"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Pengutip sampah maut terpijak serpihan kaca

Siti Rohana Idris
bhnews@bh.com.my

TUMPAT: Akibat terpijak kaca ketika mencari besi buruk dan barangan terpakai di tapak pelupusan sampah, seorang lelaki meninggal dunia akibat pendarahan serius.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari Isnin lalu, mangsa yang berusia 37 tahun ke lokasi kejadian di Kampung Kok Bedullah di sini untuk mencari barangan terpakai, tin dan besi buruk bersama rakannya.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie, berkata rakan mangsa memberitahu ketika mereka sedang mencari barangan terpakai, mangsa terpijak serpihan kaca yang terkena bahagian bawah buku lali kanan.

"Kecederaan itu menyebabkan pendarahan yang banyak dan mangsa dipapah oleh rakannya berusia 25 tahun keluar dari tempat pelupusan sampah dalam keadaan tenat.

"Dalam perjalanan keluar, mangsa tidak sedarkan diri dan rakannya menghubungi ambulans.

"Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan yang hadir di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Khairi berkata, siasatan awal terhadap mangsa yang bekerja sebagai pengutip sampah tidak menemui sebarang kecederaan yang berunsurkan jenayah.

Katanya lagi, hasil bedah siasat yang dibuat di Hospital Tumpat mendapati kematian mangsa adalah disebabkan pendarahan serius akibat terpijak serpihan kaca dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Ketua Audit Negara: Majlis Profesor Negara salah guna dana

Malaysiakini 

Jabatan Ketua Audit Negara mendapati Majlis Profesor Negara (MPN), sebuah majlis profesor universiti-universiti Malaysia yang dibiayai kerajaan telah menyalahgunakan pembiayaan kewangannya.

Ini termasuk membayar elaun besar RM207,000 kepada pengerusi tetap dan timbalan pengerusi tanpa kelulusan menteri.

Juruaudit juga mendapati RM373,516 dana MPN digunakan untuk membayar operasi dua syarikat milik ahli lembaga pemegang amanah.

Ahli berkenaan tidak mengisytiharkan kepentingan mereka dalam syarikat itu, kata Ketua Audit Negara Wan Suraya Wan Mohd Radzi pada satu kenyataan akhbar mengumumkan laporan audit terkini hari ini.

Tumpuan audit adalah untuk aktiviti dari 2019 hingga 2023.

MPN sebuah entiti di bawah Jabatan Perdana Menteri yang melapor kepada Menteri Pengajian Tinggi.

Menteri menjadi penasihat kepada MPN.

Menurut laman web MPN, pengerusinya sejak 2019 ialah ahli antropologi UKM Shamsul Amri Baharuddin manakala pensyarah sains politik UUM Mohamed Mustafa Ishak adalah timbalan pengerusi.nya.

Laporan Ketua Audit Negara juga menunjukkan MPN menerima geran mengurus daripada kerajaan berjumlah RM35.84 juta bagi tempoh tahun 2015 hingga 2018, serta 2022 dan 2023.

Lantaran itu Ketua Audit Negara mengesyorkan JPM mengkaji semula MPN sebagai syarikat di bawah seliaan kerajaan.

"Status MPN perlu diputuskan sebelum dipertimbangkan samada ada penyaluran peruntukan geran kepada MPN wajar diteruskan (atau tidak)," kata laporan itu.

Ketua Audit Negara juga menggesa JPM mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan MPN.

"Bagi ketakteraturan yang dikenal pasti dengan merujuk kepada agensi penguatkuasaan berkaitan dan pengurusan MPN perlu dirombak secara menyeluruh," tegasnya.

Kau ni dah kenapa ha? Pemandu lori mengaku salah laku amang seksual terhadap bayi

Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@nstp.com.my
Mohamad Zulazhar Ibrahim mengaku bersalah terhadap pertuduhan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak berusia setahun. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Kota Bharu: Seorang pemandu lori mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap bayi berusia setahun di Pasir Tumbuh Limbat, di sini, 26 Jun lalu.

Tertuduh, Mohamad Zulazhar Ibrahim, 32, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan 18 Julai untuk fakta kes dan hukuman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap bayi perempuan berusia 1 tahun 11 bulan.

Kejadian itu dilakukan di sebuah rumah di Pasir Tumbuh Limbat, di sini, jam 9 malam pada 26 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan juga sebat.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 18 Julai untuk fakta kes dan hukuman.