"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lebih RM450,000 milik warga asing dicuri penghantar makanan

KOSMO!
SUSPEK telah ditahan dan disoal siasat oleh pihak berkuasa. - AGENSI
BANGKOK – Polis Thailand telah menangkap seorang penghantar makanan yang dituduh mencuri wang tunai dan peralatan kamera bernilai lebih 3.69 juta baht (RM450,000) dari kediaman dua warga asing di daerah Muang, Phuket, lapor saluran berita The Bangkok Post.

Pihak Polis Chalong kelmarin memaklumkan bahawa suspek sebelum ini pernah menghantar makanan ke kedua-dua kediaman berkenaan sekaligus memberi peluang kepadanya untuk mengamati susun atur serta mengenal pasti laluan masuk ke rumah mangsa.

Menurut laporan, kedua-dua kejadian pecah rumah yang dilaporkan pada Rabu lalu itu melibatkan kecurian 12 barangan berkaitan kamera bernilai 387,788 baht (RM47,000) serta wang tunai berjumlah sekitar AS$100,000 (RM400,000).

Siasatan polis berjaya mengesan suspek selepas mendapati lelaki berkenaan menukar sebahagian wang dolar Amerika Syarikat (AS$) itu kepada mata wang baht di Patong, sebelum menggunakan hasil curian untuk membeli emas dan bertaruh dalam perjudian bola sepak.

Pihak berkuasa menahan suspek di sekatan jalan raya Tha Chat Chai ketika dia sedang memandu menuju ke Phuket dari negeri asalnya di Trang.

Hasil pemeriksaaan ke atas kenderaan suspek, polis merampas wang tunai bernilai AS$30,700 (RM120,000), 75,150 baht (RM8,100) serta barang kemas.

Polis kemudiannya turut berjaya memperoleh semula pelbagai barangan kes tambahan bernilai kira-kira 250,000 baht (RM30,000). – AGENSI

Mayat melekat lepas gagal curi kabel TNB

FMT Reporters

PETALING JAYA: Lelaki ditemukan maut dengan mayatnya melekat pada kabel elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) akibat renjatan dalam kejadian di Kapar, hari ini.

Ketua Polis Klang Utara Ramsay Embol, berkata lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an itu ditemukan orang awam sebelum anggota polis digerakkan ke lokasi kejadian.

“Siasatan mendapati mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik semasa melakukan jenayah curi kabel, kedudukan dan tangan mangsa masih melekat pada kabel milik TNB.

“Turut ditemukan peralatan memotong kabel bersama mangga dan motosikal yang digunakan mangsa ditinggalkan di lokasi kejadian. Waris keluarga telah mengecam mangsa,” katanya menurut Bernama.

Ramsay berkata, kes disiasat sebagai laporan mati mengejut (SDR) dan mayat dihantar ke Hospital UiTM Puncak Alam untuk bedah siasat.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi pegawai penyiasat Azhar di talian 012-349 5921 bagi membantu siasatan,” katanya.

Empat termasuk bayi perempuan maut nahas di JRTB

KOSMO!
KENDERAAN dinaiki mangsa kemalangan maut di JRTB dari arah Kelantan ke Gerik di Gerik hari ini. Foto IHSAN JBPM
GERIK – Empat orang termasuk seorang bayi perempuan maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) arah Kelantan ke Gerik di sini hari ini.

Mangsa yang maut terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita serta seorang bayi perempuan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik, Mohd. Rais Mahmud berkata, pihaknya ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat pada pukul 12.56 tengah hari.

“Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori dengan dua buah kereta.

“Empat mangsa yang menaiki kereta Perodua Axia disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang kanak-kanak lelaki cedera,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, mayat kesemua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya manakala mangsa yang cedera dirujuk ke hospital untuk rawatan. – KOSMO! ONLINE