"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nizar Fail Afidavit Bantah Permohonan Zambry

PUTRAJAYA: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin Khamis mengemukakan bantahan terhadap permohonan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir yang mahu Mahkamah Persekutuan memutuskan berhubung peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak dan seterusnya mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah.

Mohammad Nizar membuat bantahan tersebut melalui satu afidavit jawapan yang difailkannya di pejabat pendaftar Mahkamah Persekutuan di sini melalui firma guaman Tetuan Leong & Tan.

Mengikut afidavit jawapan itu, Nizar antaranya memberi alasan bahawa persoalan yang dicadangkan oleh Zambry untuk diputuskan Mahkamah Persekutuan tidak dapat meleraikan kebuntuan politik.

Beliau berkata isu, sama ada jawatan Menteri Besar Negeri Perak boleh dan/atau telah dikosongkan dalam keadaan Menteri Besar Negeri Perak ingin, dan telah memberi nasihat untuk pembubaran Dewan Perhimpunan Undangan Negeri itu dalam beberapa keadaan termasuk tidak terdapat usul tidak percaya yang diambil dan diterima pakai dalam dan oleh Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak terhadap Menteri Besar Perak -- masih tidak dapat dijawab.

Katanya persoalan-persoalan yang telah dicadangkan oleh Zambry untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan adalah tidak relevan kepada Permohonan Semakan Kehakimannya (Nizar) dan ia tidak akan dapat memutuskan pertikaian isu-isu dalam permohonan itu (semakan kehakiman).

Mohammad Nizar turut mencabar kesahihan Fasal 63 Undang-undang Tubuh Negeri Perak yang digunakan untuk merujuk perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.

Beliau berkata Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar Permohonan Fasal 63 kerana istilah "Mahkamah Agung" dalam Fasal 63 itu tidak merujuk kepada Mahkamah Tertinggi di Persekutuan Tanah Melayu kerana Mahkamah Tertinggi pada ketika itu adalah Privy Council.

Mohammad Nizar berkata beliau tidak menyoal perogatif Sultan Perak yang termaktub dalam Fasal 16(2) dan/atau Fasal 36(2) itu.

Katanya perogatif Sultan Perak tidak timbul langsung dalam permohonan semakan kehakimannya.

Zambry telah mengemukakan permohonan untuk merujuk tiga persoalan undang-undang berkenaan dengan interpretasi Fasal-Fasal 16(2) dan 16(6) menurut Fasal 63 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Zambry dalam notis usulnya berkata sekiranya Mahkamah Persekutuan memutuskan ketiga-tiga persoalan itu memihak kepadanya, maka mahkamah itu perlu mengisytiharkan bahawa pada 6 Feb 2009, beliau telah dilantik dengan sewajarnya sebagai Menteri Besar Perak.

Mahkamah Persekutuan menetapkan Selasa depan untuk mendengar permohonan notis usul itu .

Mohammad Nizar telah memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi untuk mencabar pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Mohammad Nizar memberi alasan bahawa mengikut perlembagaan negeri Perak, beliau adalah Menteri Besar yang sah kerana beliau telah menasihati Sultan supaya membubarkan Dewan Undangan Negeri, tidak meletak jawatan dan tidak wujud usul tidak percaya diluluskan terhadapnya di dewan berkenaan.

Pendengaran semakan kehakiman itu akan didengar oleh Mahkamah Tinggi pada 5 dan 6 Mei ini.  
-bernama-

Tiada ulasan: