"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kerajaan Campuran Jejas Populariti Hadi

KOTA BAHARU, 23 April (Bernama) -- Cadangan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya parti itu menubuhkan kerajaan campuran dengan kerajaan pusat dilihat menjejaskan peluang beliau mengekalkan jawatannya pada Muktamar Pas Jun akan datang.

Cadangan tersebut mendapat tentangan keras daripada Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan rasa tidak senang pemimpin Pas lain serta ahlinya kerana dianggap bercanggah dengan prinsip parti dan keputusan Muktamar Pas Ogos tahun lalu.

Nik Abdul Aziz yang nyata tidak dapat menerima cadangan tersebut menyifatkan Abdul Hadi membelakangi keputusan yang dicapai oleh parti.

Imej Abdul Hadi juga tercalar apabila kerajaan pakatan pembangkang di negeri Perak yang diterajui oleh PAS hilang kuasa dan bekas menteri besar Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin dari parti itu hilang jawatannya.

Pakatan pembangkang kehilangan majoriti apabila dua anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak dari Parti Keadilan Rakyat dan seorang dari DAP, mengisytihar diri menjadi Adun bebas dan menyokong Barisan Nasional.

Nik Abdul Aziz tidak mahu sejarah berulang seperti pada 1973 apabila Pas disingkirkan daripada kerajaan pakatan dengan Umno di negeri Kelantan.

Ramai ahli dan pemimpin PAS khuatir mereka hanya akan diperalatkan oleh Umno dalam usaha parti itu mendapatkan semula sokongan orang Melayu.

Ada juga di kalangan anggota parti itu berpendapat isu yang timbul akan mempengaruhi keputusan pemilihan peringkat kawasan dan memberi kesan pada pemilihan peringkat pusat.

Mereka khuatir cadangan Abdul Hadi itu akan mengakibatkan ramai pemimpin Pas menjadikannya mencari jalan pintas untuk mendapatkan kedudukan tinggi dalam politik melalui sebuah kerajaan campuran.

Berikutan perkembangan terbaru ini, Abdul Hadi akhirnya dilaporkan oleh lidah rasmi parti itu Harakah, telah menarik balik cadangan berkenaan atas alasan "masih ramai tidak memahami matlamat penubuhan apa yang beliau panggil 'kerajaan perpaduan' itu".

Walaupun wujud desas desus mengatakan kini wujud dua pasukan dalam parti - 'Pasukan Tok Guru' dan 'Pasukan Presiden' disangkal Nik Abdul Aziz, namun Mursyidul Am itu dicalonkan oleh Pas kawasan Bukit Bintang untuk jawatan presiden bagi menggantikan Abdul Hadi.

Yang Dipertua baru Pas Bukit Bintang, Radhi Hashim berkata, keputusan mencalonkan Nik Abdul Aziz adalah disebabkan ketegasan beliau memimpin parti berbanding Abdul Hadi.

Keputusan yang mengejutkan dan pertama kali seumpamanya berlaku dalam parti, dicapai sebulat suara oleh 12 anggota jawatankuasa kerja kawasan itu yang baru dilantik dalam mesyuarat agungnya Ahad lepas di Markas Tarbiyah Pas Taman Melewar, Gombak.

Malahan, tujuh kawasan Pas di Wilayah Persekutuan tidak membuat sebarang pencalonan dalam mesyuarat agung masing-masing bagi tiga jawatan utama iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden.

-bernama-

Tiada ulasan: