"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

DAP saran cara pengadu elak tindakan SPRM

Kini seseorang pengadu, dan media, mungkin tidak lagi berani mendedahkan butiran dakwaan rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan yang dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Seorang ahli parlimen DAP bagaimanapun mencadangkan satu langkah untuk mengelakkan tindakan bawah Seksyen 29(4) Akta SPRM seperti amaran ketua pesuruhjaya baru badan itu Datuk Abu Kassim Mohamed semalam.

Lim Lip Eng berkata seseorang yang ingin mendedahkan kandungan dakwaan rasuah boleh melaporkan kepada polis kerana Kanun Acara Jenayah (CPC) tidak menghalang seseorang berbuat demikian.

"Menurut peruntukan CPC 1999, menjadi tanggungjawab polis untuk menyiasat semua aduan yang disampaikan kepada mereka," katanya dalam satu kenyataan.

"Selepas siasatan, polis akan menyerahkan kertas siasatan kepada SPRM jika wujud unsur-unsur rasuah dalam aduan tersebut.

"CPC tidak melarang seseorang pengadu daripada 'menyebarkan' maklumat aduan polis kepada orang lain."

Tambahnya, orang ramai harus membuat aduan yang bersifat jenayah, termasuk kes-kes rasuah, kepada polis.

"Tidak adil dan juga berulang untuk meminta mangsa atau pengadu melaporkan aduannya kepada agensi-agensi berbeza yang terletak di tempat-tempat berlainan," kata Lim lagi.

Pihak berwajib pula boleh menggunakan Seksyen 177 Kanun Keseksaan, dan bukannya Seksyen 29(4) Akta SPRM, untuk menghukum mereka yang ada niat tersembunyi yang menyalurkan maklumat palsu, katanya.

Ia juga boleh menggunakan Seksyen 499 Kanun Keseksaan bagi kesalahan menfitnah pihak yang tidak bersalah.

"Kedua-dua kesalahan tersebut, jika didapati bersalah, boleh dihukum dengan penjara," katanya.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: