"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemilihan PKR: Siapa timbalan presiden, muka baharu bakal jadi tumpuan

Mohamad Fadli

PETALING JAYA: Pertembungan kerusi timbalan dan naib presiden antara akan menjadi tumpuan pemilihan PKR dijangka selepas Mei depan, selain muka baharu bakal ditonjolkan dalam berdepan PRU16, kata penganalisis politik.

Mengulas kenyataan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang mahu pemilihan parti disegerakan, Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berpendapat isyarat itu mungkin kerana perdana menteri mahu memantapkan kedudukan parti sebelum ke medan pilihan raya bagi mendapat mandat baharu.

Anwar dilantik perdana menteri susulan pembentukan kerajaan perpaduan pasca PRU15 membabitkan Pakatan Harapan (PH) diketuainya, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan dan parti kecil lain.

“Jadi, pemilihan disegerakan untuk sediakan kepimpinan gabungan muka lama dan baharu, paling penting siapa pemimpin segar diperkenalkan bagi berdepan PRU16,” kata Azmi kepada FMT mengulas perkara dinantikan ramai pada pemilihan PKR.

Oktober lalu, Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh berkata pemilihan parti akan diadakan selepas Mei depan, seiring penamatan mandat barisan pimpinan kini.

Bagi Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia, pertandingan  merebut kerusi timbalan presiden disandang Menteri Ekonomi Rafizi Ramli bakal menjadi perhatian dengan Anwar dijangka kekal peneraju parti.

Katanya, perwakilan juga tertumpu kepada pertembungan naib presiden yang kini disandang Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

“Senarai itu akan menggambarkan pelapis kepimpinan masa depan PKR dan buka ruang pimpinan baharu,” katanya.

Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah pula menyifatkan gesaan Anwar supaya pemilihan diadakan segera bagi memastikan PKR terus berkembang dan berdaya saing dalam landskap politik semasa.

“PKR dapat memastikan kepimpinan parti sentiasa relevan dan responsif.

“Ini juga peluang pemimpin muda mengambil peranan lebih besar, pada masa sama menghargai pengalaman perjuangan pemimpin terdahulu,” katanya.

Rosmah dilepas, dibebas dari 17 pertuduhan

Malaysiakini 

Mahkamah Tinggi Kuala L:umpur hari ini membebaskan dan melepaskan Rosmah Mansor daripada 12 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM7 juta, dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim K Muniandy mengeluarkan perintah tersebut selepas membenarkan permohonan isteri Najib Razak itu untuk membatalkan kesemua tuduhan terhadapnya.

Permohonan tersebut dibuat atas alasan ia tanpa asas dan pihak pendakwaan tidak mengemukakan sebarang unsur kesalahan dalam tuduhan yang dikenakan.

Rosmah, 73, memfailkan permohonan untuk membatalkan tuduhan tersebut pada Sept 2023, manakala perbicaraan dimulakan pada 12 Dis tahun lalu selepas sebahagian daripada kes tersebut didengar dengan keterangan daripada dua saksi.

Pecah masuk premis lelaki berusia hampir 70 tahun ditangkap mencuri

Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my
Suspek, warga emas berumur 69 tahun ditahan selepas disyaki memecah masuk sebuah premis dan melarikan beberapa barang milik sebuah syarikat di pusat bandar, di sini, petang semalam. FOTO Ihsan PDRM.
Suspek, warga emas berumur 69 tahun ditahan selepas disyaki memecah masuk sebuah premis dan melarikan beberapa barang milik sebuah syarikat di pusat bandar, di sini, petang semalam. FOTO Ihsan PDRM.
Tawau: Umur hampir mencecah 70 tahun, namun masih aktif melakukan jenayah pecah masuk premis dan mencuri pelbagai peralatan serta harta benda sebelum dijual untuk mendapatkan wang.

Modus operandi lelaki warga emas berumur 69 tahun itu terbongkar selepas dia ditahan petang semalam, susulan kejadian pecah masuk sebuah premis di pusat bandar dekat sini.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan dibuat susulan laporan dibuat sebuah syarikat berhubung kehilangan pelbagai barangan yang disedari pada 10 Disember lalu.

"Menurut pengadu, antara barangan yang hilang termasuk sebuah televisyen, meja, kerusi, peralatan gym, dan sebuah laci (drawer) yang dianggarkan bernilai ribuan ringgit.

"Suspek dipercayai memasuki premis tanpa kebenaran sebelum melarikan barangan itu," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Jasmin berkata, suspek bagaimanapun berjaya ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) di sebuah rumah tidak jauh dari lokasi kejadian, pada 3.35 petang.

Katanya, beberapa barangan yang dicuri juga turut berjaya ditemukan semula semasa serbuan dijalankan.

"Siasatan awal mendapati suspek bertindak seorang diri dan dipercayai menggunakan barangan itu untuk kegunaan peribadi selain untuk dijual.

"Suspek kemudiannya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.