"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga Pakistan dakwa dirinya Imam Mahadi, dua pengikut didakwa

Latifah Arifin
latifah@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang warga Pakistan yang mendakwa dirinya Imam Mahadi, Muhammad Qasim Abdul Karim dan dua pengikutnya sudah didakwa di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan atas kesalahan mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata pendakwaan dibuat awal bulan ini dan sebutan kedua kes pada 17 Oktober ini.

"Warga Pakistan dilepaskan dengan jaminan RM5,000 manakala dua lagi yang tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM3,000," katanya selepas menyempurnakan perasmian Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1446H/2024M bertemakan 'Al-Falah Pemacu Malaysia Madani' di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail; Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Syed Kamarulaman Syed Kabeer;Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dr Ruslan Said dan Timbalan Pengarah Operasi JAWI, Kamaldin Mohd Damin.

Mohd Na'im turut berkata, pendakwaan dibuat selepas kertas siasatan terhadap Muhammad Qasim diserahkan kepada bahagian pendakwaan untuk tindakan lanjut.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 11 dan Seksyen 46 (3) Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan kerana mengajar tanpa tauliah.

Sebelum ini media melaporkan Mohd Na'im mengesahkan JAWI menahan Muhammad Qasim selepas didakwa mengajar tanpa tauliah di negara ini.

Difahamkan warga Pakistan yang mencetuskan kontroversi kerana mendakwa banyak kali bermimpi berjumpa Nabi Muhammad SAW dan pernah mendakwa dirinya Imam Mahadi, datang ke negara ini atas jemputan pengikutnya di Malaysia.

Ditanya jumlah pengikut ajaran yang dibawa Muhammad Qasim, Mohd Na'im menjelaskan, hasil siasatan JAWI mendapati setakat ini,jumlahnya tidak ramai.

Beliau berkata, JAWI akan terus memantau dan tidak menolak kemungkinan akan menahan mana-mana individu menyebarkan ajaran berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menggesa JAWI dan Bahagian Dakwah JAKIM memainkan peranan menjelaskan kepada pengikut atau individu disyaki bakal pengikut ajaran Muhammad Qasim supaya tidak terpengaruh dengan ajaran dibawanya.

Sementara itu, mengulas isu tiang didakwa tempat Nabi Khidir bersandar dan menjadi tumpuan ramai dipercayai di Kampung Paloh, Kuala Terengganu, Mohd Na'im berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

"Saya difahamkan Bahagian Penguatkuasaan JHEAT sudah menjalankan siasatan. Saya serahkan kebijaksanaan mereka untuk jalankan siasatan dan menentukan sama ada terdapat kesalahan atau tidak," katanya.

Semalam, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) memaklumkan akan memanggil waris ulama tersohor, Tok Ku Paloh untuk mendapatkan maklumat berhubung dakwaan terbabit.

Pesuruhjaya JHEAT, M Rozi Bidin, berkata maklumat daripada waris Tok Ku Paloh atau nama sebenarnya, Sayyid Abdul Rahman Sayyid Muhammad Al-Idrus diperlukan bagi membantu siasatan dakwaan terdapat tiang Nabi Khidir dipercayai di makam ulama tersohor, Tok Ku Paloh.

Bas mini terbakar, 12 pelajar rentung

AFP
 Bas mini yang musnah terbakar. - Foto (X/@ewnreporter)
Bas mini yang musnah terbakar. - Foto (X/@ewnreporter)
JOHANNESBURG: Dua belas kanak-kanak yang dalam perjalanan ke sekolah rentung selepas bas mini mereka naiki terbakar susulan dilanggar sebuah pikap di Merafong, dekat sini, semalam.

Bercakap kepada AFP, jurucakap jabatan trafik polis Gauteng, Sello Maremane, berkata pasukan forensik akan melakukan proses pengecaman selepas identiti mangsa gagal dikenal pasti.

Pegawai di wilayah Gauteng pula berkata, pemandu bas terbabit turut terkorban manakala tujuh kanak-kanak lagi terpaksa dikejarkan ke hospital.

"Bas yang membawa pelajar sekolah persendirian terbabit dalam kemalangan tragis di Kokosi-Wedela, Merafong, menyebabkan 12 pelajar dan pemandunya terkorban," katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, usaha mengenal pasti usia mangsa masih samar, namun dikatakan mereka adalah pelajar sekolah rendah, kebiasaannya berumur antara enam hingga 13 tahun.

Rakaman bas terbabit musnah dalam kebakaran akibat impak kemalangan, selain buku sekolah berserakan di atas jalan raya dan polis memeriksa lokasi kejadian itu turut disiarkan di stesen televisyen tempatan.

Rekod keselamatan lalu lintas di Afrika Selatan adalah paling buruk biarpun memiliki antara rangkaian jalan raya paling maju di benua itu, sebahagiannya berpunca akibat kecuaian pemandu dan keadaan kenderaan tidak boleh digunakan lagi.

Namun, kebanyakan ibu bapa di Afrika Selatan terpaksa bergantung kepada perkhidmatan bas mini swasta untuk menghantar anak mereka ke sekolah.

Sementara itu, pihak berkuasa memaklumkan, polis sedang menyiasat kejadian itu, tetapi bas mini terbabit dilihat dilanggar dari belakang menyebabkan ia terbalik dan terbakar.

Berdasarkan laporan, pemandu pikap itu juga berada di hospital, manakala kebanyakan kanak-kanak dirawat di situ dibenarkan pulang menjelang petang.

Mengulas nahas itu, Menteri Pendidikan, Matome Chiloane, mengakui berduka cita dengan kejadian tragik terbabit.

"Saya sering menasihati ibu bapa supaya meneliti keadaan kenderaan dinaiki anak masing-masing," katanya ketika melawat lokasi nahas.

Presiden Cyril Ramaphosa juga mengucapkan takziah kepada waris dan mangsa nahas itu, selain menggesa semua pihak bertanggungjawab melindungi anak masing-masing dan menegaskan kejadian itu bukanlah yang pertama kali berlaku.

- AFP

Kebakaran rumah kedai: Dua beradik maut dalam kebakaran, ibu kritikal

Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my
ANGGOTA bomba melakukan pemadaman menggunakan jentera ALP. FOTO  Meor Riduwan Meor Ahmad.
ANGGOTA bomba melakukan pemadaman menggunakan jentera ALP. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
Melaka: Dua beradik maut, manakala ibu mereka dilaporkan kritikal selepas bilik sewa didiami di Plaza Mahkota, Banda Hilir di sini, hari ini, terbakar, hari ini.

Mangsa, Nuralia Karisa Abdullah, 12, dan adiknya, Nur Riaisha Zahra berusia dua tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka (HM), manakala ibu mereka Azliha Ngah Ariffin, 40, masih dirawat dan dilaporkan kritikal.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, polis menerima panggilan mengenai kebakaran pada 1.32 tengah hari daripada seorang lelaki pemilik kedai pelekat dan bilik sewa yang terbakar.

"Pemilik kedai menyedari kebakaran di tingkat atas kedainya kira-kira jam 1.30 tengah hari dan terus menghubungi bomba.

"Pasukan bomba terdiri daripada dua pegawai dan 38 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Katil, BBP Jalan Kubu dan BBP Ayer Keroh dengan tiga jentera dan sebuah jentera Aerial Ladder Platform (ALP).

"Turut membantu tiga ambulans daripada MERS/ Bulan Sabit Merah dan HM," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Christopher berkata, siasatan awal saksi iaitu Lem Wee Suan, 22, dan isterinya dikenali sebagai Catrina, menyedari kebakaran apabila asap tebal memasuki ruang bilik mereka di tingkat dua.

Katanya, mangsa terus keluar bersama isterinya untuk menyelamatkan diri dan dihantar ke HM untuk rawatan dan dilaporkan stabil.

"Dalam operasi itu pihak bomba juga berjaya mengeluarkan tiga mangsa yang terperangkap di sebuah bilik di tingkat tiga dan dihantar ke HM dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Bagaimanapun kedua-dua kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia di hospital manakala ibu mereka masih kritikal," katanya.

Christopher berkata, hasil soal tanya pengadu menyatakan tingkat satu mempunyai lima bilik sewa dan hanya satu bilik disewa seorang penghuni.

"Tingkat dua mempunyai 10 bilik sewa dan hanya empat bilik disewa oleh enam orang, manakala tingkat tiga mempunyai enam bilik yang disewa oleh tiga beranak itu.

"Ketika kejadian selain tiga mangsa, semua penghuni lain yang menyewa tidak ada di bilik dipercayai keluar bekerja," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB) Mohd Pisar Aziz berkata, laporan awal kebakaran bermula di tingkat satu manakala tingkat dua dan tiga itu membabitkan asap.

"Peringkat awal kita turut mendapat bantuan orang awam yang melakukan pembaikan bangunan untuk menggunakan Skylift bagi menyelamatkan pasangan suami isteri.

"Kita juga mengeluarkan mangsa melalui tangga," katanya sambal memaklumkan punca sebenar dan nilai kerugian masih dalam siasatan.