"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

RM63 juta: Adnan mesti letak jawatan

KUALA LUMPUR, 22 April (Hrkh) - PAS Pahang menyifatkan kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri yang dipimpin oleh Menteri Besarnya, Dato' Adnan Yaakob sebagai angkuh dan tidak berkebolehan untuk memerintah.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS, Pahang, Abdullah Karim mendakwa, ini kerana perintah oleh Mahkamah Tinggi Kuantan pada 20 April lalu supaya Menteri Besarnya melunaskan bayaran penghakiman berjumlah RM63 juta kepada syarikat Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd boleh dielakkan daripada awal lagi.

"Saya lihat ia merupakan satu kesilapan yang boleh dielakkan daripada awal.

"Maksudnya jika mereka kompromi dengan tuntutan yang dibuat oleh syarikat tersebut iaitu mengaku kesilapan daripada awal kemungkinan jumlah tidak sampai ke tahap itu.

"Tetapi disebabkan oleh ego dan sikap angkuh dan sebagainya mereka tak mahu selesaikan dan menyerahkan kepada mahkamah," katanya ketika dihubungi Harakah semalam.

Pada 20 April lalu, Mahkamah Tinggi di Kuantan, mengarahkan Menteri Besar Pahang, Dato Seri Adnan Yaakob, melunaskan bayaran penghakiman berjumlah RM63 juta kepada syarikat Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd kerana melanggar perjanjian pemberian konsesi pembalakan di Mukim Bebar, Pekan, Pahang.

Hakim Dato' Abd Halim Aman memutuskan pihak responden perlu melunaskan bayaran berkenaan dalam tempoh 14 hari bermula hari tersebut.

Menurut Abdullah yang juga seorang pengamal undang-undang dari segi merit kes sepatutnya ia selesai pada tahun lepas lagi.

Ini katanya, pada peringkat awal writ saman difail sekitar 2003 sehingga 2004 dan kerajaan negeri boleh menyelesaikan kes itu dengan syarikat terbabit.

"Jadi bukan saja MB bahkan barisan exco kerajaan negeri kena letak jawatan.

"Ini kerana walaupun ada ruang untuk kerajaan dan Adnan membuat rayuan dan sebagainya tetapi kerajaan negeri tetap dapat penghakiman RM63 juta sekalipun Mahkamah Persekutuan memutuskan Adnan tidak bertanggungjawab secara peribadi," jelasnya.

Tegasnya, ini menunjukkan fakta utamanya kerajaan negeri tetap berhutang dengan mendapat penghakiman sebanyak RM63 juta.

Beliau berkata, ini menunjukkan satu lagi bukti jika hendak dibanding dengan kerajaan Kelantan yang diperintah PAS tidak pernah dihadapkan dengan masalah seperti itu.

Malah jumlah tersebut sepatutnya boleh bantu rakyat miskin khususnya dalam menangani suasana ekonomi yang melanda negara dan sebagainya.

Tegasnya kesilapan yang dilakukan kerajaan negeri menunjukkan bahawa kerajaan Barisan Nasional tidak berkebolehan untuk memerintah. 

Tiada ulasan: