"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bas mini terbakar, 12 pelajar rentung

AFP
 Bas mini yang musnah terbakar. - Foto (X/@ewnreporter)
Bas mini yang musnah terbakar. - Foto (X/@ewnreporter)
JOHANNESBURG: Dua belas kanak-kanak yang dalam perjalanan ke sekolah rentung selepas bas mini mereka naiki terbakar susulan dilanggar sebuah pikap di Merafong, dekat sini, semalam.

Bercakap kepada AFP, jurucakap jabatan trafik polis Gauteng, Sello Maremane, berkata pasukan forensik akan melakukan proses pengecaman selepas identiti mangsa gagal dikenal pasti.

Pegawai di wilayah Gauteng pula berkata, pemandu bas terbabit turut terkorban manakala tujuh kanak-kanak lagi terpaksa dikejarkan ke hospital.

"Bas yang membawa pelajar sekolah persendirian terbabit dalam kemalangan tragis di Kokosi-Wedela, Merafong, menyebabkan 12 pelajar dan pemandunya terkorban," katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, usaha mengenal pasti usia mangsa masih samar, namun dikatakan mereka adalah pelajar sekolah rendah, kebiasaannya berumur antara enam hingga 13 tahun.

Rakaman bas terbabit musnah dalam kebakaran akibat impak kemalangan, selain buku sekolah berserakan di atas jalan raya dan polis memeriksa lokasi kejadian itu turut disiarkan di stesen televisyen tempatan.

Rekod keselamatan lalu lintas di Afrika Selatan adalah paling buruk biarpun memiliki antara rangkaian jalan raya paling maju di benua itu, sebahagiannya berpunca akibat kecuaian pemandu dan keadaan kenderaan tidak boleh digunakan lagi.

Namun, kebanyakan ibu bapa di Afrika Selatan terpaksa bergantung kepada perkhidmatan bas mini swasta untuk menghantar anak mereka ke sekolah.

Sementara itu, pihak berkuasa memaklumkan, polis sedang menyiasat kejadian itu, tetapi bas mini terbabit dilihat dilanggar dari belakang menyebabkan ia terbalik dan terbakar.

Berdasarkan laporan, pemandu pikap itu juga berada di hospital, manakala kebanyakan kanak-kanak dirawat di situ dibenarkan pulang menjelang petang.

Mengulas nahas itu, Menteri Pendidikan, Matome Chiloane, mengakui berduka cita dengan kejadian tragik terbabit.

"Saya sering menasihati ibu bapa supaya meneliti keadaan kenderaan dinaiki anak masing-masing," katanya ketika melawat lokasi nahas.

Presiden Cyril Ramaphosa juga mengucapkan takziah kepada waris dan mangsa nahas itu, selain menggesa semua pihak bertanggungjawab melindungi anak masing-masing dan menegaskan kejadian itu bukanlah yang pertama kali berlaku.

- AFP

Tiada ulasan: