"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengajaran PAS dalam Barisan Nasional

Abu Firdaus  

Ketika Allahyarham Tun Razak Hussein mengajak Dato' Asri Muda supaya ditubuhkan kerajaan campuran pada awal 1970-an, ia dilakukan dalam kedudukan setaraf. Apa yang hendak ditubuhkan bukannya kerajaan campuran Umno-PAS tetapi Perikatan-PAS. Kedudukan PAS ketika itu bukanlah menerima kepimpinan Umno tetapi duduk bersama dan setaraf dengan Perikatan yang terdiri daripada Umno, MCA dan MIC. Ketika itu, Perikatan Sarawak dan Sabah adalah dalam hubungan yang berbeza.

Setelah berlaku Peristiwa 13 Mei, tentunya suasana telah berubah yang menuntut supaya parti-parti politik kurangkan politiking dan sebaliknya menumpukan kepada pembangunan. Juga dengan mengambil kira kepentingan orang Melayu, PAS yang banyak berkempen atas isu-isu Melayu dalam pilihan raya umum tahun 1969 menerima pelawaan Tun Razak.

Dengan penubuhan kerajaan campuran, ia bermakna kerajaan negeri persekutuan, Kelantan, Terengganu dan Kedah menjadi kerajaan campuran Perikatan-PAS. Asri Muda menjadi menteri, Mustafa Ali menjadi timbalan menteri, sementara Adun Perikatan menjadi ahli Exco di Kelantan, begitulah jadinya.

Namun begitu, apabila persetujuan telah disampaikan, pengumuman untuknya ditangguhkan. Ini kerana jika diumumkan bahawa berlaku kerjasama Perikatan-PAS, maka akan timbul syak wasangka di kalangan orang bukan Melayu kalau-kalau ia merupakan penubuhan kerajaan Melayu bersatu, maka ia menjadi kerajaan Umno-PAS dengan meminggirkan parti-parti MCA dan MIC.

Justeru, rundingan dibuat dengan Gerakan di mana parti itu bersetuju menubuhkan kerajaan campuran Perikatan-Gerakan di Pulau Pinang. Setelah dipersetujui, pengumuman kerajaan campuran di Pulau Pinang didahulukan daripada Perikatan-PAS. Maka tidaklah timbul perasaan bahawa kerajaan Melayu bersatu akan ditubuhkan.

Cara berpolitik Tun Razak ketika itu ialah untuk mempelawa semua parti politik masuk ke dalam kerajaan. Maka turut diundang ialah DAP dan Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM). DAP menolak, mungkin antara lain kerana kejayaan dalam pilihan raya 1969 menunjukkan bahawa ia mempunyai potensi untuk menjadi pembangkang lebih kuat.

Kalau pada tahun 1964, cawangan PAP yang merupakan asal usul DAP gagal dalam pilihan raya, tetapi dalam pilihan raya umum tahun 1969, ia berjaya. Apa yang jelas ia sedang mengambil alih pengaruh yang ditinggalkan oleh Parti Buruh yang dibubarkan kerana tidak menghantar laporan tahunan kepada Pendaftar Pertubuhan.

Penolakan terhadap pelawaan Tun Razak itu mungkin merupakan sesuatu yang pelik. Ini kerana dalam tahun 1964, penyertaan PAP dalam pilihan raya umum adalah untuk menentang MCA, dan bukannya Umno. Ia berazam untuk menggantikan MCA dalam Perikatan. Apa yang berlaku ialah DAP menggantikan vakum yang ditinggalkan oleh Parti Buruh.

Undi milik Parti Buruh sudah berpecah tiga. Sebahagiannya pergi ke DAP, sebahagiannya ke Gerakan, dan sebahagiannya pergi ke PSRM yang gagal memberikan sebarang bekas. Selepas tahun 1964, PSRM dan Parti Buruh berpecah akibat isu bahasa, dan ia meruntuhkan pakatan mereka dalam Front Sosialis. Gerakan pula mewarisi Parti Demokratsi Bersatu (UDP) yang ditubuhkan oleh mereka yang keluar daripada MCA.

PSRM enggan menyertai kerajaan campuran dengan Perikatan kerana percaya adalah baik bagi negara, khususnya orang Melayu jika ia kekal sebagai pembangkang. Dengan penyertaan PAS ke dalam kerajaan campuran Perikatan, maka orang Melayu perlukan parti pembangkang dan ini ditawarkan oleh PSRM.

Sememangnya aliran pemikiran Tun Razak ketika itu ialah penubuhan kerajaan satu parti, suatu pemikiran sosialis dunia ketiga pada zaman itu, untuk mendapatkan kestabilan politik. Malah kepercayaan ini turut digalakkan dalam akhbar-akhbar arus perdana ketika itu. Pada mula ia ditubuhkan, Barisan Nasional mempunyai komponen yang setaraf.

Bagaimanapun lambat laun, Umno mula mahu menunjukkan taring dan menjadi dominan. Perangai Umno ini tidak perlu dihairankan. Barisan Nasional telah berubah menjadi konsep barisan bersatu yang diamalkan oleh banyak parti komunis dunia. Pada mulanya mereka mengajak parti-parti lain supaya bergabung menentang musuh bersama. Tetapi setelah berjaya, yang dominan adalah parti komunis sementara yang lain hanyalah tinggal simbolik. Gejala ini berlaku di Rusia, China, Korea dan Vietnam.

Usaha Umno menjadi dominan bermula apabila ia terlibat meminggirkan Parti Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) untuk digantikan dengan Parti Berjaya. Perkara yang sama juga berlaku di Kelantan. Umno campur tangan dalam hal dalaman PAS. Akhirnya PAS dipinggirkan dan digantikan dengan Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia (Berjasa).  

Baca selanjutnya:-http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=020463&Itemid=110

Tiada ulasan: