata jurucakap itu.

Akbar dilaporkan mula menjadi kawan Daim pada akhir 1980-an.

SPRM dilaporkan sedang meneliti dakwaan penghantaran balik saham beku bernilai AS$4 bilion yang pernah disenaraikan dalam Central Limit Order Book (CLOB), sebuah pasaran kaunter yang kini tidak berfungsi di Singapura yang berdagang dalam saham Malaysia.

Mereka juga dilaporkan sedang menyiasat perubahan dalam pegangan saham di konglomerat Multi-Purpose Holdings Bhd (MPHB) pada akhir 1990-an.

SPRM dilaporkan juga sedang meneliti pinjaman AS$140 juta unit MPHB kepada entiti British Virgin Islands yang digunakan untuk memperoleh blok kawalan saham MPHB.

Sementara itu, laporan CNA mendakwa bahawa beberapa hari sebelum SPRM soal siasat Akbar, ia juga telah soal siasat seorang bos GLC yang terkenal.

Siasatan itu dilaporkan berhubung rancangan kerajaan yang digembar-gemburkan oleh Daim untuk menyelamatkan syarikat itu pada awal 2000.

Bekas bos GLC itu dikatakan anak didik Daim.

Secara berasingan, laporan CNA juga mendakwa bahawa siasatan SPRM terhadap bekas menteri kewangan itu telah membawa mereka menyiasat Halim Saad.

Ini dipercayai merujuk kepada dakwaan bahawa SPRM telah menyoal Halim dan Daim berhubung perjanjian Renong.

Halim bagaimanapun menafikannya.

Turut disiasat ialah taikun yang dikaitkan dengan individu yang mengawal konsesi bagi kenderaan kerajaan.