"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki ditahan berhubung SMS ugut ADUN T'ganu

Seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan di Kuala Lumpur kelmarin berhubung kes penghantaran SMS ugutan bunuh kepada tiga ADUN Terengganu pada 13 April lalu.

Menurut polis, lelaki yang ditahan polis itu adalah seorang kerani syarikat swasta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Fauzi Abduri memberitahu demikian dalam satu sidang akhbar di Balai Polis Wakaf Tapai hari ini.

Minggu lalu, 10 ADUN Barisan Nasional (BN) memulaukan sidang hari kedua DUN Terengganu kerana bimbangkan keselamatan mereka selepas tiga daripadanya menerima ugutan melalui 
SMS "YB tak sayang nyawa?".

Berikutan itu, ketiga-tiga ADUN berkenaan telah membuat laporan pada malam yang sama.

Mereka adalah ADUN Ajil, Datuk Rosol Wahid; ADUN Paka, Zakaria Abdullah dan ADUN Permaisuri, Abdul Halim Jusoh.

Mesej yang didakwa dikirim oleh seorang pegawai kanan kerajaan negeri itu antaranya berbunyi "baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?".

Pengiriman SMS tersebut dipercayai ada kaitan dengan kemelut politik di Terenganu di mana sekumpulan ADUN mendesak Menteri Besar, Datuk Ahmad Said meletakkan jawatan.

Krisis kepemimpinan menteri besar Terengganu kali ini tercetus genap setahun selepas berlaku perebutan kuasa antara Ahmad - yang disokong oleh istana - dengan Idris, menteri besar waktu itu.

Minggu sebelumnya, Ahmad telah memberi amaran keras termasuk memecat ADUN BN terbabit jika usul undi tidak percaya dikemukakan dalam sidang dewan minggu ini.

BN menguasai 24 kerusi DUN, sementara PAS pula lapan kerusi.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: