"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga Pakistan dakwa dirinya Imam Mahadi, dua pengikut didakwa

Latifah Arifin
latifah@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang warga Pakistan yang mendakwa dirinya Imam Mahadi, Muhammad Qasim Abdul Karim dan dua pengikutnya sudah didakwa di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan atas kesalahan mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata pendakwaan dibuat awal bulan ini dan sebutan kedua kes pada 17 Oktober ini.

"Warga Pakistan dilepaskan dengan jaminan RM5,000 manakala dua lagi yang tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM3,000," katanya selepas menyempurnakan perasmian Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1446H/2024M bertemakan 'Al-Falah Pemacu Malaysia Madani' di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail; Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Syed Kamarulaman Syed Kabeer;Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dr Ruslan Said dan Timbalan Pengarah Operasi JAWI, Kamaldin Mohd Damin.

Mohd Na'im turut berkata, pendakwaan dibuat selepas kertas siasatan terhadap Muhammad Qasim diserahkan kepada bahagian pendakwaan untuk tindakan lanjut.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 11 dan Seksyen 46 (3) Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan kerana mengajar tanpa tauliah.

Sebelum ini media melaporkan Mohd Na'im mengesahkan JAWI menahan Muhammad Qasim selepas didakwa mengajar tanpa tauliah di negara ini.

Difahamkan warga Pakistan yang mencetuskan kontroversi kerana mendakwa banyak kali bermimpi berjumpa Nabi Muhammad SAW dan pernah mendakwa dirinya Imam Mahadi, datang ke negara ini atas jemputan pengikutnya di Malaysia.

Ditanya jumlah pengikut ajaran yang dibawa Muhammad Qasim, Mohd Na'im menjelaskan, hasil siasatan JAWI mendapati setakat ini,jumlahnya tidak ramai.

Beliau berkata, JAWI akan terus memantau dan tidak menolak kemungkinan akan menahan mana-mana individu menyebarkan ajaran berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menggesa JAWI dan Bahagian Dakwah JAKIM memainkan peranan menjelaskan kepada pengikut atau individu disyaki bakal pengikut ajaran Muhammad Qasim supaya tidak terpengaruh dengan ajaran dibawanya.

Sementara itu, mengulas isu tiang didakwa tempat Nabi Khidir bersandar dan menjadi tumpuan ramai dipercayai di Kampung Paloh, Kuala Terengganu, Mohd Na'im berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

"Saya difahamkan Bahagian Penguatkuasaan JHEAT sudah menjalankan siasatan. Saya serahkan kebijaksanaan mereka untuk jalankan siasatan dan menentukan sama ada terdapat kesalahan atau tidak," katanya.

Semalam, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) memaklumkan akan memanggil waris ulama tersohor, Tok Ku Paloh untuk mendapatkan maklumat berhubung dakwaan terbabit.

Pesuruhjaya JHEAT, M Rozi Bidin, berkata maklumat daripada waris Tok Ku Paloh atau nama sebenarnya, Sayyid Abdul Rahman Sayyid Muhammad Al-Idrus diperlukan bagi membantu siasatan dakwaan terdapat tiang Nabi Khidir dipercayai di makam ulama tersohor, Tok Ku Paloh.

Tiada ulasan: